Monday, March 30, 2009

Walaupun....

Walaupun,
Bukan aku yang pertama,
Meniti hidup bersama,
Dalam suka dan duka,
Mencari kehidupan lebih sempurna.

Walaupun,
bukan aku yang terbaik,
Menyusuri hidup bersama,
Dalam tangis dan tawa,
Menongkah ranjau berbisa.

Namun,
Hanya kupinta,
Secebis kasih dan redhamu,
Buat aku meniti jalan,
Menuju rahmat dan redha Tuhan.

Thursday, March 12, 2009

Surah al-Baqarah : 286

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapa seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa ataupun tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat seperti yang Engkau bebankan kepada orang-orang sebelaum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum kafir."

~Surah al-Baqarah: 286~

Wednesday, March 11, 2009

Diam yang Menguntungkan

Pesan nabi junjungan mulia,
Apabila berkata,
Biar sebaik-baik bicara,
Bukan omongan kosong, mengumpat, mencerca,
Hilang pahala menambah dosa,
Bertambah dosa, neraka tempatnya.

Fikir-fikir sebelum bicara,
Bukan mudah-mudah melontar kata,
Kononnya bebas mengatakan apa saja,
Demi meluahkan segala rasa,
Hati manusia belakang cerita,
Yang penting 'aku rasa lega'.

Kata bijaksana,
Kerana pulut, santan binasa,
Kerana mulut, badan tersiksa,
Lebih baik diam daripada berbicara,
Andai katamu sia-sia belaka,
Moga disayangi Allah, dikasihi manusia.

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam."

Wednesday, February 25, 2009

8 Februari 2009...

Lama sudah aku tidak mencoretkan sebarang bicara... Bukan tidak menjengah, malah beberapa kali jemariku menaipkan bicara cuba mengekspreskan idea dan rasa. Namun, bicaraku mati tanpa penyudah. Sudah hilang ideakah?

8 Februari 2009... Mungkin ada yang mengingati tarikh ini kerana perayaan Thaipusam. "Horey, cuti." Tetapi bagiku, 8 Februari adalah tarikh aku bertukar status daripada single kepada isteri... sekaligus ummi. Ya, mungkin ada sahabat-sahabat yang terkejut gaban apabila mengetahuinya kerana tidak kukhabarkan kepada semua :). Aku kini bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ummi kepada 3 orang putera dan puteri (InsyaAllah ada rezeki, bertambah lagi :)).

Pelik bukan hidup ini? Pernah aku beritahu suami, tidak pernah terlintas di fikiran jodohku dengan seseorang yang berstatus duda. Namun, harapanku dia yang terbaik untukku, dunia dan akhirat. Dan begitu juga diriku....

Bukan niatku berjiwang-jiwang di blog ini walaupun blog sendiri :). Sedikit luahan rasa buat memeriahkan blogku yang sudah lama menyepi. Buat sahabat-sahabat, jangan lupa doakan aku dalam doa kalian. InsyaAllah, lain masa ketemu lagi di ruangan ini.

Friday, November 14, 2008

Sekali Tersilap

Sekali tersilap, bukan bermakna selama-lamanya sama,
Sekali tersilap, bukan noktah segala-galanya,
Biar sekali tersilap,
Mencelik mata, menyentak minda, menyentuh jiwa,
Agar tidak diulang perkara serupa,
Kerna diri hanyalah hamba,
Yang bisa dan biasa,
Tersilap tika melangkah menuju cita.

Wednesday, November 12, 2008

Semoga Mendapat Haji Mabrur

Setiap kali kapal terbang melintasi ruang udara rumahku, aku pasti tertanya-tanya, "Adakah kapal terbang itu menerbangkan para tetamu Allah ke tanah suci?" Padahal sebelum ini aku tidak ambil kisah ataupun sedikit terganggu dengan bunyinya. Itu salah satu impaknya apabila tiba musim orang pergi menunaikan haji padaku... pada tahun ini. InsyaAllah, aku bakal menyusul tidak lama lagi.

Buat makcik, pakcik dan sahabat-sahabat yang bakal menunaikan haji tahun ini, semoga mendapat haji mabrur. Semoga dipermudahkan segala urusan dan ibadah.

Sebaik-baik Teman adalah Buku

Kata Al-Jahizh, “Buku adalah teman duduk yang tidak memujimu secara berlebihan, sahabat yang tidak menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang toleran yang tidak akan mengusirmu. Dia adalah tetangga yang tidak akan menyakitimu. Dia juga teman yang tidak memaksamu mengeluarkan apa yang kamu miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafikan dan tidak berbohong.”

~La Tahzan~