Sunday, September 16, 2007

PDW 7462

"Awak ada lesen motor ke?" tanya salah seorang kawanku. Aku tersenyum mengangguk. Ramai yang tidak begitu percaya aku mampu menunggang motor, tetapi tidaklah seterer Mat Rempit.

Sebenarnya, sebelum mendapat sekeping lesen, aku juga tidak percaya yang suatu hari nanti aku dapat menunggang motor ke hulu, ke hilir. Jika sebagai pembonceng, dari kecil lagi, aku, adik dan sepupu menjadi pembonceng setia motor Pak Anjang. Saat paling seronok apabila Pak Anjang bawa kami ronda-ronda dalam kampung. Itu juga menjadi salah satu faktor yang menyeronokkan aku untuk pulang ke rumah Atuk.

Pernah suatu masa, aku cuba menunggang motor Tok Wan. Pada masa itu, aku masih bersekolah menengah. Mungkin selepas melihat sepupuku menunggang motor, aku juga mahu mencuba. Nampak macam mudah sahaja. Tok Wanku pula mengizinkan.

Walaupun takut-takut, aku kuatkan hati. Motor yang sudah dihidupkan, diserahkan kepadaku. Setelah bersiap sedia, aku pun terus mempress minyak. Apa lagi, motor pun berlari laju... dan aku pula panik. Sebabnya, baru tersedar yang aku tidak tahu cara mahu memberhentikan motor. Itulah dia, belajo tak habis.

Di hadapanku, sebatang pokok kelapa berdiri teguh. Mataku hanya memandangnya. Fikiranku pula berpusing ligat bagaimana mahu menyelamatkan diri. Secara spontan, aku terfikir untuk terjun daripada motor... dan aku terus melompat tanpa berfikir panjang.

Motor Tok Wan terus bergerak tanpa penunggang. Mujur kejadian berlaku pada waktu siang. Jika malam, mungkin cerita 'motor berhantu' tersebar di kampung Tok Wanku. Motor Tok Wan terus bergerak laju sehingga bertembung dengan pokok kelapa. Akhirnya, tumbanglah motor Tok Wan di kaki pokok kelapa.

Aku yang terkejut dan panik berlari naik ke atas rumah. Mulutku seperti terkunci. Aku diam seribu bahasa. Namun, Tok Wan tidak marah kepadaku. Mujur juga motornya tidak rosak. Fuh... lega. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umurku. Tetapi, selepas kejadian itu, aku jadi trauma.

Namun begitu, apabila aku diterima menyambung pelajaran di USM, aku terpaksa mendapatkan lesen motor sebab perlu berulang-alik dari rumah ke kampus. Maklumlah, rumah belakang USM, jadi aku tidak diberi kediaman di dalam kampus. Mahu tidak mahu, aku terpaksa beranikan diri.

Selepas bertungkus-lumus selama beberapa bulan, akhirnya aku berjaya juga. Dengan sekali ujian sahaja, aku diterima dan dianugerahkan lesen motor. Selain itu, ibu bapaku juga membelikan sebiji motor. Pada masa itu, motor jenama Kriss baru sahaja dikeluarkan. Dan motor Kriss berwarna hijau bernombor plat PDW 7462 menjadi temanku keluar masuk kampus.

Motor yang banyak menyumbang jasa kepadaku, kini merantau ke KL kerana adikku pula memerlukannya. Hampir 3 tahun aku tidak menggunakan khidmatnya, namun banyak kenangan yang kadang kala membuatkan aku tersenyum sendiri. Beberapa kali aku pernah terjatuh semasa mula-mula menunggangnya. Namun, akhirnya aku cekap jugs.

Selalunya, dalam keadaan terpaksa, segala perkara mustahil dapat jadi nyata. Namun memerlukan keberanian, kecekalan dan semangat. Kadang kala, kita tidak sedar potensi diri yang ada sehingga muncul keadaan yang memaksa. Jadi, beranikan diri menghadapi cabaran kerana di situ pasti ada kebaikan.

