Showing posts with label Cerita-ceriti. Show all posts
Showing posts with label Cerita-ceriti. Show all posts

Wednesday, November 28, 2007

Kerja sia-sia?

Ulya tinggal bersama datuknya di Kampung Ceria semasa cuti sekolah. Setiap hari, Ulya selalu melihat datuknya bangun awal pagi. Selepas siap membersihkan diri, datuknya akan duduk di meja sambil membaca Al-Quran. Ulya begitu berminat untuk meniru datuknya. Jadi, setiap hari dia cuba meniru perlakuan datuknya itu. Pada suatu hari, Ulya bertanya kepada datuknya.

"Tok Ayah, Ulya cuba baca Al-Quran macam Tok Ayah. Tapi Ulya tidak faham. Yang Ulya faham terus terlupa apabila Ulya selesai baca Al-Quran. Apa sebenarnya kebaikan membaca Al-Quran?" tanya Ulya ingin tahu.

Dengan senyuman, datuknya mengeluarkan raga kecil daripada karung guni yang berisi arang.

"Ambil raga ini. Pergi ke sungai dan bawa balik seraga air dengan menggunakan raga ini."

"Biar benar Tok Ayah ni." Tanpa berlengah lagi, Ulya berlari ke sungai di belakang rumah. Dengan bersungguh-sungguh dia mengaut sebanyak mungkin air. Namun begitu, air yang diambil mengalir keluar sehingga habis sebelum sempat diberi kepada Tok Ayah.

Tok Ayah ketawa. "Lain kali, Ulya kena berlari lebih laju. Pergi ambil air sekali lagi." Selepas mencedok air, Ulya berlari lebih laju daripada sebelumnya. Namun sekali lagi raganya kosong sebelum sempat sampai ke rumah.

"Tok Ayah, tak logik la ambil air dengan raga. Biar Ulya guna baldi," kata Ulya termengah-mengah.

"Tok Ayah tak nak sebaldi air tetapi seraga air. Ulya tak buat betul-betul ni." Sekali lagi Tok Ayah minta Ulya berlari semula mengambil air di sungai. Walaupun tahu usahanya sia-sia, Ulya pergi juga untuk membuktikan kepada datuknya dia benar.

Apabila sampai, sekali lagi raga itu kosong tanpa air. "Sia-sia la Tok Ayah," kata Ulya.

"Ulya rasa ini kerja sia-sia? Cuba tengok raga tu," sambil menunjukkan pada raga tadi. Raga yang tadi berwarna hitam kerana arang bertukar bersih selepas beberapa kali dicelup ke dalam air tadi.

"Begitulah apabila membaca Al-Quran. Walaupun kita tak faham ataupun ingat semua perkara yang dibaca di dalam Al-Quran, tetapi ia akan memberi kesan kepada hati dan jiwa. Ia adalah kerja Tuhan."

Sunday, November 18, 2007

Cerita berfikiran positif

Ada seorang lelaki non-Muslim yang sedang menghadapi banyak masalah. Oleh sebab itu, dia diserang insomnia iaitu penyakit sukar tidur. Seteleh beberapa lama tidak dapat tidur, suatu hari dia bercadang untuk berjalan-jalan.

Sedang berjalan-jalan, dia melintasi sebuah masjid. Pada masa itu, terdapat penceramah sedang menyampaikan syarahan agama. Yang menarik perhatiannya bukanlah penceramahnya, tetapi sekelompok manusia yang berada di bahagian belakang. Mereka tertunduk-tunduk... bukan kerana memahami isi ceramah, tetapi kerana tertidur.

Lelaki itu berasa pelik. "Makhluk apakah ini, tidur dengan nyenyak sekali?" katanya dalam hati. Tanpa berlengah, dia terus masuk ke dalam masjid itu. Dan akhirnya... dia menerima hidayah Allah iaitu Islam.

Uda: Kadang kala yang nampak negatif, dapat berubah menjadi positif. Cuma, individu perlu mengubah cara pandang. Tetapi, jangan lepas ini ada yang mengambil kesempatan tidur dalam ceramah... dengan harapan ada yang menerima Islam keran tidur kita :).

