Thursday, February 25, 2010

Adakah Kita Pendengar yang Baik?

Selalu kita berharap kita menjadi tempat teman meluahkan rasa hati. Jika masalahnya tidak dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang ditanggung.

Namun, kita terlupa bertanyakan diri sama ada kita memang layak menjadi pendengar masalah dan luahan rasa teman. Adakah kita dapat membuatkan teman berasa selesa sebelum dan selepas selesai meluahkan rasa? Yang paling penting, adakah kita bersedia membantu semasa teman benar-benar memerlukan? Ataupun bila ada masa-masa senggang sahaja?

Saya adalah antara insan yang sangat memilih apabila mahu meluahkan rasa. Walaupun kadang kala hebat cabaran melanda, saya lebih rela menyimpan daripada silap memilih tempat bercerita. Soalan-soalan yang saya timbulkan adalah antara soalan yang sering timbul dalam fikiran saya sendiri apabila terasa mahu meluahkan rasa kepada insan lain.

"Adakah saya dapat bercerita sebagai diri saya sendiri tanpa dihakimi?"

"Dapatkah dia menyimpan rahsia ceritaku ini daripada diketahui orang lain?"

"Adakah dia benar-benar bersedia mendengar luahan saya?"

Adakah kita pernah menghadapi situasi, apabila mahu bercerita tetapi sahabat kita buat sambil lewa? Sama seperti si anak kecil yang excited mahu menceritakan hari yang dilaluinya di tadika, tetapi si ibu sibuk melayan kerjanya. Kecewa bukan hati si anak? Mungkin tiada lagi cerita-cerita dari tadikanya selepas itu kerana si anak menyimpulkan si ibu tidak berminat langsung dengan ceritanya.

Artikel ini bukan mahu menuding jari kepada sesiapa. Sebenarnya peringatan kepada diri ini supaya bersedia dan berlatih untuk menjadi pendengar yang baik. Mendengar dengan baik adalah kemahiran penting. Apatah lagi apabila menerjunkan diri ke dalam medan dakwah. Ia juga elemen penting dalam membina ukhuwah.

Tidak perlu memandang rendah andai insan lain memerlukan kita menjadi tempat meluahkan rasa. Sebaliknya, bergembiralah kerana kita terpilih untuk membantu insan lain bergerak semula di atas landasannya.

"Sesiapa yang melapangkan orang mukmin daripada kedukaan dunia, Allah akan melapangkan dia daripada satu kedukaan daripada segala kedukaan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya dalam dunia dan Akhirat...." (Muslim)

Jauh Bau Bunga....

"Dekat bau tahi, jauh bau bunga." Itulah agaknya pepatah yang sesuai denganku pada masa ini. Teringat-ingatkan suami yang kini berada jauh atas urusan kerja. Tergelak besar dia apabila aku beritahu tentang pepatah itu apabila kami bercakap melalui telefon. Begitulah kami bila berjauhan... berSMS, telefon. Umpama orang bercinta.

Berjauhan kali ini membuatkan aku banyak berfikir. Dan paling aku tidak sangka adalah keprihatinan sahabat-sahabatku berkaitan dengan kehidupanku kini. Memang benar... ada perkara tidak perlu diucapkan tetapi dapat dibaca daripada raut wajah.

Setelah setahun menempuh hidup berumah tangga, baru aku sedar banyaknya perubahan yang kulalui. Perubahan yang agak drastik sebenarnya. Ya, baru aku tersedar perubahan yang berlaku tanpa aku sendiri sedar terutamanya daripada segi fizikal. Ini kata sahabat-sahabatku yang prihatin. Mereka prihatin kerana mereka yang menguruskan perkahwinan ini. Terima kasih sahabat....

Isteri solehah adalah gelaran yang ingin dimiliki setiap wanita. Namun, bagiku tidak semudah kata-kata untuk menyandang gelaran itu. Namun, itu tidak bermakna mustahil. Memerlukan kesabaran, sabar, sabar dan sabar.

Buat suami, semoga selamat pergi dan pulang.

Wednesday, February 17, 2010

Diri

Kadang kala kita jadi insan yang mementingkan diri. Kehendak sentiasa mahu dipenuhi. Biar pun apa yang terjadi. Lu punya hal, lu pikirlah sendiri. Asalkan aku senang hati. Asalkan diri mendapat apa yang dihajati. Salahkah jika kita cuba menggembirakan hati insan lain. Walaupun ada kala kita kurang minati. Ataupun rasa terasing. Namun, demi memberi yang terbaik. Semua itu dipandang sebelah mata. Kerana berkorban itu lebih manis rasanya. Mungkin bukan di sini, tetapi di Akhirat sana....

Thursday, February 11, 2010

Menangis Itu Baik?

Wanita dan menangis umpama kuku dengan isi. Adakah ia benar? Ini hanya pandanganku. Wanita jika tidak menangis, tidak sah kata orang utara. Hal-hal yang kecil pun mampu menitiskan air mata sehingga berhari-hari lamanya. Murah benar air mata wanita.

Namun, itu bukan bererti lelaki itu lemah apabila mudah mengalirkan air mata. Malah, menunjukkan dirinya berhati lembut. Rasulullah sendiri menangis apabila menghadap Allah sehingga basah janggutnya.

Aku terjumpa satu artikel ringkas yang membincangkan tentang hal ini (http://www.mindbodytherapy.net/Crying%20Article.htm).

