Wednesday, November 28, 2007

Kerja sia-sia?

Ulya tinggal bersama datuknya di Kampung Ceria semasa cuti sekolah. Setiap hari, Ulya selalu melihat datuknya bangun awal pagi. Selepas siap membersihkan diri, datuknya akan duduk di meja sambil membaca Al-Quran. Ulya begitu berminat untuk meniru datuknya. Jadi, setiap hari dia cuba meniru perlakuan datuknya itu. Pada suatu hari, Ulya bertanya kepada datuknya.

"Tok Ayah, Ulya cuba baca Al-Quran macam Tok Ayah. Tapi Ulya tidak faham. Yang Ulya faham terus terlupa apabila Ulya selesai baca Al-Quran. Apa sebenarnya kebaikan membaca Al-Quran?" tanya Ulya ingin tahu.

Dengan senyuman, datuknya mengeluarkan raga kecil daripada karung guni yang berisi arang.

"Ambil raga ini. Pergi ke sungai dan bawa balik seraga air dengan menggunakan raga ini."

"Biar benar Tok Ayah ni." Tanpa berlengah lagi, Ulya berlari ke sungai di belakang rumah. Dengan bersungguh-sungguh dia mengaut sebanyak mungkin air. Namun begitu, air yang diambil mengalir keluar sehingga habis sebelum sempat diberi kepada Tok Ayah.

Tok Ayah ketawa. "Lain kali, Ulya kena berlari lebih laju. Pergi ambil air sekali lagi." Selepas mencedok air, Ulya berlari lebih laju daripada sebelumnya. Namun sekali lagi raganya kosong sebelum sempat sampai ke rumah.

"Tok Ayah, tak logik la ambil air dengan raga. Biar Ulya guna baldi," kata Ulya termengah-mengah.

"Tok Ayah tak nak sebaldi air tetapi seraga air. Ulya tak buat betul-betul ni." Sekali lagi Tok Ayah minta Ulya berlari semula mengambil air di sungai. Walaupun tahu usahanya sia-sia, Ulya pergi juga untuk membuktikan kepada datuknya dia benar.

Apabila sampai, sekali lagi raga itu kosong tanpa air. "Sia-sia la Tok Ayah," kata Ulya.

"Ulya rasa ini kerja sia-sia? Cuba tengok raga tu," sambil menunjukkan pada raga tadi. Raga yang tadi berwarna hitam kerana arang bertukar bersih selepas beberapa kali dicelup ke dalam air tadi.

"Begitulah apabila membaca Al-Quran. Walaupun kita tak faham ataupun ingat semua perkara yang dibaca di dalam Al-Quran, tetapi ia akan memberi kesan kepada hati dan jiwa. Ia adalah kerja Tuhan."

Wednesday, November 21, 2007

Haji & bisnes

Beberapa hari sebelum ini, aku menerima mesej, "Kak **, makcik pegi haji 21 hb ni." Baru aku teringat, makcik @ cikguku dapat menunaikan haji bersama ibu saudaranya. Tahun ini, Mak Uda juga diizinkan Allah untuk menunaikan haji. Aku yang terlambat mendaftar terpaksa menangguhkan niat untuk turut serta. Sedihnya :(. Semoga Allah beri kesempatan untuk aku menunaikan haji pada masa akan datang. Mak Ni dan Pak Njang aku juga sudah berlepas ke sana.

Bercerita tentang haji, aku teringat sembang-sembang antara aku dan Mak Uda. Kata Mak Uda, ramai kenalannya yang mengirimkan doa untuk dibawa bersama ke Mekah selain daripada kelengkapan lain. Kataku berjenaka, "Bolehlah buat bisnes doa. Setiap doa letak harga." Pada sembang yang lain, aku pesan pada Mak Uda supaya jangan tersalah doa. Nanti lain yang diminta, lain pula yang dapat :). Itulah antara senario apabila ada kenalan yang mahu menjadi tetamu di rumah Allah. Apa-apa pun, doaku semoga kalian dapat melaksanakan ibadah haji yang terbaik. Selamat menjadi tetamu Allah....

