Monday, February 14, 2011

Anak & Materialistik

Pada suatu masa, di sebuah negara bernama Sang Kayaraya, seorang anak berkata kepada ayahnya, "Ayah, aku ada seorang kawan yang cukup bahagia."

"Mengapa, anakku? Adakah kamu tidak bahagia? Apa yang ayah dapat lakukan supaya kamu bahagia?" tanya ayah cuba memahami.

"Ayah, aku ada seorang kawan. Setiap minggu ayahnya memberikannya wang sebanyak RM100. Dia dapat membeli bermacam-macam barang. Dia ada itu dan ini, sedangkan aku belum ada lagi. Aku lihat dirinya sangat bahagia kerana barang-barang yang dimiliki. Jika barangnya hilang ataupun rosak, mudah sahaja dia mencari ganti kerana ada wang," cerita anak bersungguh-sungguh.

"Aku terlalu ingin menjadi bahagia sepertinya. Apa sahaja yang aku mahu dapat kubeli dengan mudah. Tetapi, sampai sekarang angan-anganku itu belum tertunai," tambah anak dengan nada sedih.

Ayah terdiam membisu. Tiba-tiba dia bersuara kembali.

"Bukankah kelmarin ayah sudah belikan pakaian yang kamu mahu? Bukankah kita sudah membeli segala keperluan dirimu?" tanya ayah bertalu-talu. Sedih benar hatinya mendengar kata-kata anak, seolah-olah dirinya itu terlalu rendah berbanding ayah kawan anaknya.

"Ayah, pakaian yang dibeli itu tidak sesuai. Nanti apa pula kata kawanku. Aku mahu beli barang lain," kata anak membentak-bentak.

Ayah terus terdiam. Di mana silapnya....

Semoga semuanya dalam rahmat & kasih sayang Allah. Lama benar tidak 'bersuara' di teratak ini. Bukan tiada langsung perkara yang mahu dibicara. Cuma lebih suka untuk diam buat seketika.

Cuma kali ini terasa ingin berkongsi. Mungkin kerana sedikit resah melihat anak-anak era ini. Cara pandangnya cukup merunsingkan hati. Yang diajar lain, lain pula yang difahami. Yang disuruh lain, lain pula yang diikuti. Cabaran ibu bapa era zaman teknologi.

Kisah di atas, mungkin fantasi mungkin juga realiti. Yang penting, fikir-fikirkan....