Showing posts with label Celoteh. Show all posts
Showing posts with label Celoteh. Show all posts

Monday, February 25, 2013

Gebang-gebang

Jika saya kata tiada benda yang hendak saya tuliskan di sini, sebenarnya terlalu banyak. Cuma mungkin tidak tahu bagaimana mahu menyusun kata-kata. Jenuh juga saya memikirkan kata-kata terbaik tetapi berakhir dengan saya hanya meletakkannya sebagai draft. Dan akhirnya terus dibuang ke dalam tong sampah.

Minat untuk menulis timbul selepas saya pernah menjadi editor buku di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Sebelum itu, tidak pernah terlintas untuk menulis di mana-mana pun (blog, majalah, buku) kecuali cikgu minta menulis esei. Kalau saja-saja, memang dalam mimpi.

Bila zaman 'berblog' muncul, saya juga berminat untuk mencuba. Sekadar tempat untuk me'relakskan' minda. Saya percaya menulis juga dapat meningkatkan daya kreativiti bagi menarik minat pembaca untuk membaca. Ada antara blog-blog yang saya kunjungi membuatkan saya kagum dengan gaya penulisannya yang cukup menyentuh hati. Dalam hati sentiasa berharap saya juga mampu berbuat seperti itu. InsyaAllah.... Penulisan yang menggugah jiwa. Ewah.

Tika itu ada cabaran lain yang bakal datang. RIYA' mungkin. Kembang kempis hidung tidak henti-henti. "Osem betul penulisan aku." "Ramai betul pembaca blog aku." Jaga-jaga weh.

Apa-apa pun, saya mahu terus menghidupkan blog ini, walaupun mungkin macam separuh hidup je. InsyaAllah... Ma'at taufiq wan najah.

Sunday, January 27, 2013

Adik-adikku... Berjuanglah

Alhamdulillah, berjaya juga menganjurkan program buat adik-adik 'doktot' yang akan graduate hujung bulan ini. Dijangkakan 20 orang yang akan hadir. namun begitu (Allah mengizinkan)... hanya 8 orang sahaja yang hadir. A'la kulli hal, alhamdulillah... program dapat dijalankan dengan lancar.

Sedikit sharing daripada ukhti Aisyah... bakal 'doktot' juga, menaikkan semangat adik-adik serta seniors yang lain (termasuk diri yang lemah ini). Pokok pengisiannya adalah sentiasa istiqamah di atas jalan dakwah walau apa jua cabaran dan kesibukan yang datang. Faham-faham jelah bagaimana kerjaya seorang doktor. Tambah-tambah lagi ketika houseman. Inilah seronoknya bersama dengan orang-orang muda (nampak sangat diri sudah tua). Program ditutup dengan ucapan serta nasyid.

Mudah-mudahan, di mana jua kalian 'dicampakkan' atau 'tercampak', kalian tetap akan menjadi umpama buah kelapa. Ke mana jua akan memberi manfaat kepada manusia.

"Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain"

Wednesday, January 18, 2012

Pergantungan Total Kepada Allah

Hari ini Uda perlu selesaikan hal sekolah anak. Perlu pergi ke jabatan pendidikan untuk pertukaran sekolah. Hajat di hati mahu ajak jiran temankan. Kalau Inche Husband mahu temankan lagi bagus. Tetapi Inche Husband tengah sibuk sebab ada presentation. Uda memang payah sikit kalau nak buat perkara yang tidak pernah dibuat. Ada sikit-sikit rasa takut.

Tetapi, kemudian terlintas dalam hati. Kenapa Uda bergantung sangat pada manusia? Bukankah sebaik-baik pergantungan adalah kepada Allah? Jadi, Uda ambil keputusan pergi sendiri, tak perlu siapa-siapa temankan. Memang sepanjang jalan baca doa, baca ayat kursi dengan harapan dipermudahkan segala urusan.

Alhamdulillah, akhirnya selesai juga urusan walaupun terpaksa memanjat tangga sampai tingkat 4 untuk menghantar borang. Sampai sahaja di situ, pegawai suruh duduk sekejap. Uda tersenyum. Nampak sangat dia tahu Uda kepenatan. Kiranya pegawai di situ bertimbang rasa & memahami. Borang pun dapat dihantar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, lega rasanya. Alhamdulillah dapat juga melepasi satu cabaran.