Sunday, August 5, 2007

Impak sabar

Abul Hasan pergi menunaikan haji. Semasa bertawaf, beliau terlihat seorang wanita yang bersinar-sinar wajahnya.

"Saya tidak pernah melihat wajah secantik ini. Pasti wanita itu tidak pernah susah hati dan bimbang," kata Abul Hasan.

Wanita itu terdengar kata-kata Abul Hasan lalu berkata, "Untuk pengetahuan tuan, sebenarnya Allah telah menguji saya dengan rasa dukacita yang amat teruk. Tetapi saya meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah dengan tidak menyalahkan sesiapa pun."

"Apa yang sudah berlaku kepadamu?" tanya Abul Hasan ingin tahu.

Wanita itu bercerita kepada beliau. "Allah mengurniakan saya 4 orang anak lelaki. Pada suatu hari, suami saya menyembelih kambing untuk korban di hadapan anak sulung. Anak sulung saya sedang bermain dengan anak ketiga lantas bertanya, "Adik, tahukah bagaimana ayah menyembelih kambing tadi?" Jawab adiknya, "Tidak tahu. Tunjukkan bagaimana. Anak sulung saya terus membaringkan adiknya dan seterusnya menyembelih. Oleh kerana rasa takut, anak sulung saya melarikan diri ke bukit. Dengan segera, suami saya mengejarnya. Oleh kerana penat dan haus, suami saya terjatuh dan meninggal dunia. Anak sulung saya pula mati dimakan haiwan buas."

Wanita itu menyambung cerita. "Saya pula keluar dari rumah untuk mencari mereka. Saya tinggalkan anak bongsu saya yang sedang tidur sendirian. Apabila dia terjaga, dia terus merangkak menuju ke dapur. Dia terlanggar periuk yang mempunyai air panas lalu air itu tumpah ke atasnya. Serta-merta dia meninggal dunia dalam keadaan melecur. Apabila semua berita kematian itu diketahui oleh anak kedua saya, dia pengsan dan terus meninggal dunia. Sekarang, saya tidak punya sia-siapa."

Abul Hasan terharu mendengar kisah wanita itu. "Bagaimana puan dapat bersabar dengan semua cabaran dan ujian ini?"

Kata wanita itu, "Cabaran dan ujian tidak dapat diatasi dengan mengeluh. Hanya dengan sabar dan tenang Allah akan memperbaiki keadaan hambanya. Bersabar dan mengeluh memberi impak yang berbeza. Apabila mengeluh, keadaan menjadi bertambah buruk."

Wednesday, July 25, 2007

Selepas 50 hari diboikot

Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun kesembilan Hijrah antara tentera Islam dan Rom. Pada masa itu juga sudah hampir musim mengutip buah.Orang Islam di Madinah berharap dapat menunggu sehingga hasil buah-buahan mereka dikutip sebelum keluar dari Madinah. Namun begitu, Nabi Muhammad mengarahkan Muslim yang mampu berperang perlu segera bersama-sama menyertai Perang Tabuk. Tetapi, ada sahabat nabi yang tidak ikut serta iaitu Kaab bin Malik.

Selesai Perang Tabuk dengan kemenangan bagi Islam, mereka pulang ke Madinah. Kepulangan mereka disambut dengan meriah. Tidak berapa lama selepas itu, sahabat Kaab bin Malik datang bertemu dengan Nabi Muhammad. Sebelum bertemu dengan beliau, Kaab sudah bertekad untuk berkata benar walau apa pun terjadi.

Apabila Kaab berada di hadapan Rasulullah, Rasulullah tersenyum seperti senyuman orang yang marah.

“Mengapa saudara tidak ikut serta berperang, wahai Kaab?” tanya Rasulullah.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai alasan untuk tidak ikut serta dalam perang. Ini semua adalah disebabkan kelalaian dan kelemahan diri saya,” jawab Kaab, berterus-terang.

“Dia berkata benar,” kata Rasulullah.