Uda: Labbaik allahumma labbaik....

Kertas putih & bintik hitam


Apakah objek yang anda nampak daripada gambar di atas?

#


#


#


#


#


#


#

Sudah dapat jawapannya?

#


#


#


#


#


#


#

Kali pertama melihatnya, apakah warna yang menarik perhatian anda?

#


#


#


#


#


#


#

Mungkin kita sudah biasa dengan aktiviti sebegini terutamanya apabila mengikuti kursus motivasi. Gambar di atas adalah satu titik hitam di atas sehelai kertas putih (kertas tu macam tak putih sangat, tapi anggaplah ia putih).

Berdasarkan pengalaman, kita lebih menumpukan perhatian pada bintik hitam daripada kertas putih. Padahal bintik hitam itu lebih kecil berbanding kertas putih yang luas. Betul tak? Jadi, apa kaitan bintik hitam dan kertas putih dengan diri kita?

Andaikan titik hitam itu sebagai perkara-perkara negatif dalam hidup. Andaikan pula kertas putih itu perkara-perkara positif. Kebanyakan manusia menumpukan fikiran pada perkara negatif berbanding positif. Memberikan lebih perhatian pada benda yang tidak dimiliki berbanding yang sudah ada dalam genggaman. Sehingga terlupa untuk bersyukur dan redha. Akibatnya, hidup tidak tenang dan ragu-ragu dengan ketetapan Tuhan.

Mulai hari ini, lebihkan melihat 'kertas putih' berbanding 'bintik hitam'. Supaya hidup lebih ceria seindah suria.

Sunday, November 18, 2007

Cerita berfikiran positif

Ada seorang lelaki non-Muslim yang sedang menghadapi banyak masalah. Oleh sebab itu, dia diserang insomnia iaitu penyakit sukar tidur. Seteleh beberapa lama tidak dapat tidur, suatu hari dia bercadang untuk berjalan-jalan.

Sedang berjalan-jalan, dia melintasi sebuah masjid. Pada masa itu, terdapat penceramah sedang menyampaikan syarahan agama. Yang menarik perhatiannya bukanlah penceramahnya, tetapi sekelompok manusia yang berada di bahagian belakang. Mereka tertunduk-tunduk... bukan kerana memahami isi ceramah, tetapi kerana tertidur.

Lelaki itu berasa pelik. "Makhluk apakah ini, tidur dengan nyenyak sekali?" katanya dalam hati. Tanpa berlengah, dia terus masuk ke dalam masjid itu. Dan akhirnya... dia menerima hidayah Allah iaitu Islam.

Uda: Kadang kala yang nampak negatif, dapat berubah menjadi positif. Cuma, individu perlu mengubah cara pandang. Tetapi, jangan lepas ini ada yang mengambil kesempatan tidur dalam ceramah... dengan harapan ada yang menerima Islam keran tidur kita :).

Thursday, November 15, 2007

Buatmu teman....


Teman,
Tika kubaca luahan hatimu, kukira kau sedang berjuang hebat dengan taufan hati yang sedang bertiup kencang. Luahan yang cuba kufahami dengan makna yang lebih mendalam. Luahan yang membuatkan aku turut sama menilai diri. Maafkan aku jika tersilap jangkaan.

Teman,
Izinkan aku berkongsi rasa bukan kerana aku terlalu pandai memahami perasaan manusia. Namun, kerana kasihku sebagai seorang teman. Aku teringat pesanan Rasulullah, "Tidak beriman seseorang itu selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri." Kerana kasih ini, ingin kunyatakan walaupun hanya sebaris kata.

Teman,
Diriku dan dirimu serupa walaupun di medan berbeza. Diriku dan dirimu sama walaupun ada jarak yang memisahkan kita. Diriku dan dirimu sama walaupun latar belakang kita berlainan. Tidak keterlaluan jika kukatakan aku dan kamu adalah pejuang. Walau tanpa pedang dan senapang, hakikatnya kita adalah pejuang. Pejuang yang bersenjatakan sabar dan tawakal. Pejuang yang bermatlamatkan keredaan Allah yang kekal.