Pergantungan total kepada Allah = tawakal.... Tepuk dada, tanya iman.

Monday, January 16, 2012

Akhirnya.....

Bismillahi walhamdulillah....

Akhirnya, niat tuan punya blog untuk mengubah 'rupa paras' blognya yang sekian lama ditinggalkan tercapai juga. Cari punya cari, rupa-rupanya mudah saja. Rindu sebenarnya mahu menulis semula walaupun bukanlah ramai pembaca yang mahu membaca pun. Takpelah... yang penting tuan punya blog rasa hepi :).

Harap sangat tuan punya blog ini dipermudahkan Allah untuk meng'update' blognya dengan perkara-perkara bermanfaat, membangkit iman & semangat. InsyaAllah.

Sampai di sini dahulu buat permulaan. Sudah hampir Maghrib....

Thursday, April 7, 2011

Mengaktifkan Semula Minda

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, banyak sungguh nikmat yang perlu disyukuri. Bersyukur walaupun sedikit yang diperolehi. Kerana belum pasti kitakan bersyukur dengan yang banyak jika sedikit pun payah bersyukur.

Dua tiga hari kebelakangan ini, alhamdulillah diberi kekuatan untuk berusaha mengaktifkan semula minda. Jeng... jeng... jeng, dengan apa? Sudoku? Perkara yang sudah lama saya impikan, cuma... biasalah alasan.

Saya mengulangkaji kursus yang pernah saya belajar semasa di IPT suatu masa dahulu. Buat Master ke? Enggak... insyaAllah usaha saya menulis buku bersama ayah. Sudah lama ayah minta saya menulis. Biasalah anak dia yang seorang ini... ish, ish, ish. Memang ayah tidak putus asa... hehe.

InsyaAllah saya akan usahakannya dengan bersungguh-sungguh. Penat juga mahu memahami semula perkara yang sudah lama ditinggalkan. Tetapi seronok juga. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami & mudah untuk saya memberitahu pembaca dalam bentuk penulisan.

Doakan saya ye... CHAIYOK

Tuesday, March 29, 2011

Ayam Togel

Pagi-pagi hari, selalu terdengar suara anak jiran sebelah menangis-nangis. Sedih agaknya mahu ditinggalkan mama yang mahu bergerak ke tempat kerja.

Teringat saya nostalgia semasa kecil. Bukanlah saya selalu menangis-nangis... cuma teringat emak selalu menceritakan kisah 'ayam togel'. Walaupun banyak kali sudah mendengar, tidak pernah bosan. Dari kecil sampai besar (masa tu sudah bekerja), masih suka mendengar emak bercerita 'ayam togel'. Tumpang sekaki apabila emak bercerita kepada adik. Hehe....

Apa yang special sangat kisah 'ayam togel'? Entahlah... mungkin cara emak bercerita. Ada sound track. Pengajaran cerita... dengar cakap emak :). Apa-apa pun, saya akan tersenyum apabila teringat kisah ayam togel.

KURRR....

Saturday, September 25, 2010

Masa untuk Diri Sendiri

Semasa menulis entri ini, saya di Sungai Petani Inn. Menemani suami yang perlu mengikuti bengkel selama 2 hari. Kami berdua sahaja yang datang ke sini. Anak-anak? Seorang mengikuti rombongan ke Cameron Highlands. 2 orang lagi di asrama.

Masa untuk diri sendiri & berdua dengan suami :).

Sebenarnya, agak lama juga saya inginkan masa-masa begini. Beberapa kali saya suarakan hasrat pada suami. Namun, keadaan sering tidak mengizinkan. Anak tidak sihat. Saya ada aktiviti. Suami pula tidak ada di rumah kerana kerja. Macam-macam lagi.

Dalam rancangan awal, sepatutnya kami bertiga yang akan datang ke sini. Suami, saya & anak. Tetapi, kemudian anak beritahu yang dia mahu mengikuti lawatan pada tarikh yang sama. Kami setuju sahaja. Kita hanya merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Mungkin rezeki saya.

