Friday, July 27, 2007

Doa

"Ya Allah, berikan kami rasa takut kepadaMu yang akan menghalang kami daripada menderhakaiMu. Kurniakan kepada kami ketaatan yang akan menyampaikan kami ke syurgaMu dan keyakinan yang menjadikan kami merasakan musibah dunia menjadi sangat ringan. Berikan kami nikmat pendengaran, penglihatan dan kekuatan kami sepanjang hidup. Jadikan orang-orang yang mewarisi kami daripada kalangan kami. Jadikan balasan kami tertuju kepada orang yang menzalimi kami. Bantulah kami atas orang-orang yang memusuhi kami. Jangan Kau jadikan bencana dalam agama kami. Jangan pula Kau jadikan dunia sebagai puncak pencarian dan puncak ilmu kami. Jangan Kau jadikan kami dikuasai oleh orang-orang yang tidak mengasihi kami kerana dosa-dosa kami."

Thursday, July 26, 2007

Bersyukurkah aku?

Sambil-sambil bersarapan, Uda belek-belek buku Kitab Tauhid tulisan Abdul Majid Aziz Az-Zindani. Kebiasaan dari dahulu, suka membaca sambil makan. Mungkin sikap turun-temurun :). Sukar dihilangkan. Sebenarnya, Uda pernah dengar habit begini kurang elok. Sebabnya, kita tidak fokus semasa makan. Oleh itu, tendency mahu makan banyak adalah tinggi. Uda... no komen :).

Berbalik kepada buku tadi, antara tajuk yang Uda sempat baca adalah beriman kepada Akhirat. Antara yang disentuh adalah sikap manusia yang tidak mempercayai dengan kewujudannya. Terlintas di fikiran Uda, bagaimana jika Uda bukan dilahirkan sebagai Muslim (nau'zubillah). Sudah pasti bukan mudah untuk Uda mempercayai Akhirat. Apatah lagi, ia tidak nampak di alam realiti.

Uda cuba meletakkan diri dalam kondisi non-Muslim pada masa ini. Mungkin seorang Kristian, atau beragama Budha atau lain-lain agama selain Islam. Penganut Kristian pasti mengatakan agamanya yang terbaik. Begitu juga dengan penganut Budha, ajarannya paling benar. Pendek kata, penganut setiap agama akan mengatakan agamanya yang terbaik. Jadi, agama manakah yang benar?

Akhirnya, setelah berfikir-fikir sambil makan :), Uda rasa bersyukur kerana dilahirkan sebagai Muslim. Hanya yang terpilih sahaja diberikan nikmat ini. Apabila diuji dengan cabaran, nikmat iman & Islam sering dilupakan. Yang ada di fikiran, kenapa Tuhan berikan kesusahan dan ujian. Sedangkan rasa syukur kerana masih memiliki kedua-dua nikmat ini dapat memberi ketenangan.

Uda senyum seorang diri. Setelah umur mula meningkat, baru tersedar nikmat yang sudah lama Uda miliki. Cuma, tahapnya perlu sentiasa diupgrade supaya dihitung sebagai amalan baik di Akhirat nanti.

Wednesday, July 25, 2007

Selepas 50 hari diboikot

Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun kesembilan Hijrah antara tentera Islam dan Rom. Pada masa itu juga sudah hampir musim mengutip buah.Orang Islam di Madinah berharap dapat menunggu sehingga hasil buah-buahan mereka dikutip sebelum keluar dari Madinah. Namun begitu, Nabi Muhammad mengarahkan Muslim yang mampu berperang perlu segera bersama-sama menyertai Perang Tabuk. Tetapi, ada sahabat nabi yang tidak ikut serta iaitu Kaab bin Malik.

Selesai Perang Tabuk dengan kemenangan bagi Islam, mereka pulang ke Madinah. Kepulangan mereka disambut dengan meriah. Tidak berapa lama selepas itu, sahabat Kaab bin Malik datang bertemu dengan Nabi Muhammad. Sebelum bertemu dengan beliau, Kaab sudah bertekad untuk berkata benar walau apa pun terjadi.

Apabila Kaab berada di hadapan Rasulullah, Rasulullah tersenyum seperti senyuman orang yang marah.