Nabi Muhammad tidak menjatuhkan sebarang hukuman kepadanya. Muslim yang tidak ikut berperang tanpa alasan tidak dijatuhkan hukuman sehingga dinyatakan Allah. Selain daripada Kaab bin Malik, terdapat dua orang lagi sahabat sepertinya. Mereka adalah Hilal bin Umayyah dan Mararah bin Rabi’.

Selepas mengaku bersalah di hadapan Nabi Muhammad, Kaab pulang ke rumah. Kaumnya datang bertemu dengannya.

“Mengapa saudara tidak memberi alasan sahaja kepada Rasulullah? Orang lain yang memberikan alasan dimaafkan Rasulullah. Rasulullah akan memohon ampun untuk diri saudara,” kata orang-orangnya.

“Adakah orang lain yang sama seperti saya?” tanya Kaab.

“Ada. Hilal dan Mararah,” jawab mereka.

Antara kelebihan Kaab bin Malik adalah petah berhujah. Oleh itu, memberi alasan adalah perkara mudah. Hampir-hampir sahaja Kaab mahu bertemu semula dengan Rasulullah untuk memberi alasan. Namun, apabila mendengar ada sahabat yang sama sepertinya, tidak memberikan alasan, beliau terus membatalkan niat itu. Kaab yakin dengan tindakannya.

Tidak berapa lama selepas itu, Allah memerintahkan kaum Muslimin memboikot mereka. Tidak ada sesiapa pun di Madinah yang mahu bercakap dengan mereka. Namun begitu, Kaab tetap keluar ke pasar dan bersembahyang jemaah di masjid walaupun tidak ada sesiapa yang melayannya.

Pada suatu hari, Raja Ghasasinah menghantar surat kepada Kaab. Surat itu berbunyi, “Kami mengetahui apa yang dilakukan oleh Muhammad kepada dirimu. Kedudukanmu dan kaummu lebih mulia dan kamu tidak berhak diperlakukan sedemikian. Jika kamu bersama dengan kami, pasti kami memuliakanmu.”

“Adakah lebih baik aku terus setia bersama Rasulullah yang memboikot diriku ataupun bersama Raja Ghasasinah yang memberi tawaran yang baik?” Hati Kaab bergolak.

“Ini adalah ujian. Aku tidak sekali-kali berpaling tadah walaupun saat yang kulalui terlalu sulit,” kata Kaab lagi sambil melemparkan surat itu ke dalam api.

Kaab terus menjalani kehidupannya seperti biasa, tanpa dipedulikan sesiapa pun kecuali isterinya. Apabila tiba hari ke-40, Nabi Muhammad mengutuskan wakil memberitahu Kaab supaya tidak bersama dengan isterinya.

“Adakah Rasulullah meminta saya menceraikannya?” tanya Kaab kepada wakil itu.

“Saudara tidak perlu menceraikannya. Rasulullah meminta supaya saudara tidak bersama dengannya. Itu sahaja,” beritahu wakil itu.

Lalu, Kaab meminta isterinya pulang ke rumah ibu bapanya. Bagi Kaab, ia adalah lebih baik walaupun tidak diminta oleh Rasulullah.

Selepas 50 hari berlalu, sedang Kaab sembahyang di atas bumbung rumahnya, beliau terdengar suara jeritan.

“Bergembiralah, wahai Kaab,” jerit suara itu.

Rupa-rupanya, Allah sudah menurunkan ayat yang mengampunkan kesalahan Kaab dan sahabat-sahabatnya. Jeritan itu adalah jeritan sahabatnya yang tidak sabar memberitahu berita gembira itu.

“Alhamdulillah. Aku bersyukur kepadamu, ya Allah,” ucap Kaab dengan rasa lega.

Selepas itu, Kaab bin Malik terus pergi bertemu dengan Rasulullah. Pada masa itu, Rasulullah bersama dengan para sahabat utama. Kabb bin Malik masuk ke dalam dan disambut dengan gembira.

“Bergembiralah, wahai Kaab bin Malik dengan hari yang paling baik dari hari-hari yang kamu lalui selepas dilahirkan oleh ibumu,” kata Rasullah kepadanya.

