Tuesday, July 27, 2010

Sabar Itu Jalan Keluar Terbaik

Apabila dirimu ditimpa musibah, bersabarlah.

Apabila kehidupanmu sukar, bersabarlah.

Apabila kau sakit sehingga tidak tertanggung rasanya, bersabarlah.

Apabila insan yang kau sayangi meninggalkan dunia, bersabarlah.

Apabila masalah sentiasa mengunjungimu tanpa diundang, bersabarlah.

Bersabar... bersabar & terus bersabar walau apa jua yang kau hadapi, wahai teman. Kaulah manusia paling beruntung jika kau mampu bersabar. Pasti kesabaranmu akan terbalas. Jika tidak di dunia, di Akhirat pasti ada.

Monday, July 19, 2010

Qurratu A'yun

"Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurratu a'yun,
waja'lna lil muttaqina imama."

Setiap ibu ayah pasti menginginkan zuriat keturunan yang soleh & solehah. Tanyalah mana-mana ibu ayah, anak bagaimana yang mereka impikan. Pasti jawapannya, "Semoga kami dikurniakan anak yang soleh & solehah."

Kadang kala, terdetik juga di hati ini, adakah kita benar-benar mengerti siapakah anak yang soleh & solehah itu? Adakah yang cerdik akal fikirannya? Atau yang cergas bersukan? Ataupun yang sentiasa juara dalam apa jua pertandingan?.... Saya pasti ramai di kalangan kita sudah ada jawapan tersendiri. Apatah lagi ada yang sudah membesarkan anak selama berpuluh-puluh tahun.

Saya sendiri masih 'merangkak-rangkak' belajar mendidik anak-anak (On Job Training). Bukan kerja yang mudah. Jika dahulu, sebagai kakak sulung, saya umpama assistant emak & ayah. Saya hanya membantu mana yang patut. Kini, saya adalah partner kepada suami. Pasti tanggungjawab itu lebih berat.

Jika ditanyakan kepada saya, bagaimana saya mendidik mereka sedangkan saya sendiri belum punya anak. Jawapan saya, belum punya anak tidak bermakna kita tidak mampu untuk mendidik. Kadang kala, ia datang daripada melihat cara ibu ayah mendidik kita. Ada juga daripada bahan-bahan bacaan terutamanya berkaitan dengan ilmu keibubapaan (parenting skill). Ada kalanya, mendengar dan bertanya pengalaman orang lain. Namun, yang lebih penting adalah sentiasa berusaha meng'update' ilmu yang ada supaya pendidikan anak-anak insyaAllah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Walaupun saya adalah Instant Ummi, saya berharap anak-anak ini menjadi anak-anak soleh & solehah. Cabaran pasti ada. Namun, saya yakin setiap perkara yang didatangkan, pasti Allah lebih tahu di mana kebaikannya. Yang penting, elakkan diri daripada rasa putus asa. InsyaAllah bantuan Allah pasti ada.

Tuesday, July 13, 2010

Kemas Rumah

Ahad lepas, saya, suami dan anak-anak berhempas-pulas mengemas rumah, mengubah kedudukan perabot. Sudah lama saya suarakan pada suami untuk mengubah kedudukan di dalam rumah. Terasa bosan melihat keadaan yang sama.

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja saya membuat seorang diri. Namun, memandangkan tulang empat kerat yang tidak memadai untuk mengangkat perabot, saya sabar menunggu. Akhirnya, tiba juga hari itu.

Di celah-celah kesibukan mengemas, suami berkata, "Dua tahun sekali la ye kita ubah pula." Saya tersenyum. Hehe... kasihan. Terima kasih ye, wahai suami. Tapi tak boleh nak janji yang dua tahun sekali tu :).

Wednesday, July 7, 2010

Ikhlas Itu Umpama....

Allah menyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud, "Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita."

Jom kita bayangkan bersama-sama. Sudah pasti tiada apa yang dapat dilihat kecuali hitam pekat, gelap zulumat.

Beberapa minggu yang sudah berlalu benar-benar menguji tahap ikhlas saya dalam beramal. Sukar... amat sukar. Amat sukar mengekalkan rasa ikhlas bagi setiap amal yang pernah dilakukan. Tidak kira besar mahupun kecil, berat mahupun ringan.

Kadang kala, tanpa disedari kita mengharapkan segala kebaikan yang kita usahakan dibalas dengan dengan kebaikan juga. Apabila diuji dengan perkara sebaliknya, kita mula melatah.

"Selepas ini, aku tak nak tolong dia lagi. Penat-penat aku tolong...."

"Sampai hati dia buat begitu. Tengoklah lepas ni...."

Hati mula terasa benci. Syaitan mula mengapi-api. Tekanan darah mungkin melonjak tinggi. Sabar-sabar wahai diri. Jangan biarkan ikhlas melayang pergi. Kelak dirimu juga yang rugi. Sia-sia sahaja amalmu selama ini.

Anggaplah ujian ini adalah signal daripada Allah... signal supaya hambanya mengevaluasi diri serta amal.

Anggaplah ia tanda kasih Allah kepada makhluknya yang lemah.

Dengan izin Allah jua, kita pasti mampu melakukan segala amal dengan penuh ikhlas. Dengan izinnya juga, amal kita bertukar menjadi sia-sia. Dia yang lebih berhak membalas amal perbuatanmu. Oleh itu, serahkan segala-galanya kepada dia bagi menentukan di mana kedudukanmu.

Saturday, July 3, 2010

Saya Budak Sekolah Agama

Kelmarin, sementara menunggu anak di dalam kereta, saya memerhatikan anak-anak remaja yang melintasi di hadapan kereta. Bertudung labuh dan berbaju kurung hijau, itulah uniform bagi sekolah agama di situ.

Saya tersenyum dan teringat zaman persekolahan saya. Agaknya begitulah saya semasa zaman remaja suatu masa dahulu (sekarang masih rasa remaja lagi... hehe).

Budak sekolah agama... sebuah title yang belum menjamin apa-apa.

Tiada jaminan ia akan kekal baik.

Tiada juga jaminan ia bakal menjadi contoh terbaik kepada insan lain.

Juga tiada jaminan ia beriman sehingga akhir hayat.

Mengetahui agama tidak sama dengan menghayatinya. Tahu tidak bermakna menghayati. Namun, menghayati pasti didahului dengan tahu. Mengetahui ilmu tanpa penghayatan, ia hanya tersimpan. Tidak dilahirkan dalam bentuk amal iaitu hasil penghayatan.

Kita akan mengenali diri sebenar apabila melangkah masuk ke alam realiti. Adakah kita benar-benar mampu mengaplikasikan segala ilmu yang tepu di dada? Mampukah kita bertahan menghadapi segala cabaran yang datang dengan tetap berada di atas jalan yang lurus? Tika itu, adakah kita masih berpegang teguh pada prinsip-prinsip agama yang suatu masa dahulu kita pertahankan dengan bersungguh-sungguh?

Sesungguhnya, tepu ilmu agama di dada, bukan jaminan imanmu terbela.

Saya budak sekolah agama... suatu masa dahulu.