“Mengapa saudara tidak ikut serta berperang, wahai Kaab?” tanya Rasulullah.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai alasan untuk tidak ikut serta dalam perang. Ini semua adalah disebabkan kelalaian dan kelemahan diri saya,” jawab Kaab, berterus-terang.

“Dia berkata benar,” kata Rasulullah.

Nabi Muhammad tidak menjatuhkan sebarang hukuman kepadanya. Muslim yang tidak ikut berperang tanpa alasan tidak dijatuhkan hukuman sehingga dinyatakan Allah. Selain daripada Kaab bin Malik, terdapat dua orang lagi sahabat sepertinya. Mereka adalah Hilal bin Umayyah dan Mararah bin Rabi’.

Selepas mengaku bersalah di hadapan Nabi Muhammad, Kaab pulang ke rumah. Kaumnya datang bertemu dengannya.

“Mengapa saudara tidak memberi alasan sahaja kepada Rasulullah? Orang lain yang memberikan alasan dimaafkan Rasulullah. Rasulullah akan memohon ampun untuk diri saudara,” kata orang-orangnya.

“Adakah orang lain yang sama seperti saya?” tanya Kaab.

“Ada. Hilal dan Mararah,” jawab mereka.

Antara kelebihan Kaab bin Malik adalah petah berhujah. Oleh itu, memberi alasan adalah perkara mudah. Hampir-hampir sahaja Kaab mahu bertemu semula dengan Rasulullah untuk memberi alasan. Namun, apabila mendengar ada sahabat yang sama sepertinya, tidak memberikan alasan, beliau terus membatalkan niat itu. Kaab yakin dengan tindakannya.

Tidak berapa lama selepas itu, Allah memerintahkan kaum Muslimin memboikot mereka. Tidak ada sesiapa pun di Madinah yang mahu bercakap dengan mereka. Namun begitu, Kaab tetap keluar ke pasar dan bersembahyang jemaah di masjid walaupun tidak ada sesiapa yang melayannya.

Pada suatu hari, Raja Ghasasinah menghantar surat kepada Kaab. Surat itu berbunyi, “Kami mengetahui apa yang dilakukan oleh Muhammad kepada dirimu. Kedudukanmu dan kaummu lebih mulia dan kamu tidak berhak diperlakukan sedemikian. Jika kamu bersama dengan kami, pasti kami memuliakanmu.”

“Adakah lebih baik aku terus setia bersama Rasulullah yang memboikot diriku ataupun bersama Raja Ghasasinah yang memberi tawaran yang baik?” Hati Kaab bergolak.

“Ini adalah ujian. Aku tidak sekali-kali berpaling tadah walaupun saat yang kulalui terlalu sulit,” kata Kaab lagi sambil melemparkan surat itu ke dalam api.

Kaab terus menjalani kehidupannya seperti biasa, tanpa dipedulikan sesiapa pun kecuali isterinya. Apabila tiba hari ke-40, Nabi Muhammad mengutuskan wakil memberitahu Kaab supaya tidak bersama dengan isterinya.

“Adakah Rasulullah meminta saya menceraikannya?” tanya Kaab kepada wakil itu.

“Saudara tidak perlu menceraikannya. Rasulullah meminta supaya saudara tidak bersama dengannya. Itu sahaja,” beritahu wakil itu.

Lalu, Kaab meminta isterinya pulang ke rumah ibu bapanya. Bagi Kaab, ia adalah lebih baik walaupun tidak diminta oleh Rasulullah.

Selepas 50 hari berlalu, sedang Kaab sembahyang di atas bumbung rumahnya, beliau terdengar suara jeritan.

“Bergembiralah, wahai Kaab,” jerit suara itu.

Rupa-rupanya, Allah sudah menurunkan ayat yang mengampunkan kesalahan Kaab dan sahabat-sahabatnya. Jeritan itu adalah jeritan sahabatnya yang tidak sabar memberitahu berita gembira itu.

“Alhamdulillah. Aku bersyukur kepadamu, ya Allah,” ucap Kaab dengan rasa lega.

Selepas itu, Kaab bin Malik terus pergi bertemu dengan Rasulullah. Pada masa itu, Rasulullah bersama dengan para sahabat utama. Kabb bin Malik masuk ke dalam dan disambut dengan gembira.

“Bergembiralah, wahai Kaab bin Malik dengan hari yang paling baik dari hari-hari yang kamu lalui selepas dilahirkan oleh ibumu,” kata Rasullah kepadanya.