Teman,
Ibuku pernah berpesan tika aku masih muda remaja. Kata ibu, "Selagi mana kita sentiasa bergantung kepada Allah, jangan bimbang dan bersedih dengan cabaran yang datang." Aku tahu, kadang kala yang kau dapat bukan seperti yang kau pinta. Yang diingini tidak tercapai. Yang diharapkan tidak menjadi. Yang amat kau sukai meninggalkan diri. Aku kira kau biasa mendengar ayat motivasi ini, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal sebenarnya ia teramat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, walhal ia sebenarnya tidak elok bagimu, Allah mengetahui segala sesuatu, sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu apa pun (yang baik, mahu pun yang tidak elok untuk dirimu).” (Surah Al Baqarah: 216)

Teman,
Dirimu yang kukenal adalah seorang yang tabah. Walaupun tidak banyak yang kutahu tentang dirimu, namun perkenalan kita adalah rahmat Allah. Mungkin kau tidak sedar, diam-diam aku banyak belajar daripadamu. Walaupun perkara yang kecil, tetapi tidak semestinya ia tidak bermakna. Kadang kala, tika cabaran hebat melanda, kau adalah salah seorang teman yang kuingati. Mungkin kerana sikap tabahmu yang kucontohi.

Teman,
Di akhir kalam ini, kudoakan semoga dirimu terus bahagia dan dirahmati Allah. Semoga segala impianmu tercapai setelah berhempas pulas berjuang. Semoga doaku, doamu dan doa insan-insan yang menyayangi diri ini diterima.

Ukhtuki fillah

Monday, November 12, 2007

Remaja 2

Hari pertama & kedua
Pukul 8.00 pagi aku sudah melangkah keluar dari rumah walaupun bot yang akan kami naiki bertolak pada pukul 9.45. Banyak tempat yang perlu disinggah sebelum ke destinasi.

Selepas mengambil pengarah program, kami singgah dulu di gerai dan kemudian bergerak ke jeti. "Taju tak jalan ke jeti?" tanya pengarah kepadaku. "Alamak akak, saya tak pernah pegi." Lalu, kakak pengarah pun sibuk menghubungi suaminya. Cepat kak, sebelum terlepas bot.

Alhamdulillah sampai juga. Peserta-peserta sudah berkumpul bersama guru-guru pengiring. Dijangkakan 50 orang peserta yang majoritinya lelaki. Selepas semua orang sudah hadir, kami terus menaiki bot dan bergerak ke Pulau Jerejak. Kami tiba di sana dalam masa lebih kurang 10 minit. Tempatnya tidak begitu luas tetapi kawasannya menenangkan. Ini komen bagi orang yang memang suka laut :).

Selepas menyimpan bagasi, program terus dimulakan. Salah seorang kaunselor dijemput bagi pengisian pertama. Aku yang sudah lama meninggalkan sekolah pun turut tertarik dengan penyampaian itu. Memandangkan tugasku sebagai fasi, aku tidak dapat duduk lama untuk mendengar.

Semasa pengisian kedua bertajuk 'Aku ori bukan fotokopi', peserta diminta mengisi hand out yang diberi. Antara yang perlu diisi adalah impian masing-masing. Masih ramai sebenarnya yang tidak tahu apa impian diri. Mungkin rasa masih terlalu awal untuk memikirkannya. Aku rasa, pada masa ini, yang lebih berumur perlu membimbing. Teringat aku pada seorang adik yang bercita-cita menjadi penyanyi. Dari apa yang diberitahu, ramai di kalangan ahli keluarganya terlibat dalam bidang nyanyian. Kesimpulannya, persekitaran juga mempengaruhi impian kita. Program terus berlangsung sehingga lewat tengah malam.

