Saturday, September 25, 2010

Masa untuk Diri Sendiri

Semasa menulis entri ini, saya di Sungai Petani Inn. Menemani suami yang perlu mengikuti bengkel selama 2 hari. Kami berdua sahaja yang datang ke sini. Anak-anak? Seorang mengikuti rombongan ke Cameron Highlands. 2 orang lagi di asrama.

Masa untuk diri sendiri & berdua dengan suami :).

Sebenarnya, agak lama juga saya inginkan masa-masa begini. Beberapa kali saya suarakan hasrat pada suami. Namun, keadaan sering tidak mengizinkan. Anak tidak sihat. Saya ada aktiviti. Suami pula tidak ada di rumah kerana kerja. Macam-macam lagi.

Dalam rancangan awal, sepatutnya kami bertiga yang akan datang ke sini. Suami, saya & anak. Tetapi, kemudian anak beritahu yang dia mahu mengikuti lawatan pada tarikh yang sama. Kami setuju sahaja. Kita hanya merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Mungkin rezeki saya.

Bagi anak-anak yang tinggal di asrama, suami sudah berpesan yang mereka tidak dapat pulang ke rumah minggu ini kerana kami tiada. Masing-masing akur. Namun, apa-apa pun boleh berlaku.

SEBELUM ITU....

Anak kedua menelefon memberitahu yang dia sakit perut. Dalam hati saya terdetik, "Tak dapat lagi la masa bersama suami." Tidak mengapalah. Saya & suami melawatnya & menghantar ubat. Katanya mahu balik. Saya tersenyum. Agaknya saya sudah biasa dengan situasi sebegini. Akai budak. Saya & suami cuba yakinkan yang insyaAllah esok sakitnya akan sembuh. Biasalah... sakit orang perempuan. Esoknya tiada panggilan telefon daripadanya. InsyaAllah, sudah sembuh la tu.

Sehari lagi sebelum datang ke sini, anak pertama pula menelefon. Katanya dia demam. Terdetik lagi hati saya. Saya & suami bergegas ke sekolahnya menghantar ubat. Alhamdulillah, demamnya tidak kuat seperti selalu. Sebelum kami pulang, dia beritahu mahu ikut ke Sungai Petani. Kah... kah... kah, ketawa dalam hati saya. Suami beritahu lebih baik dia berehat. Dia pun akur. Selepas meninggalkan kawasan sekolah, suami tersengih. "Akai tu." Aku pun tersenyum.

Akhirnya, tiba juga kami di sini. Saya ternanti-nanti juga panggilan telefon dari anak-anak. Mungkin ada hal lain pula yang timbul. Alhamdulillah, tiada. Semoga mereka gembira dengan urusan masing-masing.

BAGI SAYA....

Bagi saya, dalam perkahwinan, masa untuk diri sendiri & berdua bersama suami tanpa anak-anak adalah penting. Ia seperti memberi nafas baru dalam hubungan suami isteri & perkahwinan. Tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Biarlah masa itu berkualiti untuk diri & suami/isteri. Mungkin 2 - 3 jam. Yalah... mungkin yang masih mempunyai anak-anak kecil... bagaimana pula mahu meninggalkannya selama 2, 3 hari.

Jika anak-anak sudah besar dan boleh berdikari, rasanya perlu diberitahu kepada anak-anak ada masanya ibu & ayah memerlukan masa berdua sahaja. Bukan setiap masa perlu membawa mereka. Ini sekadar pandangan sahaja. Mungkin ada yang tidak setuju. Terpulang kepada diri individu.

Namun begitu, alhamdulillah tertunai juga hasrat yang satu ini. Semoga ada manfaat & kebaikan. Semoga dipermudahkan Allah segala urusan kita.

Wednesday, September 22, 2010

Kreatif... kreatif

Gambar ini diambil di salah sebuah restoran di Perlis. Mula-mula tidak perasan... tetapi apabila lama merenung, baru sedar kelainannya.

Itulah dia ciptaan Allah... menciptakan manusia dengan bakat yang berbeza-beza. Memang empunya idea ini seorang yang kreatif. Saya yang skema rasanya tidak terfikir sebegitu. Wallahua'lam.

Monday, September 20, 2010

Tenang & Ujian

Tenang itu nikmat. Tenang itu rahmat. Namun, ada kalanya tenang itu yang membuatkan kita leka & alpa.

Leka daripada khusyuk dalam beribadah.

Leka daripada bersungguh-sungguh tika berdoa meminta kepada Allah.

Alpa daripada memuhasabah segala kekhilafan diri.

Ujian & musibah adalah elemen yang bakal mengusik kolam ketenangan dalam diri. Namun, tika itu mungkin kita lebih dekat dengan Allah.

Ibadah lebih khusyuk.

Rasa mengharap hadir dalam setiap doa yang dipinta.

Oleh itu, BERSANGKA BAIK kepada Allah dalam setiap perkara yang diberi. Tidak kira tenang mahupun dalam ujian, ingatlah segala-galanya daripada Allah. Dia yang memberi. Dia jua yang menarik kembali. Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirimu.

Tuesday, September 7, 2010

Ramadan Lepas & Sekarang

Sebentar sahaja dirasakan Ramadan kali ini. Jika dijangkakan Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, kita hanya ada lebih kurang 2 hari sahaja lagi berada dalam bulan yang penuh berkat dan mulia ini. Sedih juga hati ini. Bila pula mahu bertemu lagi.

Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya rasakan sedikit tenang. Apakah sebabnya? Entah... mungkin saya sudah mula biasa dengan kehidupan kini. Tahun lepas adalah Ramadan pertama saya berpuasa bersama suami & anak-anak. Suasana yang berbeza dari sebelumnya. Biasalah... si isteri yang menjadi tunggak utama menguruskan urusan harian sepanjang Ramadan. Sebagai 'jam loceng', menyediakan sahur & berbuka, menyediakan pakaian raya dan sebagainya. Kitalah 'tukang fikir'. Kelam kabut juga.

Tahun lepas, sebelum tiba Ramadan lagi, saya agak risau bagaimana mahu memasak tanpa merasa. Hehe... gelabah juga. Biasanya, apabila berbuka bersama keluarga sendiri, kami jarang berbuka dengan nasi. Hanya bersahur sahaja dengan nasi. Namun, kini saya perlu membiasakan diri dengan keadaan baru. Kena pandai-pandai mengagak garam yang mahu dimasukkan.

Kalau dahulu, saya sempat bersolat sebentar sebelum bersahur walaupun jam 5 pagi baru bangun tidur. Sekarang, kalau jam 5 baru celik mata, selalunya memang tidak sempat kecuali kami tidak makan nasi. Sering saya terasa sedih & rugi kerana tidak dapat berqiyamullail. Namun, saya sering memujuk hati dengan menyatakan menyediakan sahur untuk keluarga juga ibadah tetapi perlu ikhlas. Oleh itu, Ramadan tahun ini, saya awalkan sedikit waktu bangun tidur supaya saya ada masa untuk berqiyamullail. Walaupun kadang kala mata seperti tidak boleh dibuka kerana tidur lewat, namun alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan untuk bangun.

Inilah pengalaman yang membuatkan saya tersenyum apabila teringatkannya. Semoga baki-baki Ramadan yang masih tinggal ini dapat diisi dengan sebaik-baik amalan. Teruskan pecutan hingga ke garisan terakhir. Ramadan tahun hadapan belum tentu kita masih bernafas bagi meneruskan amalan-amalan.

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM