Friday, October 1, 2010

Janji

Rasanya kita sudah biasa dengan istilah 'Janji Melayu'. Pernah suatu masa apabila saya berjanji dengan seorang kawan, dia bertanya dengan nada berseloroh, "Janji Melayu ke, janji Jepun?" Saya tertawa.

Mengapa begitu? Adakah 'Janji Melayu' itu label yang berbaur positif ataupun nagatif? Jika label positif, apa salahnya. Jika negatif, perlulah diperbetulkan supaya pupus label & persepsi negatif.

Selalunya, istilah 'Janji Melayu' memberi erti janji yang sering tidak ditepati.

Jika berjanji bertemu jam 9.00 pagi, datangnya jam 9.30 pagi tanpa alasan munasabah.

Apabila berjanji dengan anak-anak bersiar-siar, dengan mudah kita membatalkan rancangan itu semata-mata mahu bertemu rakan.

Jika si suami sudah berjanji mahu membelikan barang kepada si isteri, namun dibatalkan niatnya kerana si suami tiba-tiba mahu membeli sebatang kayu golf yang sudah lama diidamkan.

JANJI HANYA TINGGAL JANJI....

Apabila berjanji, sudah pasti kita mahu janji itu ditepati. Siapakah yang apabila berjanji, tidak ambil kisah jika janji itu dimungkiri? Rasanya tidak normal. Jika berlaku sebegitu, mungkin orang yang berjanji itu sudah terlalu biasa dengan sikap insan pemberi janji yang selalu memungkiri janjinya.

"Mat, esok kita jumpa di ofis ya pukul 10."

"InsyaAllah," jawab Mat

Esok hari, "Mat, di mana kamu? Janji jumpa pukul 10."

"Maaflah. Saya ada hal lain."

Perkataan 'InsyaAllah' terlalu mudah digunakan apabila berjanji. Alhamdulillah, baguslah begitu kerana sedar segala-galanya adalah di bawah kuasa Allah. Namun, selalunya kita ambil mudah. Kata insyaAllah itu memberi makna kita akan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji, bukan bersungguh-sungguh memungkirinya. Namun, perkara sebaliknya yang berlaku.

Oleh itu, peringatan buat diri & teman-teman, antara sifat orang munafik itu adalah apabila berjanji, dia memungkiri. Adakah kita suka salah satu sifat manusia yang dibenci Allah ini berada dalam diri? Tepuk dada, tanyalah iman. Jangan biar dirimu dipandang rendah kerana janji yang dimungkiri. Cubalah sehabis dayamu....