Wednesday, December 5, 2007

Sesat

Sudah beberapa hari Mak Uda meninggalkan kami bagi menunaikan haji. Ini bermakna meninggalkan tugasan-tugasan dan cabaran-cabaran yang perlu diuruskan semasa ketiadaannya. Mujur cuti sekolah baru bermula. Kalau tidak, mungkin aku dan emak lagi pening kepala :).

Sejurus selepas menghantar Mak Uda, cabaran pertama bermula. Kami sesat jalan. Puas kami berpusing-pusing mencari jalan. Akhirnya, masuk ke taman perumahan. Bayangkan sesat dalam keadaan penat. Sehari sebelum datang ke KL, aku dan adik sesat di Transkrian. Memang pengalaman yang agak menakutkan dan memenatkan kerana kami berdua sahaja. Tiba sahaja di rumah, kami berdua terus ‘pengsan’.

Hampir setengah jam aku dan ayah mencari jalan keluar. Akhirnya, kami singgah di stesen minyak. Alhamdulillah, selepas itu jalan yang kami cari ditemui walaupun hampir-hampir tersilap jalan sekali lagi. Daripada dua pengalaman, aku simpulkan 3 perkara. Jika baru pertama kali melalui sesebuah jalan, pastikan:
  • Isi minyak sehingga penuh tangki apabila melalui kawasan yang baru pertama kali anda sampai. Takut-takut tersilap jalan, kereta pula tersadai.
  • Bagi yang memang ‘bermata empat’, sila bawa dan gunakan alatan yang sepatutnya.
  • Jika tersesat, cari stesen minyak supaya mudah untuk bertanya arah.

Uda: Biar sesat jalan, jangan sesat iman....