Friday, November 14, 2008

Sekali Tersilap

Sekali tersilap, bukan bermakna selama-lamanya sama,
Sekali tersilap, bukan noktah segala-galanya,
Biar sekali tersilap,
Mencelik mata, menyentak minda, menyentuh jiwa,
Agar tidak diulang perkara serupa,
Kerna diri hanyalah hamba,
Yang bisa dan biasa,
Tersilap tika melangkah menuju cita.

Wednesday, November 12, 2008

Semoga Mendapat Haji Mabrur

Setiap kali kapal terbang melintasi ruang udara rumahku, aku pasti tertanya-tanya, "Adakah kapal terbang itu menerbangkan para tetamu Allah ke tanah suci?" Padahal sebelum ini aku tidak ambil kisah ataupun sedikit terganggu dengan bunyinya. Itu salah satu impaknya apabila tiba musim orang pergi menunaikan haji padaku... pada tahun ini. InsyaAllah, aku bakal menyusul tidak lama lagi.

Buat makcik, pakcik dan sahabat-sahabat yang bakal menunaikan haji tahun ini, semoga mendapat haji mabrur. Semoga dipermudahkan segala urusan dan ibadah.

Sebaik-baik Teman adalah Buku

Kata Al-Jahizh, “Buku adalah teman duduk yang tidak memujimu secara berlebihan, sahabat yang tidak menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang toleran yang tidak akan mengusirmu. Dia adalah tetangga yang tidak akan menyakitimu. Dia juga teman yang tidak memaksamu mengeluarkan apa yang kamu miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafikan dan tidak berbohong.”

~La Tahzan~

Tuesday, November 11, 2008

Membuat Keputusan

Selama aku bernafas di bumi Allah, aku sedar antara perkara sukar dalam hidup adalah membuat keputusan. Sepanjang kehidupan, banyak keputusan yang sudah dibuat. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya. Daripada seringan-ringan sehingga seberat-berat perkara.

Setiap hari kita membuat keputusan tanpa disedari. Mahu makan di mana hari ini? Baju kurung ataupun jubah seluar? Mahu masak apa jamuan esok? Mahu bersiar-siar ataupun rehat di rumah sahaja? Nampak mudah dan kecil sahaja. Namun, ada juga yang sukar membuat keputusan walaupun sudah acapkali dihadapkan dengan persoalan serupa.

"Kemudian, apabila kamu sudah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya.”
~Surah Ali Imran, 159~

Ayat yang sering didengari apabila berbicara berkenaan tawakal. Namun, hakikatnya ramai yang masih kurang yakin, ragu-ragu dan gelisah tidak kira sebelum mahupun selepas mencapai kata putus. Akhirnya, kepala sendiri pusing dan mengundang stres.

Apabila keputusan sudah dibuat, bulatkan tekad, tetapkan hati dan maju ke hadapan. Selagi mana tiada kata putus, selagi itu kita berasa ragu-ragu dan bimbang.

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu....”
~Surah Ali Imran, 159~

Dua cara terbaik bagi memutuskan suatu perkara adalah dengan bermusyawarah dan beristikharah. Dengan izin Allah, kita lebih yakin dan kuat tekad bergerak ke hadapan melaksanakan setiap urusan.

Dengan izinmu jua ya Allah, aku bisa kuat dan teguh dengan setiap keputusan yang dibuat. Berpendirian seteguh Bukit Uhud. Bersemangat setinggi Gunung Everest....

~Allahummahdini wa saddidni~

Buat Empunya Diri

Duhai empunya diri,
Usah kau mengeluh,
Dengan ujian yang perlu kau tempuh,
Kerana ia tidak bisa menjadikan dirimu meneguh,
Malah bisa meranap dan runtuh.

Duhai empunya diri,
Usah berputus asa,
Tika dadamu sesak dihimpit nestapa,
Pasti ia tidak berguna,
Hanya menambah murka Pencipta.

Duhai empunya diri,
Menangislah,
Kerna air mata tidak diciptakan sia-sia,
Namun, usah kau berlama-lama,
Berada dalam duka,
Musuh ketatmu pasti ketawa gembira.

Duhai empunya diri,
Kau punya Ilahi,
Penciptamu yang kekal abadi,
Yang mengetahui segala isi hati,
Tersenyumlah,
Wahai empunya diri.