Wednesday, February 6, 2008

Pengorbanan

Ada syair Arab yang berbunyi, "Sesiapa yang mencari ketinggian tanpa bersusah payah, ia mensia-siakan usahanya mencari sesuatu yang mustahil." Mencapai kebaikan dan kemuliaan tanpa mahu berkorban adalah angan yang tidak berpanjangan, khayalan yang mensia-siakan.

Pengorbanan bukan terhad pada harta. Kata mujaddid Hasan Al-Banna, pengorbanan juga bagi jiwa, tenaga, masa dan idea. Rasulullah dan para sahabat berkorban masa, tenaga malah jiwa meninggikan agama. Ada yang mengorbankan masa merealisasikan cita-cita. Ada juga mengorbankan tenaga demi keluarga. Tidak kurang juga yang mengorbankan keluarga demi harta.

Berkorban... mudah disebut, sukar dilaksana. Jika tanpa ikhlas, sabar dan berlumba-lumba mencari keredhaanNya. Ada kala hilang harta benda, melayang nyawa atau berpisah dengan yang tercinta. Seperti Ali yang berkorban nyawa menggantikan nabi tika berhijrah. Umpama Khadijah berkorban harta demi perjuangan Rasulullah. Begitu juga para sahabat berhijrah meninggalkan harta dan keluarga demi menyelamatkan agama Allah.

Usah bimbang dengan apa yang hilang di dunia. Kerana pasti ada ganti di Akhirat sana. Mungkin sekarang sakit terasa. Namun apalah sangat sakit yang fana. Jika dibandingkan dengan kemanisan yang pasti ada. Yang mata tidak pernah melihat, telinga tidak pernah mendengar, hati tidak pernah merasa. Bukankah itu matlamat utama?