Bagi anak-anak yang tinggal di asrama, suami sudah berpesan yang mereka tidak dapat pulang ke rumah minggu ini kerana kami tiada. Masing-masing akur. Namun, apa-apa pun boleh berlaku.

SEBELUM ITU....

Anak kedua menelefon memberitahu yang dia sakit perut. Dalam hati saya terdetik, "Tak dapat lagi la masa bersama suami." Tidak mengapalah. Saya & suami melawatnya & menghantar ubat. Katanya mahu balik. Saya tersenyum. Agaknya saya sudah biasa dengan situasi sebegini. Akai budak. Saya & suami cuba yakinkan yang insyaAllah esok sakitnya akan sembuh. Biasalah... sakit orang perempuan. Esoknya tiada panggilan telefon daripadanya. InsyaAllah, sudah sembuh la tu.

Sehari lagi sebelum datang ke sini, anak pertama pula menelefon. Katanya dia demam. Terdetik lagi hati saya. Saya & suami bergegas ke sekolahnya menghantar ubat. Alhamdulillah, demamnya tidak kuat seperti selalu. Sebelum kami pulang, dia beritahu mahu ikut ke Sungai Petani. Kah... kah... kah, ketawa dalam hati saya. Suami beritahu lebih baik dia berehat. Dia pun akur. Selepas meninggalkan kawasan sekolah, suami tersengih. "Akai tu." Aku pun tersenyum.

Akhirnya, tiba juga kami di sini. Saya ternanti-nanti juga panggilan telefon dari anak-anak. Mungkin ada hal lain pula yang timbul. Alhamdulillah, tiada. Semoga mereka gembira dengan urusan masing-masing.

BAGI SAYA....

Bagi saya, dalam perkahwinan, masa untuk diri sendiri & berdua bersama suami tanpa anak-anak adalah penting. Ia seperti memberi nafas baru dalam hubungan suami isteri & perkahwinan. Tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Biarlah masa itu berkualiti untuk diri & suami/isteri. Mungkin 2 - 3 jam. Yalah... mungkin yang masih mempunyai anak-anak kecil... bagaimana pula mahu meninggalkannya selama 2, 3 hari.

Jika anak-anak sudah besar dan boleh berdikari, rasanya perlu diberitahu kepada anak-anak ada masanya ibu & ayah memerlukan masa berdua sahaja. Bukan setiap masa perlu membawa mereka. Ini sekadar pandangan sahaja. Mungkin ada yang tidak setuju. Terpulang kepada diri individu.

Namun begitu, alhamdulillah tertunai juga hasrat yang satu ini. Semoga ada manfaat & kebaikan. Semoga dipermudahkan Allah segala urusan kita.

Tuesday, September 7, 2010

Ramadan Lepas & Sekarang

Sebentar sahaja dirasakan Ramadan kali ini. Jika dijangkakan Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, kita hanya ada lebih kurang 2 hari sahaja lagi berada dalam bulan yang penuh berkat dan mulia ini. Sedih juga hati ini. Bila pula mahu bertemu lagi.

Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya rasakan sedikit tenang. Apakah sebabnya? Entah... mungkin saya sudah mula biasa dengan kehidupan kini. Tahun lepas adalah Ramadan pertama saya berpuasa bersama suami & anak-anak. Suasana yang berbeza dari sebelumnya. Biasalah... si isteri yang menjadi tunggak utama menguruskan urusan harian sepanjang Ramadan. Sebagai 'jam loceng', menyediakan sahur & berbuka, menyediakan pakaian raya dan sebagainya. Kitalah 'tukang fikir'. Kelam kabut juga.

Tahun lepas, sebelum tiba Ramadan lagi, saya agak risau bagaimana mahu memasak tanpa merasa. Hehe... gelabah juga. Biasanya, apabila berbuka bersama keluarga sendiri, kami jarang berbuka dengan nasi. Hanya bersahur sahaja dengan nasi. Namun, kini saya perlu membiasakan diri dengan keadaan baru. Kena pandai-pandai mengagak garam yang mahu dimasukkan.

