Tuesday, June 24, 2008

Alihkan matamu

Alihkan matamu ke arah laut,
Airnya cantik membiru dan penuh ketenangan,
Tetapi hanya Allah yang tahu rahsia di dalamnya.

Begitulah dengan kehidupan manusia,
Riang ketawa,
Tetapi hanya Allah yang tahu rahsia kehidupannya.

Jika kau kecewa,
Pandanglah ke sungai,
Airnya megalir biar pun berjuta batu menghalang.

Jika kau sedih,
Pandanglah ke langit,
Kau akan sedar bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Friday, June 13, 2008

Kini & dahulu

"Gelapnya jalan ini," terdetik kata dalam hati semasa melalui laluan kampung yang kurang lampu. Terbit juga rasa risau apabila melalui jalan sebegitu seorang diri.

Namun, memikirkan jiwa yang sudah lama 'dahaga' dan 'kelaparan', kuberanikan juga hati. "Semoga aku ikhlas, ya Allah."

Sambil serius memandu, aku teringat kembali zaman aku bekerja di Bukit Tinggi, Pahang. Beginilah lebih kurang laluan yang kurentasi setiap hujung minggu pada waktu malam gelap gulita. Dalam dua keadaan yang berbeza kurentasi Lebuhraya Karak demi 'sesuap makanan' buat jiwa yang lemah.

Awal-awal bekerja, bas Central Pahang adalah kenderaan paling mewah yang kutumpang berbayar dari Bukit Tinggi ke Gombak. Dari situ, kadang kala sahabatku datang mengambil. Kalau tidak, kutumpang pula bas kedua. Pernah sekali aku menangis sambil menapak kerana rasa yang teramat penat. Tuhan sahaja yang tahu. Bayangkan, habis sahaja kerja, aku terus bergerak ke destinasi.

Sambil mengangkut beg yang agak berat, aku berjalan dari stesen LRT ke teratak naqibahku. Aku yang tersilap jangka. Rupa-rupanya jauh juga. Namun, kerana sudah separuh jalan aku menapak, kuteruskan juga walaupun tika itu mahu sahaja aku tinggalkan beg yang kubawa. Biasalah aku yang mudah menangis. Sambil menapak, air mata pula sedang mengalir, aku tertanya-tanya mengapa naqibahku tidak mahu mengambil aku di stesen. Namun, selepas itu aku sedar, semuanya adalah proses tarbiyah.

Tarbiyah bukan hanya dalam halaqah ataupun daurah. Pengalaman susah dan perit juga termasuk dalam tarbiyah rohani yang sama penting. Bukankah begitu juga tarbiyah Rasulullah serta para sahabat? Apalah sangat diriku yang hanya perlu mengangkat beg yang beratnya tidak sampai 10 kg.

Apabila masuk tahun kedua aku bekerja, kubeli kereta comel. Harapanku agar aktiviti tarbiyah dan dakwah lebih rancak dengan kemudahan yang ada. Kenderaan comel itu membuatkan kakiku melangkah lebih panjang. Aku adalah pengguna setia Lebuhraya Karak sekitar jam 11.00 malam hingga 1 pagi setiap hujung minggu. Apabila kuberitahu sahabat-sahabatku tentang perjalananku, selalunya ada yang bertanya, "Tak takut ke?" dengan nada terkejut.

Aku hanya tersenyum sambil berkata, "Ntah, macam biasa je. Alhamdulillah tiada apa-apa." Mungkin kerana pelbagai cerita 'menarik' yang biasa didengar tentang lebuhraya itu membuatkan timbulnya persoalan itu. Risau juga aku jika berlagak sombong dalam kata-kata. Sambil menjawab kumohon agar Allah sentiasa lindungi aku daripada sebarang bahaya. Jika mahu mengharapkan peneman, sampai sudah aku tidak ke mana-mana. Bukan aku tidak pernah hampir-hampir kemalangan melanggar halangan di atas jalan. Terima kasih, ya Allah. Terima kasih.

Dan semalam, semasa aku melalui jalan yang seakan-akan gelap seperti Lebuhraya Karak, aku tersenyum. Tersenyum kerana Allah masih sudi memberiku peluang sekali lagi mengalami keadaan yang hampir serupa demi mengisi jiwa yang umpama gelas yang hampir kosong. Semoga selepas ini jiwaku terus berisi air yang manis dan berkhasiat. Seterusnya memberi manfaat kerana "Faaqidus syai' la yu'thi"

Wednesday, June 11, 2008

Kau tahu

Tuhan kutahu,
Bahawa Kau tahu,
Segala-galanya tentang diriku,
Semuanya dalam genggamanMu,
Segala kesenangan dan kesulitanku,
Pasti yang tebaik daripadaMu.

Namun,
Hati kadang terlupa,
Susah dan senang itu,
Hadiah dan anugerahMu,
Peluang buat diriku,
Berteduh di rimbunan rahmat dan maghfirahMu.

Thursday, June 5, 2008

Minyak... ujian Malaysia

"Mari kita bandingkan harga minyak di negara pengeluar minyak lain. Adakah Malaysia yang paling rendah?
UAE– RM1.19/litre
Eygpt– RM1.03/litre
Bahrain– RM0.87/litre
Qatar– RM0.68/litre
Kuwait– RM0.67/litre
Saudi Arabia– RM0.38/litre
Iran– RM0.35/litre
Nigeria– RM0.32/litre
Turkmenistan– RM0.25/litre
Venezuela– RM0.16/litre
MALAYSIA– RM2.70/litre
Ha! Undi lagi!!!"

Ini adalah YM yang aku terima daripada sahabat lamaku. Yang paling best, ayat hujungnya. Pasti akan dikaitkan juga dengan politik. Bagiku, ada juga kebenarannya. Semuanya berkait dengan pemerintahan. Berkait dengan orang atasan.

Apabila semalam aku tahu harga minyak naik 78 sen untuk 1 liter, tergamam seketika. Mungkin dahulu, aku tidak begitu prihatin dengan perkara-perkara yang berkait dengan wang. Namun, sekarang keadaan berbeza. Mungkin aku lebih matang :). Aku mula mengira gajiku dan bajet perbelanjaan. Dalam hati terdetik, "Baru sorang, kalau dua, tiga."

Aku yang tinggal agak jauh dari tempat kerja, minyak memang penting. Alhamdulillah, kelisaku kurang menggunakan minyak seperti kereta lain. Namun, sedikit sebanyak aku sudah terasa kesannya. Apatah lagi insan berkereta besar, berpintu dua.

Tetapi, pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Apakah dia? Masing-masih boleh fikir sendiri. Bagi diriku, aku perlu lebih matang menguruskan wang. Walaupun dalam keadaan yang diuji begini, jangan mudah putus asa. Cuba melihat daripada sudut berbeza dan positif. Aku juga perlu serius melihat untuk jangka masa panjang. Mungkin selepas ini, mahu cari rumah untuk pelaburan :). Bagi aku, duit yang dicari ini bukan untuk diriku sahaja, tetapi untuk ibu bapa dan umat Islam juga. Ini harapanku.

"Ya Allah, permudahkan aku serta ibu mendapat peluang bagi menunaikan umrah. Amin."