Monday, June 25, 2007

Daun pokok tidak gugur-gugur?

Abdullah bin Umar adalah anak Umar bin Khattab. Beliau dilahirkan 3 tahun selepas Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Beliau memeluk Islam pada usia remaja bersama dengan ayahnya. Semasa kaum Muslimin berhijrah ke Madinah, Abdullah pergi terlebih dahulu daripada ayahnya.

Abdullah bin Umar adalah remaja yang suka belajar dan cintakan Islam. Beliau bersama-sama dengan ayahnya belajar dan mencari ilmu dengan penuh semangat.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad mahu menguji tahap kecerdasan para sahabat. Beliau membuat soalan dalam bentuk teka-teki.

“Cuba beritahu kepada saya, apakah pohon yang daunnya tidak gugur-gugur? Pohon ini juga mempunyai ciri-ciri seperti individu Muslim,” tanya nabi kepada para sahabatnya. Kebetulan pada masa itu, Abdullah berada di situ.

Puas para sahabat berfikir. Namun mereka tidak mengetahui jawapan teka-teki itu. Mereka hanya mendiamkan diri.

Nabi pun menjawab, “Jawapannya adalah pohon kurma. Daunnya tidak gugur, sentiasa melekat pada pelepah. Saya mengatakan ciri-cirinya seperti Muslim kerana setiap bahagian pohon itu berguna kepada manusia. Tidak ada satu pun yang tidak dapat dimanfaatkan.”

Selepas daripada pertanyaan Nabi Muhammad itu, Abdullah memberitahu ayahnya bahawa sebenarnya beliau sudah mengetahui jawapan teka-teki itu. Namun begitu, beliau tidak mahu menjawab kerana terdapat ramai sahabat yang lebih berumur daripadanya. Beliau tidak mahu mereka berasa malu kerana teka-teki itu dapat dijawab oleh anak muda.

Sunday, June 17, 2007

Boleh beli masa ayah?

Seperti biasa, pukul 11 malam baru Hamka tiba di rumah. Memang menjadi kebiasaannya pulang lewat malam kerana menghabiskan kerjanya.

Buka sahaja pintu rumah, dia mendapati anaknya Amar masih belum tidur lagi. Seolah-olah sudah lama menunggu ayahnya.

"Mengapa belum tidur lagi?" tanya Hamka sambil mencium anaknya. Biasanya, Amar sudah tidur apabila dia pulang dari kerja dan baru bangun apabila dia pergi kerja.

"Amar tunggu ayah. Amar mahu tanya berapa gaji ayah?" jawab Amar sambil mengekori ayahnya.

"Kenapa mahu tahu gaji ayah? Amar mahu duit ke?" tanya Hamka.

"Bukan. Amar mahu tahu je."

"OK. Ayah bekerja lebih kurang 10 jam dan dibayar RM450. Dalam sebulan, ayah bekerja lebih kurang 25 hari. Cuba Amar kira berapa gaji ayah dapat dalam masa sebulan?"

Amar berkejar mengambil kertas dan pensel untuk mengira. "Kalau 10 jam ayah dapat RM450, satu jam ayah dapat RM45," jawab Amar pantas.

"Pandai anak ayah. Sekarang, pergi tidur. Sudah lewat malam," kata ayahnya.

"Ayah, boleh tak Amar mahu pinjam RM10?" tanya Amar tanpa berganjak dari tempatnya.

"Amar, kenapa mahu duit malam-malam ni? Ayah penat. Esok, Amar sekolah. Pergi tidur," kata ayahnya, cuba berlembut.

"Tapi ayah...,"

"Pergi tidur sekarang," Hamka meninggikan suaranya.

Perlahan-lahan, Amar melangkah masuk ke bilik tidurnya. Selepas selesai mandi, Hamka menyesal kerana memarahi Amar. Dia menjenguk ke bilik tidur anaknya dan mendapati dia masih menangis kerana dimarahi sebentar tadi.

"Ayah minta maaf, Amar. Ayah sayangkan Amar. Cuma, kenapa minta duit malam-malam begini? Esokkan boleh?" tanya Hamka.