Kalau dahulu, saya sempat bersolat sebentar sebelum bersahur walaupun jam 5 pagi baru bangun tidur. Sekarang, kalau jam 5 baru celik mata, selalunya memang tidak sempat kecuali kami tidak makan nasi. Sering saya terasa sedih & rugi kerana tidak dapat berqiyamullail. Namun, saya sering memujuk hati dengan menyatakan menyediakan sahur untuk keluarga juga ibadah tetapi perlu ikhlas. Oleh itu, Ramadan tahun ini, saya awalkan sedikit waktu bangun tidur supaya saya ada masa untuk berqiyamullail. Walaupun kadang kala mata seperti tidak boleh dibuka kerana tidur lewat, namun alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan untuk bangun.

Inilah pengalaman yang membuatkan saya tersenyum apabila teringatkannya. Semoga baki-baki Ramadan yang masih tinggal ini dapat diisi dengan sebaik-baik amalan. Teruskan pecutan hingga ke garisan terakhir. Ramadan tahun hadapan belum tentu kita masih bernafas bagi meneruskan amalan-amalan.

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM

Thursday, August 12, 2010

Ummi @ Ibu

Dulu-dulu, saya selalu menginginkan anak-anak memanggil saya dengan panggilan IBU. Entah kenapa saya cukup berkenan dengan panggilan itu.

Hendak dikatakan panggilan itu lebih keibuan, rasanya lebih kurang sama sahaja dengan panggilan MAMA, MAK dan yang seumpama dengannya. Namun, kini tanpa dipinta saya dipanggil Ummi. Alhamdulillah...

Tidak kira panggilan apa pun yang diberi, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan dengan ikhlas.

Yang Mana Satu Diri Kita

Sepanjang hidup ini, macam-macam ragam manusia sudah ditemui. Akhirnya, saya membuat sedikit kesimpulan berkaitan kategori manusia di dunia.

  • Ada yang sangat banyak cakapnya, TETAPI kurang melaksanakannya.
  • Ada pula cakap dan buatnya lebih kurang sama. Maksudnya, bukan hanya cakap kosong. Apa yang dikatakan, insyaAllah dia berusaha melakukan.
  • Ada juga yang tidak banyak cakap, buat pun tidak.
  • Ada yang tidak banyak cakap, TETAPI hebat melaksanakannya.
Yang mana satu diri kita?

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan wa Sahlan, ya Ramadan

Pejam celik, pejam celik, akhirnya bertemu kembali dengan Ramadan kali ini. Semoga umur ini dipanjangkan untuk menghabiskan ibadah puasa selama sebulan.

Selalunya apabila tiba Ramadan, hati saya akan teringatkan Penang. Mmm... memang rindukan masa berpuasa bersama ibu, ayah & adik-adik. Bukannya ada apa-apa yang terlebih istimewa, cuma mungkin suasana berpuasa yang berbeza.

Tidak kira di mana jua kita melaksanakan ibadah puasa, biarlah kualiti puasa kita semakin meningkat. Tanamkan azam untuk meningkatkan amalan-amalan sunat.

RAMADAN KARIM

Monday, July 19, 2010

Qurratu A'yun

"Rabbana hablana min azwajina wa zurriyyatina qurratu a'yun,
waja'lna lil muttaqina imama."

Setiap ibu ayah pasti menginginkan zuriat keturunan yang soleh & solehah. Tanyalah mana-mana ibu ayah, anak bagaimana yang mereka impikan. Pasti jawapannya, "Semoga kami dikurniakan anak yang soleh & solehah."

Kadang kala, terdetik juga di hati ini, adakah kita benar-benar mengerti siapakah anak yang soleh & solehah itu? Adakah yang cerdik akal fikirannya? Atau yang cergas bersukan? Ataupun yang sentiasa juara dalam apa jua pertandingan?.... Saya pasti ramai di kalangan kita sudah ada jawapan tersendiri. Apatah lagi ada yang sudah membesarkan anak selama berpuluh-puluh tahun.

Saya sendiri masih 'merangkak-rangkak' belajar mendidik anak-anak (On Job Training). Bukan kerja yang mudah. Jika dahulu, sebagai kakak sulung, saya umpama assistant emak & ayah. Saya hanya membantu mana yang patut. Kini, saya adalah partner kepada suami. Pasti tanggungjawab itu lebih berat.

