Wednesday, June 17, 2009

Anak Oh anak

"Susah nak tegur anak saya tu. Ada sahaja jawapannya," mengadu seorang kakak semasa berbincang berkenaan anak.

Setiap hari Rabu, aku menghadiri halaqah atau grup perbincangan dengan sahabat-sahabat yang kebanyakannya suri rumah. Dalam pertemuan, banyak topik yang kami bincangkan terutamanya berkaitan dengan wanita dan anak-anak. Oleh kerana aku paling muda dan baru sahaja bergelar isteri, aku lebih banyak mendengar dan mengutip mutiara yang aku yakin bakal aku gunakan.

Banyak juga yang dibincangkan. Dengan masa yang terhad, memang tidak boleh habis. Namun, apa yang dapat aku simpulkan, mendidik anak sekarang tidak sama dengan mendidik anak dahulu. Anak dahulu apabila disuruh, banyaknya sami'na wa atha'na. Anak sekarang, ada yang buat tidak kisah. Ada juga yang merungut-rungut. Mungkin anak sekarang perlu banyak diplomasi terutamanya yang remaja. Ibuku pernah beritahu, kalau mahu membentuk peribadi anak, mula dari awal. Apabila sudah masuk usia remaja, agak sukar walaupun tidak mustahil. Sebab itu ibu bapa boleh merotan anak-anak yang tidak mahu solat apabila mencapai usia 10 tahun.

Dalam membentuk peribadi anak, ibu bapa adalah pendidik utama. Sekolah hanyalah bertindak sebagai sokongan. Bukan sebaliknya. Dalam mendidik, pasti ada kesilapan yang berlaku. Bagiku, ibu bapa perlu bersikap terbuka untuk mencari ilmu bagi mendidik diri dan seterusnya anak-anak tidak kira berapa pun usia kita.

Selain itu. perlu sentiasa berdoa untuk anak-anak. Kadang kala kita berusaha keras supaya anak-anak yang dilahirkan adalah anak-anak yang baik dan berjaya sehingga terlupa untuk berdoa.

Akhir kalam, yang mencoret ini pun belum tahu lagi bagaimana. Hanya ingin berkongsi dengan sahabat pembaca. Bukan mudah menjadi ibu bapa. Walau apa jua kelulusan yang ada. Belum menjamin apa-apa. Harapanku agar dikurniakan zuriat keturunan yang soleh wa musleh. Yang dapat membantuku di dunia dan di Akhirat sana.