"Amar mahu pinjam sahaja dari ayah. Bila Amar ada duit, Amar bayar balik," jawab anaknya.

"Tapi, kenapa?" tanya ayahnya kebingungan.

"Tadi Amar tunggu ayah dari pukul 8. Amar mahu main dam dengan ayah. Setengah jam saja. Ibu kata masa ayah berharga. Sebab itu, Amar mahu beli masa ayah. Ayah kata, kalau sejam ayah dibayar RM45. Kalau setengah jam RM22.50. Amar tak cukup RM10. Sebab itu Amar mahu pinjam RM10 daripada ayah," beritahu Amar panjang lebar dengan wajah innocent.

Thursday, June 14, 2007

Doa orang super hebat

Abdullah bin Jahsy adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang memeluk Islam pada fasa awal. Semasa Perang Uhud, beliau dan sahabat Saad bin Abi Waqqas turut serta menyumbangkan tenaga.

Pada suatu hari, semasa di Uhud, Abdullah bin Jahsy berbual-bual dengan Saad bin Abi Waqqas.

“Sahabatku, adakah saudara tidak mahu berdoa kepada Allah?” tanya Abdullah.

“Saya mahu,” kata Saad.

Lalu, mereka bersama-sama menyendiri di sebuah tempat. Kemudian Saad pun berdoa, “Ya Allah! Jika aku didatangi musuh, datangkan kepadaku musuh yang paling kuat dan paling Engkau murkai. Aku menyerangnya dan dia juga menyerangku. Berikan kemenangan kepadaku sehingga dia dapat kubunuh dan dan hartanya dapat kuambil.”

Selepas Saad selesai berdoa, Abdullah mengaminkan doanya. Kemudian Abdullah pula berdoa, “Ya Allah! Datangkan kepadaku musuh yang paling kuat dan paling dimurkai. Aku menyerangnya keranamu dan dia juga menyerangku. Dia dapat mengalahkanku. Telinga dan hidungku dipotong. Jika aku bertemu denganMu di Akhirat dan Engkau bertanya, 'Mengapa telinga dan hidungmu terpotong?' aku akan menjawab, 'Kerana mengharapkan redaMu dan rasul.' Apabila aku menjawab seperti itu, Engkau mengatakan aku benar.”

“Doanya lebih baik daripada doaku,” kata Saad di dalam hati.

Pada keesokan harinya, Abdullah bin Jahsy gugur syahid selepas berperang. Seperti yang dipinta kepada Allah, telinga dan hidungnya dipotong. Kedua-duanya digantung pada sebuah pohon. Allah menerima doanya dan memuliakan dirinya dengan syahid.

Monday, June 4, 2007

Budak lelaki dan paku

Ada seorang budak lelaki yang mempunyai perwatakan kurang elok. Ayahnya memberikan seberkas paku. Apabila dia hilang sabar ataupun berselisih faham dengan orang lain, budak lelaki itu perlu memakukan satu paku setiap hari pada pagar kayu rumahnya.

Selama 37 hari, budak itu berusaha menahan diri. Dari minggu ke minggu, semakin kurang paku yang perlu dipakukan pada pagar. Dia berasa lebih mudah menahan sabar daripada memaku pada pagar. Sehingga suatu hari, budak itu tidak perlu memaku walau sebatang paku pun.

Dengan rasa gembira, dia memberitahu ayahnya. Kemudian, ayahnya menyuruh anaknya mencabut sebatang paku setiap hari apabila dia mampu menahan diri ataupun bersabar. Sehingga pada suatu hari, dengan gembira dia memberitahu ayahnya bahawa semua paku sudah dicabut.

Ayahnya mengajak anaknya ke pagar lalu berkata, "Anakku, kamu sudah berkelakuan baik. Tetapi lihatlah lubang-lubang pada pagar ini. Walaupun semua paku sudah dicabut, kesan paku tidak hilang. Pagar ini tidak akan kembali seperti asal. Apabila kamu berselisih faham atau bertengkar dengan orang lain, lukanya tidak hilang seperti lubang pada pagar."