Jika ditanyakan kepada saya, bagaimana saya mendidik mereka sedangkan saya sendiri belum punya anak. Jawapan saya, belum punya anak tidak bermakna kita tidak mampu untuk mendidik. Kadang kala, ia datang daripada melihat cara ibu ayah mendidik kita. Ada juga daripada bahan-bahan bacaan terutamanya berkaitan dengan ilmu keibubapaan (parenting skill). Ada kalanya, mendengar dan bertanya pengalaman orang lain. Namun, yang lebih penting adalah sentiasa berusaha meng'update' ilmu yang ada supaya pendidikan anak-anak insyaAllah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Walaupun saya adalah Instant Ummi, saya berharap anak-anak ini menjadi anak-anak soleh & solehah. Cabaran pasti ada. Namun, saya yakin setiap perkara yang didatangkan, pasti Allah lebih tahu di mana kebaikannya. Yang penting, elakkan diri daripada rasa putus asa. InsyaAllah bantuan Allah pasti ada.

Tuesday, July 13, 2010

Kemas Rumah

Ahad lepas, saya, suami dan anak-anak berhempas-pulas mengemas rumah, mengubah kedudukan perabot. Sudah lama saya suarakan pada suami untuk mengubah kedudukan di dalam rumah. Terasa bosan melihat keadaan yang sama.

Kalau diikutkan hati, mahu sahaja saya membuat seorang diri. Namun, memandangkan tulang empat kerat yang tidak memadai untuk mengangkat perabot, saya sabar menunggu. Akhirnya, tiba juga hari itu.

Di celah-celah kesibukan mengemas, suami berkata, "Dua tahun sekali la ye kita ubah pula." Saya tersenyum. Hehe... kasihan. Terima kasih ye, wahai suami. Tapi tak boleh nak janji yang dua tahun sekali tu :).

Saturday, July 3, 2010

Saya Budak Sekolah Agama

Kelmarin, sementara menunggu anak di dalam kereta, saya memerhatikan anak-anak remaja yang melintasi di hadapan kereta. Bertudung labuh dan berbaju kurung hijau, itulah uniform bagi sekolah agama di situ.

Saya tersenyum dan teringat zaman persekolahan saya. Agaknya begitulah saya semasa zaman remaja suatu masa dahulu (sekarang masih rasa remaja lagi... hehe).

Budak sekolah agama... sebuah title yang belum menjamin apa-apa.

Tiada jaminan ia akan kekal baik.

Tiada juga jaminan ia bakal menjadi contoh terbaik kepada insan lain.

Juga tiada jaminan ia beriman sehingga akhir hayat.

Mengetahui agama tidak sama dengan menghayatinya. Tahu tidak bermakna menghayati. Namun, menghayati pasti didahului dengan tahu. Mengetahui ilmu tanpa penghayatan, ia hanya tersimpan. Tidak dilahirkan dalam bentuk amal iaitu hasil penghayatan.

Kita akan mengenali diri sebenar apabila melangkah masuk ke alam realiti. Adakah kita benar-benar mampu mengaplikasikan segala ilmu yang tepu di dada? Mampukah kita bertahan menghadapi segala cabaran yang datang dengan tetap berada di atas jalan yang lurus? Tika itu, adakah kita masih berpegang teguh pada prinsip-prinsip agama yang suatu masa dahulu kita pertahankan dengan bersungguh-sungguh?

Sesungguhnya, tepu ilmu agama di dada, bukan jaminan imanmu terbela.

Saya budak sekolah agama... suatu masa dahulu.

Monday, April 26, 2010

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

"Ada buku yang adik nak beli?"

Sempena pesta buku di Perlis yang dibuat di Dewan 2020, kami tidak melepaskan peluang, memperuntukkan masa meninjau-ninjau. Mana tahu ada buku yang berkenan.

Bagi anak-anak remaja, novel menjadi pilihan utama. Walaupun novel sinonim dengan kisah-kisah cinta yang mengkhayalkan, namun saya melihat novel yang berunsur pengajaran dan islamik sudah semakin berkembang di Malaysia. Perkembangan dan perubahan yang boleh dibanggakan. Namun, masih belum dapat menandingi produksi Indonesia.