Saturday, September 15, 2007

Hidup ni sat saja....

"Hidup ni sat saja," kata makcik di sebelahku sambil tersenyum. Aku hanya tersenyum sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Hari ini ada program berbuka puasa beramai-ramai. Juadah utama kami disediakan oleh Makcik Ani (kalau tak silap), nasi bukhari.

Anak-anaknya ada 6 orang. 3 orang daripadanya adalah anak-anak istimewa. Seorang bisu, seorang lagi pekak & bisu. Seorang lagi mengalami Down Syndrome. Itulah katanya, "Hidup ni sat saja" apabila ada yang memuji Makcik Ani nampak kuat dan tabah, seperti tiada apa-apa masalah.

Dalam banyak-banyak perkara yang disembangkan, kata-kata itu kuat melekat dalam fikiranku. Walaupun sebenarnya, sudah acap kali aku dengar daripada pelbagai insan yang kutemui. Namun, mendengar daripada insan yang benar-benar melalui cabaran membuatkan aku lebih terkesan.

Hidup ini hanya sebentar. Hal-hal sepele (remeh), tidak perlu diberat-beratkan. Selagi nyawa masih ada, berusaha selagi mana terdaya. Susah & senang, semua itu ujian belaka. Kerana Allah menilai yang mana lebih baik amalnya.

Uda: Ramadan kali ini, berbeza tempat & masa. Namun, hati & rasa masih sama. Ramadan karim.

Wednesday, September 12, 2007

Sabar

Esok, umat Islam mula berpuasa. Maka, setiap orang yang berpuasa akan bersabar menjalani hari. Sabar menahan lapar dahaga. Sabar bangun sahur. Sabar berbelanja untuk berbuka puasa. Sabar melihat iklan-iklan makanan di TV. Dan macam-macam jenis sabar lagi.

Malam ini, Uda terfikir satu lagi jenis sabar selepas selesai solat tarawikh... sabar bila ada jemaah yang terduduk atas telekung semasa solat :). Ini cabaran khusus untuk kaum wanita sahaja. Tak tahulah Uda kalau kaum lelaki juga menghadapi cabaran yang sama. Mungkin terduduk atas kain pelekat :).

Apa-apa pun, selamat beribadah di bulan Ramadan. Yang kurang, ditambah. Yang belum dibuat, dimulakan mulai sekarang.

Andai ini yang terakhir

Uda ingin kongsikan emel yang diterima hari ini. Sama-sama diambil manfaat :).

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu... merayu... kepadaNya Tuhan yang satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
solat yang dikerjakan... sungguh khusyuk lagi tawaduk
tubuh dan kalbu... bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
'innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin'
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir...
Tidak akan kau sia-siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan al-Quran bakal kau dendang... bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih... berqiamullail... bertahajud...
mengadu... merintih... meminta belas kasih
'sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurgaMu
tapi... aku juga tidak sanggup untuk ke nerakaMu'

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru... kita cari... suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir...
Tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiapkan diri... rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ... lorong-lorong ridha ar-Rahman

Duhai Ilahi...
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti... paling berseri
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju redha serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
Tidak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha... bersedia... meminta belasNya
andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita
Maafkan semua kesalahan yang pernah aku lakukan
MARHABAN YA RAMADHAN

Tuesday, September 11, 2007

Ahlan wa sahlan, ya Ramadan

Ramadan datang lagi. Terasa seperti baru sahaja bertemu dengannya. Adakah Ramadan kali ini sama seperti sebelumnya. Atau ada semangat baru yang membara. Bulan 'turning point', perubah diri, hati & minda. Semoga 'sekolah' Ramadan menghasilkan insan umpama rama-rama yang cantik dipandang. Setelah berusaha keras membebaskan diri dari penjara kepompongnya. Ucapan SELAMAT BERPUASA dari Uda untuk semua.

Ceria2 selalu....:)