Wednesday, July 18, 2007

Masa yang sedikit

"Ketahuilah, kerja kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu, bantulah saudaramu menggunakan masanya dengan sebaik-baiknya. Apabila anda mempunyai kepentingan atau tugas, selesaikan segera."

-Hasan Al-Banna-

Monday, July 16, 2007

Bila ayah berbicara

Kata ayah pada suatu hari, "Kita semua ada aset. Jadi, jangan sia-siakan." Uda termangu-mangu. Fikiran berputar ligat. "Apa aset yang aku dah ada? Si kelisa kesayangan tu je lah," kata Uda sambil tersengih dalam hati.

Ayah menyambung, "Setiap orang ada bakat, ada kelebihan. Itulah aset kita selain daripada harta. Aset paling utama. Ada orang pandai bercakap, tapi tidak digunakan dan diasah bakatnya. Ada orang pandai menulis, tapi tidak berani mencuba. Ada orang tahu pelbagai bahasa, tapi tidak diaplikasi. Ramainya begitu. Sebaiknya aset diri perlu dikembangkan. Yang penting berani mencuba dan mula membuat."

Uda diam mendengar. Itulah kebiasaannya bila ayah mula berbicara. Uda lebih suka diam dan kekadang mengangguk-anggukkan kepala. Selalunya bicara ayah memang 'kena atas kepala' walaupun sekali-sekala :).

"Memang awal-awal kita rasa takut dan bimbang. Itu benda biasa. Sebelum ayah boleh bercakap di hadapan orang lain seperti sekarang, ayah juga ada rasa takut. Cuma, kita perlu cuba melawan perasaan itu. InsyaAllah, Allah akan bukakan jalan lain untuk dipermudahkan." Ayah petik ayat Al-Quran (lupa surah apa) lebih kurang bermaksud, "Sesiapa yang berjihad di jalanNya, Kami akan tunjukkan jalan-jalan lain."

Bicara ayah berpindah pula ke soal hati. "Hidup ini memang sekejap gembira, sekejap sedih. Tapi, jangan biarkan diri kita hanyut mengikut hati dan perasaan seperti air sungai yang mengalir. Learn to swim." Hati Uda tersenyum sebab sampai sekarang tidak khatam belajar berenang.

Ayah kongsi cerita semasa dia dan emak belajar di Mesir. Pada masa itu, perang baru tamat. Keadaan di sana masih dalam keadaan kurang baik. Kalau ikutkan keadaan, pasti wajah duka dan sedih sahaja yang ada. Tetapi, orang Arab masih boleh bergembira dan ceria. Anak-anak kecil masih bermain bola walaupun padang tiada. Pendek kata, mereka mencipta rasa gembira dalam suasana duka.

Bicara ayah pun berakhir dan di kala itu Uda bangun dari kerusi dengan aura baru :). Selalu motivasi ayah adalah untuk orang lain. Tetapi, pada hari itu motivasinya khusus untuk anaknya :).

Sunday, July 15, 2007

Tersilap rupanya....

"Dari mana Alia dapat duit ni?" tanya ibu kepada Alia yang sedikit terkejut ditegur. Alia hanya mendiamkan diri, terkebil-kebil memandang ibu.

"Cakap Alia. Alia curi ke? Siapa yang beri pada Alia?" soal ibu bertalu-talu. "Tolong Alia. Beritahu ibu dari mana Alia dapat duit banyak-banyak ni?"

"Alia... Alia dan kawan-kawan kumpul duit untuk sumbangan Palestin. Esok Alia nak beri kepada cikgu," jawab Alia tergagap-gagap. Terpancar rasa lega pada wajah ibunya.

"Kenapa ibu? Kenapa ibu kata Alia curi duit tu?" tanya Alia kehairanan. Rasa sedih menusuk di dada. Mengapa ibu menuduh tanpa usul periksa.

"Maafkan ibu. Keadaan sekarang menyebabkan ibu takut, bimbang. Takut Alia terikut-ikut perkara tidak baik. Ibu tersilap...."

Dalam senario lain,

"Kenapa Huda tak jawab-jawab call aku?" Ulya tertanya-tanya dalam hati. "Aku ada buat silap ke?" Sudah beberapa hari Ulya cuba menelefon Huda, tapi hampa. Semua panggilan masuk voice mail.