"Nak buku ni," anak yang kecil menunjukkan sebuah novel remaja yang berkenan di hatinya.

Saya menelek-nelek tajuk dan isi buku. Rasa kurang berkenan melihat tajuk, ditambah lagi dengan isi kandungannya.

Dilema.

Beli sahaja buku yang dia mahu tanpa mengira isi kandungan kerana mahu menggalakkan anak membaca.

Atau...

Anak perlu mengikut piawaian ayah ibu bagi memilih bahan bacaan.

"Ayah, boleh ke beli buku ini?" saya meminta pandangan suami.

Suami terus membelek-belek buku tersebut. Tengok sahaja tajuk, suami terus berkata,

"Buku apa ni? Buku ni tidak berapa sesuai. Pilih buku lain ye."

Anak mula tarik muka '14' kerana permintaan tidak diterima. Namun, bagi saya ada kalanya hati ayah ibu perlu 'keras' supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik. Dalam hati, saya berdoa agar anak bertemu buku yang diminati dan bermanfaat.

"Sabar hati. Jangan mudah menyerah kalah dalam mendidik," bisik hati kecil saya.

"Ada buku yang lain yang adik nak?" kami bertanya lagi, mahu meredakan hatinya yang sedikit kecewa. Dia hanya menggelengkan kepala.

Kami keluar meninggalkan dewan selepas suami dan saya membeli bahan bacaan masing-masing. Dengan rasa yang amat penat selepas seharian suntuk dipenuhi program, kami bersyukur kerana dapat meluangkan masa ke pesta buku.

Esok hari, suami membawa saya dan anak-anak berjalan di Alor Star. Mencari persekitaran baru selain dari negeri Perlis.

"Buku ni boleh?" tanya anak yang kecil menunjukkan buku kepada suami semasa kami singgah di gerai buku.

"Ok, bagus. Buku ni boleh," suami memberi 'green light' selepas memastikan isi kandungannya baik.

Alhamdulillah, akhirnya ada juga buku yang sesuai dan berkenan di hatinya. Sabar kelmarin membuahkan hasil.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Biar susah sekarang, mudah kemudian.

Monday, April 19, 2010

Sambal Tumis

"Mana datang air bebanyak dalam sambal ni?" Mak Uda saya bertanya sambil tersenyum.

Saya tersengih-sengih malu. Memang sambal tumis yang baru saya masak untuk makan tengah hari terlalu banyak air. Betullah kata Mak Uda, seperti banjir. Masa itu umur saya jika tidak silap 15 tahun...15 tahun yang lepas. Pada masa itu, emak pergi menunaikan haji. Sedikit sebanyak kerja rumah berada di bawah taggugjawab saya termasuk memasak.

Memang masakan sambal tumis adalah masakan yang paling takut saya nak masak. Kadang-kadang menjadi. Tapi banyaknya tidak. Sehingga pada awal perkahwinan pun, saya masih kurang konfiden. Hehe.. risau nak beri orang lain makan.

Tetapi, alhamdulillah sekarang tingkat konfiden sudah meningkat. Mudah macam 'pulut dengan serawa' (kata-kata ayah). Kiranya sambal tumis yang dimasak bolehlah dipanggil sambal tumis. Tidaklah rasanya seperti masak sweet sour.

Begitulah hidup ini, bukan setakat memasak, tetapi banyak perkara dalam hidup ini perlu dilakukan dengan berani dan terus mencuba. Gagal sekali, cuba lagi. Tidak menjadi sekarang, insyaAllah menjadi pada masa mendatang. Oleh itu, Chaiyok!

Sunday, April 11, 2010

Facebook @ FB

Sememangnya hari ini agak pelik jika tidak mempunyai Facebook. FB menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja. Tetapi jangan sangka orang 'remaja dewasa' tidak ramai yang ber'FB' seperti ayah saya :). Tidak kusangka....

