Thursday, April 24, 2008

WaLau SejAuH mAnA kU bErLArI, TaK mUngKin sEmBuNYi....

-Brothers-

Wednesday, February 6, 2008

Pengorbanan

Ada syair Arab yang berbunyi, "Sesiapa yang mencari ketinggian tanpa bersusah payah, ia mensia-siakan usahanya mencari sesuatu yang mustahil." Mencapai kebaikan dan kemuliaan tanpa mahu berkorban adalah angan yang tidak berpanjangan, khayalan yang mensia-siakan.

Pengorbanan bukan terhad pada harta. Kata mujaddid Hasan Al-Banna, pengorbanan juga bagi jiwa, tenaga, masa dan idea. Rasulullah dan para sahabat berkorban masa, tenaga malah jiwa meninggikan agama. Ada yang mengorbankan masa merealisasikan cita-cita. Ada juga mengorbankan tenaga demi keluarga. Tidak kurang juga yang mengorbankan keluarga demi harta.

Berkorban... mudah disebut, sukar dilaksana. Jika tanpa ikhlas, sabar dan berlumba-lumba mencari keredhaanNya. Ada kala hilang harta benda, melayang nyawa atau berpisah dengan yang tercinta. Seperti Ali yang berkorban nyawa menggantikan nabi tika berhijrah. Umpama Khadijah berkorban harta demi perjuangan Rasulullah. Begitu juga para sahabat berhijrah meninggalkan harta dan keluarga demi menyelamatkan agama Allah.

Usah bimbang dengan apa yang hilang di dunia. Kerana pasti ada ganti di Akhirat sana. Mungkin sekarang sakit terasa. Namun apalah sangat sakit yang fana. Jika dibandingkan dengan kemanisan yang pasti ada. Yang mata tidak pernah melihat, telinga tidak pernah mendengar, hati tidak pernah merasa. Bukankah itu matlamat utama?

Wednesday, December 5, 2007

Sesat

Sudah beberapa hari Mak Uda meninggalkan kami bagi menunaikan haji. Ini bermakna meninggalkan tugasan-tugasan dan cabaran-cabaran yang perlu diuruskan semasa ketiadaannya. Mujur cuti sekolah baru bermula. Kalau tidak, mungkin aku dan emak lagi pening kepala :).

Sejurus selepas menghantar Mak Uda, cabaran pertama bermula. Kami sesat jalan. Puas kami berpusing-pusing mencari jalan. Akhirnya, masuk ke taman perumahan. Bayangkan sesat dalam keadaan penat. Sehari sebelum datang ke KL, aku dan adik sesat di Transkrian. Memang pengalaman yang agak menakutkan dan memenatkan kerana kami berdua sahaja. Tiba sahaja di rumah, kami berdua terus ‘pengsan’.

Hampir setengah jam aku dan ayah mencari jalan keluar. Akhirnya, kami singgah di stesen minyak. Alhamdulillah, selepas itu jalan yang kami cari ditemui walaupun hampir-hampir tersilap jalan sekali lagi. Daripada dua pengalaman, aku simpulkan 3 perkara. Jika baru pertama kali melalui sesebuah jalan, pastikan:
  • Isi minyak sehingga penuh tangki apabila melalui kawasan yang baru pertama kali anda sampai. Takut-takut tersilap jalan, kereta pula tersadai.
  • Bagi yang memang ‘bermata empat’, sila bawa dan gunakan alatan yang sepatutnya.
  • Jika tersesat, cari stesen minyak supaya mudah untuk bertanya arah.

Uda: Biar sesat jalan, jangan sesat iman....

Wednesday, November 28, 2007

Kerja sia-sia?

Ulya tinggal bersama datuknya di Kampung Ceria semasa cuti sekolah. Setiap hari, Ulya selalu melihat datuknya bangun awal pagi. Selepas siap membersihkan diri, datuknya akan duduk di meja sambil membaca Al-Quran. Ulya begitu berminat untuk meniru datuknya. Jadi, setiap hari dia cuba meniru perlakuan datuknya itu. Pada suatu hari, Ulya bertanya kepada datuknya.

"Tok Ayah, Ulya cuba baca Al-Quran macam Tok Ayah. Tapi Ulya tidak faham. Yang Ulya faham terus terlupa apabila Ulya selesai baca Al-Quran. Apa sebenarnya kebaikan membaca Al-Quran?" tanya Ulya ingin tahu.

Dengan senyuman, datuknya mengeluarkan raga kecil daripada karung guni yang berisi arang.

"Ambil raga ini. Pergi ke sungai dan bawa balik seraga air dengan menggunakan raga ini."

"Biar benar Tok Ayah ni." Tanpa berlengah lagi, Ulya berlari ke sungai di belakang rumah. Dengan bersungguh-sungguh dia mengaut sebanyak mungkin air. Namun begitu, air yang diambil mengalir keluar sehingga habis sebelum sempat diberi kepada Tok Ayah.

Tok Ayah ketawa. "Lain kali, Ulya kena berlari lebih laju. Pergi ambil air sekali lagi." Selepas mencedok air, Ulya berlari lebih laju daripada sebelumnya. Namun sekali lagi raganya kosong sebelum sempat sampai ke rumah.

"Tok Ayah, tak logik la ambil air dengan raga. Biar Ulya guna baldi," kata Ulya termengah-mengah.

"Tok Ayah tak nak sebaldi air tetapi seraga air. Ulya tak buat betul-betul ni." Sekali lagi Tok Ayah minta Ulya berlari semula mengambil air di sungai. Walaupun tahu usahanya sia-sia, Ulya pergi juga untuk membuktikan kepada datuknya dia benar.

Apabila sampai, sekali lagi raga itu kosong tanpa air. "Sia-sia la Tok Ayah," kata Ulya.

"Ulya rasa ini kerja sia-sia? Cuba tengok raga tu," sambil menunjukkan pada raga tadi. Raga yang tadi berwarna hitam kerana arang bertukar bersih selepas beberapa kali dicelup ke dalam air tadi.

"Begitulah apabila membaca Al-Quran. Walaupun kita tak faham ataupun ingat semua perkara yang dibaca di dalam Al-Quran, tetapi ia akan memberi kesan kepada hati dan jiwa. Ia adalah kerja Tuhan."

Wednesday, November 21, 2007

Haji & bisnes

Beberapa hari sebelum ini, aku menerima mesej, "Kak **, makcik pegi haji 21 hb ni." Baru aku teringat, makcik @ cikguku dapat menunaikan haji bersama ibu saudaranya. Tahun ini, Mak Uda juga diizinkan Allah untuk menunaikan haji. Aku yang terlambat mendaftar terpaksa menangguhkan niat untuk turut serta. Sedihnya :(. Semoga Allah beri kesempatan untuk aku menunaikan haji pada masa akan datang. Mak Ni dan Pak Njang aku juga sudah berlepas ke sana.

Bercerita tentang haji, aku teringat sembang-sembang antara aku dan Mak Uda. Kata Mak Uda, ramai kenalannya yang mengirimkan doa untuk dibawa bersama ke Mekah selain daripada kelengkapan lain. Kataku berjenaka, "Bolehlah buat bisnes doa. Setiap doa letak harga." Pada sembang yang lain, aku pesan pada Mak Uda supaya jangan tersalah doa. Nanti lain yang diminta, lain pula yang dapat :). Itulah antara senario apabila ada kenalan yang mahu menjadi tetamu di rumah Allah. Apa-apa pun, doaku semoga kalian dapat melaksanakan ibadah haji yang terbaik. Selamat menjadi tetamu Allah....

Uda: Labbaik allahumma labbaik....