"Tak patut betul Huda ni. Aku tengah perlukan dia, dia buat tak peduli pula," marah Ulya dalam hati

"Ulya, tahu tak Huda masuk hospital? Dah 3 hari," tanya teman sekuliahnya, Wafa, selepas selesai kuliah.

"Kenapa tak ada orang beritahu?" Terkejut Ulya. "Silap aku bersangka buruk. Habis kuliah, aku kena pergi ziarah dia. Maafkan aku Huda."

Kadang kala ibu bapa tersilap memahami anak. Guru tersilap memahami pelajar. Majikan tersilap menilai anak buah. Isteri tersilap menduga suami. Teman tersilap sangka sikap temannya. Pendek kata, tindakan diambil kerana tersilap sangka.

Percaya ataupun tidak. Tersilap dapat mengubah sesuatu menjadi lebih baik. Tapi banyaknya menjadi lebih buruk. Kerana meletakkan emosi mendahului minda. Bukankah lebih baik duduk memikirkannya. Sebelum menilai dan mengeluarkan kata. Kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan merana.

Tanya jika kau tertanya-tanya. Daripada terus memendam rasa. Terjawab ataupun tidak belakang cerita. Yang dilihat adalah usaha, bukan hasilnya. Teruskan berbaik sangka. Kerna ia bisa menenangkan jiwa.

-Uda: Berikan 1000 alasan buat teman, biar pun dirimu hairan, mengapa dia berubah kelakuan, kerana pasti ada jawapan, bagi setiap tindakan-

Saturday, July 14, 2007

Insan lupa

Selalunya insan mengharapkan insan lain memahami dirinya. Sehingga terlupa dia juga jarang melakukannya. Bukankah lebih baik setiap hari insan bertanya. Apakah perkara terbaik yang dapat aku beri kepada semua. Daripada terus bertanya mengapa oh mengapa. Diri ini tidak dimengerti walau secebis cuma.

Thursday, July 12, 2007

Are you wasting your life just cutting stone?

"What are you doing?" A passerby asked of three workers standing beside a building under construction.

The first worker, looking tired and drained, replied, "I'm just cutting stone."

The second one answered, "Working to make a living."

The third worker, who was singing, said, "I'm building a castle!"

Are you just cutting stone at work? Is that why you're often drained of energy and void of enthusiasm? Are you just trying to make a living? Is that why you find no excitement in what you do? Or are you building or doing something great?

Ask yourself, What great thing do I want to do today? Don't waste your life just cutting stone. Start building castles.

Wednesday, July 11, 2007

Mukmin optimis

"Mengagumkan keadaan seorang Mukmin, semua keadaan adalah baik bagi dirinya. Semua perkara itu tidak berlaku kecuali dia seorang Mukmin. Apabila bahagia, dia bersyukur dan hal itu baik baginya. Apabila mengalami kesulitan, dia bersabar dan hal itu juga baik baginya."

-Muslim-

Kembali

Alhamdulillah, akhirnya... dapat juga Uda kembali meng'update' blog :). Kepingin nulis. Belum ada apa-apa coretan untuk bulan ini.

Sebenarnya, komputer Uda ada hal sikit. Biasalah, buatan manusia. Sekarang ini pun masih belum benar-benar sihat. Nampaknya, lepas ini kena bawa ke klinik.

Untuk coretan-coretan seterusnya, mungkin ada yang perasan, Uda gantikan kata nama 'aku' kepada 'Uda' :). Saja mahu ubah stail. Panggilan 'Uda' ni ada sejarahnya masa sekolah-sekolah dulu :). Panggilan sesama kawan. Sampai sekarang kami masih gunakan bila bertemu.

Terkenang kembali... hehe, Uda dan kawan sekelas memang rapat. Mungkin kerana kami batch pertama sekolah, macam-macam benda kami lalui bersama, susah, senang, sedih, gembira. Bila melihat adik-adik junior sekolah Uda sekarang ini, keadaan sudah banyak berbeza. Kena terima, semuanya pasti ada yang baik :).

OK, sampai sini dahulu bagi coretan pertama bulan Julai '07. Semoga Allah permudahkan segala usaha Uda serta kalian. Sehingga ketemu kembali.