Ramai juga kengkawan yang jemput saya join FB. Agaknya belum terbuka hati (sebenarnya belum rasa ada kepentingan), saya hanya jadi pendengar dan pemerhati golongan yang ber'FB' sahaja. Lagi pun, blog yang satu itu pun lambat mahu di'update'.

Namun, saya yakin pasti ada kebaikan daripadanya. Cuma jauhi daripada sikap melampau-lampau. Sememangnya dalam apa jua perkara kita tidak boleh melampau-lampau walaupun ia baik.

Bagi yang sudah mempunyai FB, gunakannya dengan sebaik mungkin. Bagi saya, tengoklah nanti....

Tuesday, March 30, 2010

Suri Rumah

Kartun di atas tidak ada kena-mengena dengan sesiapa pun
terutamanya saya :)


Suri rumah... kerjaya yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran.

Bukan tidak pernah terfikir langsung mahu menjawat jawatan tersebut. Saya mempunyai pengalaman bekerja. Ada kalanya terlintas juga di fikiran, terutamanya apabila tiba saat sibuk umpama tidak cukup tangan dan kaki untuk menyiapkan kerja. Dalam hati, seronoknya kalau ada yang mahu tanggung makan minum. Hehe...

Sungguh tidak dijangka, perubahan hidup saya datang pada masa yang saya anggap sesuai. Memang benar-benar saya tidak perlu bekerja di luar (agaknya selalu sangat minta) :).

Kini, sudah lebih setahun saya menyandang jawatan suri rumah sepenuh masa. Mmm... apa komen saya? Kadang-kadang datang juga rasa bosan. Mungkin 24 jam ofis saya adalah rumah. Begitulah....

Apabila saya menyuarakan rasa bosan kepada suami, selalunya suami suruh saya ingat balik masa bekerja dahulu. Penat dan lain-lain lagi. Oklah... sabar, sabar. Kena ikhlas buat kerja... Hehe, begitulah. Siapa lagi mahu peringat, orang terdekat le. Lagipun memang benar.

Biasalah, jika tanya orang yang bosan bekerja... pasti dia mahu duduk di rumah. Jika bertanya orang yang duduk di rumah... pasti mahu keluar bekerja. Belajo-belajo lah jadi orang bersyukur ye...

Inilah antara perkara yang saya lalui selama setahun lebih ini. Banyak lagi perkara lain. Namun, yang penting usahakanlah diri menjadi manusia bersyukur.

Mudah dikato, susah dibuek (betul ke tidak cakap orang Minang :)).

Thursday, February 25, 2010

Jauh Bau Bunga....

"Dekat bau tahi, jauh bau bunga." Itulah agaknya pepatah yang sesuai denganku pada masa ini. Teringat-ingatkan suami yang kini berada jauh atas urusan kerja. Tergelak besar dia apabila aku beritahu tentang pepatah itu apabila kami bercakap melalui telefon. Begitulah kami bila berjauhan... berSMS, telefon. Umpama orang bercinta.

Berjauhan kali ini membuatkan aku banyak berfikir. Dan paling aku tidak sangka adalah keprihatinan sahabat-sahabatku berkaitan dengan kehidupanku kini. Memang benar... ada perkara tidak perlu diucapkan tetapi dapat dibaca daripada raut wajah.

Setelah setahun menempuh hidup berumah tangga, baru aku sedar banyaknya perubahan yang kulalui. Perubahan yang agak drastik sebenarnya. Ya, baru aku tersedar perubahan yang berlaku tanpa aku sendiri sedar terutamanya daripada segi fizikal. Ini kata sahabat-sahabatku yang prihatin. Mereka prihatin kerana mereka yang menguruskan perkahwinan ini. Terima kasih sahabat....

Isteri solehah adalah gelaran yang ingin dimiliki setiap wanita. Namun, bagiku tidak semudah kata-kata untuk menyandang gelaran itu. Namun, itu tidak bermakna mustahil. Memerlukan kesabaran, sabar, sabar dan sabar.

Buat suami, semoga selamat pergi dan pulang.

Tuesday, February 9, 2010

Baby Baru!

Hari ini bertambah jumlah anak saudaraku. Adikku baru sahaja mendapat baby boy. Nantikan khalah balik!!! :)