Apa yang dapat aku simpulkan, menangis adalah antara perkara yang membuktikan kita adalah manusia. Namun, ramai di kalangan kita yang menganggap menangis melambangkan diri lemah, terlalu mengikut emosi dan tidak mampu mengawal keadaan. Mungkin budaya mengajar kita untuk melupakan segala kesedihan dan terus maju ke hadapan tanpa mengambil kira rasa sedih yang sedang dilalui.

Sebenarnya, ada kajian yang menyatakan menangis baik untuk jantung dan mengurangkan sinusitis. Dikatakan lelaki yang menangis dapat hidup lebih lama. Menangis meredakan tekanan pada mata umpama ais yang mencair.

Ramai yang menganggap menagis tidak memberi apa-apa kebaikan. Memang benar menangis tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku, namun ia membaiki dalaman dengan menghilangkan tekanan dan rasa sakit.

Tidak percaya... cubalah!

Tuesday, February 9, 2010

Baby Baru!

Hari ini bertambah jumlah anak saudaraku. Adikku baru sahaja mendapat baby boy. Nantikan khalah balik!!! :)

Sunday, February 7, 2010

Jangan Kamu Marah

"Janganlah kamu marah, janganlah kamu marah... janganlah kamu marah," ulang nabi beberapa kali.

Nab bukan bermaksud menyuruh kita terus memadamkan rasa marah. Namun, mengawal nafsu marah kerana marah adalah sifat tabi'i manusia.

Apabila marah....

Kata Nabi Muhammad, "Jauhilah rasa marah kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam. Cuba lihat apabila salah seorang antara kamu sedang marah, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabila salah seorang berasa marah, hendaklah dia berbaring ataupun duduk dia atas bumi."

Dalam hadis lain nabi berkata, "Marah itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan dibuat daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan wuduk. Apabila marah, hendaklah dia berwuduk."


Wednesday, February 3, 2010

Sesi Makan-makan

Nasi apa ni?

Siap ada sambal.

Ini adalah campuran ulam-ulaman.

Ini pula kelapa parut digaul dengan ikan rebus,
bawang dan bunga kantan (kalau tak silap)

Ini ikan digoreng dengan tepung Trakta. Sedap... rangup

Ini mestilah telur masin.

Hari ini, aku belajar buat nasi kerabu bersama sahabat-sahabat seangkatanku (suri rumah). Satu perkara yang aku tahu pasal nasi kerabu... membuatnya memang renyah kata orang utara. Maksudnya agak memenatkan dan cerewet. Banyak bahan yang perlu disediakan bagi mendapatkan nasi kerabu yang sempurna. Tengok sahaja sajian-sajian di atas. Rasanya, kalau sorang-sorang, beli sahaja di pasar malam :) (kata orang rajin).


Ini pencuci mulut yang kusukai. Sedap sangat....

Selepas menikmati nasi kerabu, aku ambil sedikit kek coklat. Mmmm.... memang sedap. InsyaAllah selepas ini mahu belajar buat kek pula daripada sifu Mahanum. Walaupun aku memang tidak begitu berminat makan kek, tapi anak-anak dan suami sangat suka. Jadi, kena la rajin belajar... hehe.

~Selalunya, mendapatkan yang elok itu memerlukan jalan yang panjang. Usah mudah putus asa~

Tuesday, February 2, 2010

Belum Puas Bermain....

Inilah layang-layang kami. Cantik tak?

Seumur hidup aku belum pernah bermain layang-layang. Pelik? Pelik tapi benar :). Kelmarin, entah apa yang aku mimpikan, aku minta suamiku belikan layang-layang. Mungkin aku seronok melihat beberapa orang kanak-kanak bermain di hadapan rumahku dan memang sekarang di Perlis musim berangin. Kebetulan suamiku pulang awal, jadi kami pun keluar mencari.

Selama ini, aku hanya pemerhati, melihat layang-layang terbang tinggi. Rasa seronok melihat layang-layang terbang ditiup angin. Sebenarnya, sudah lama aku mahu cuba menerbangkan layang-layang. Hehe... mungkin orang lain rasa apalah seronok sangat menerbangkan layang-layang. Mainan kuno. Tetapi yang penting aku tetap mahu mencuba.

Akhirnya, lewat petang, aku berpeluang menerbangkan layang-layang walaupun pada awalnya kurang konfiden. Seronoknya... pertama aku dapat terbangkan layang-layang. Kedua, layang-layang aku terbang lebih tinggi daripada tok guruku (siapa lagi kalau bukan suami). Ditambah pula dengan anak-anak jiran yang datang mengerumuni kami... hingar-bingar. Ada juga yang datang kepada kami dan berkata, "Mai kami tunjuk cemana nak main". Hehe... kami tersenyum saja.

Daripada perspektifku, hidup kita juga umpama layang-layang. Tanpa tali yang mengikat serta tukang terbang layang-layang, layang-layang pasti terbang terus ditiup angin. Umpama hidup kita tanpa petunjuk dan bantuan Allah. Hidup tanpa mengikut al-Quran dan sunnah. Pastikan layang-layang terus terikat pada talinya. Supaya perjalanannya tidak sia-sia. Andai terputus tali itu, terbanglah ia entah ke mana mengikut deras angin yang membawa. Akhirnya tersadai apabila hembusan angin sudah tiada.