Aktiviti-aktiviti yang dibuat lebih kepada membentuk jati diri remaja yang baik dan mengingatkan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar. Namun begitu, bagiku program sebegini perlu ada penerusan. Kalau diharapkan program 2 hari ini terus dapat mengubah peserta, agak sukar sebenarnya. Namun, aku berharap masih ada yang terkesan walaupun tidak ramai.

Friday, November 9, 2007

Remaja 1

Beberapa hari yang lepas, aku menyertai program untuk remaja sebagai fasi. Pesertanya adalah adik-adik remaja dari salah sebuah sekolah angkat sebuah syarikat. Program ini adalah kerjasama antara syarikat tersebut dan Kelab Remaja JIM (KRJ) Pulau Pinang. Program dibuat di Pulau Jerejak selama 2 hari 1 malam.

Beberapa hari sebelum program
"Mak, nanti orang nak pegi Pulau Jerejak. Ada program remaja." "Baik-baik pegi sana. Hari tu, ada sorang budak tu sakit lepas balik dari Pulau Jerejak," kata emakku. Alamak, kenapa pula. Aku tertanya-tanya. Ramai kata tempat tu 'keras' sikit. Macam-macam cerita. Tak pe lah, berhati-hati dan tawakal. Namun begitu, rasa risau masih ada. "InsyaAllah, takde apa-apa," doaku dalam hati.

Persiapan terakhir kami adalah menyediakan hand out untuk peserta. Sambil-sambil melihat hand out, tertanya-tanya dalam hati, "Layout ni macam pernah kulihat. Tapi, di mana ya?" Lalu, kusuarakan pada pengarah program, "Akak, saya macam pernah tengok layout ni." "Itu ambil dari buku yang dicadangkan oleh kakak R," sambil mengeluarkan bukunya. Aku tersenyum lebar. "Ooo... buku ni." Buku Study Smart keluaran PTS. Antara buku pertama yang aku edit dan melayout. Buku yang buat aku tidak tidur beberapa hari. Buku yang menyebabkan aku dan rakan-rakan terpaksa mengusung PC dari pejabat ke rumah dan sebaliknya. Terima kasih untuk rakan-rakan yang banyak membantu :). Akhirnya, terbit juga buku dengan kerjasama semua. Pengalaman manis walaupun sebelum tu macam masin sikit :).

"Nanti saya masukkan hand out dalam fail," kataku mengakhiri meeting tak formal. "Ada apa-apa lagi?" tanyaku. "Nanti akak dan D tumpang awak pegi jeti," kata pengarah. "OK, takde masalah." Kami pun bersurai.

Bersambung....

Thursday, November 8, 2007

Nampak tak otak cikgu?

Cikgu: Murid-murid, nampak tak kertas ini? (sambil menunjukkan kertas di tangan)

Murid-murid: Nampak, cikgu.

Cikgu: Sekarang, nampak tak lagi kertas tadi? (selepas kertas itu disorokkan)

Murid-murid: Tidak, cikgu

Cikgu: Kertas ada atau tidak?

Murid-murid: Tak ada, cikgu

Cikgu: Murid-murid nampak tak Tuhan?

Murid-murid: Tidak, cikgu.

Cikgu: Tuhan ada atau tidak?

Murid-murid: Tak ada, cikgu

Cikgu tadi tersenyum puas kerana misinya tercapai, mahu menghilangkan kepercayaan wujudnya Tuhan daripada pemikiran murid-muridnya Ada seorang murid pintar yang tidak berpuas hati dengan ajaran cikgunya, lalu berkata,

Murid pintar: Kawan-kawan, nampak tak otak cikgu?

Murid-murid: Tak nampak.

Budak pintar: Cikgu ada otak tak?

Murid-murid: Tak ada.

Uda: Macam-macam cara boleh dibuat untuk menyatakan kebenaran. Tambahan, pada zaman moden ini, banyak cara dilakukan untuk menunjukkan Islam salah. Kebenaran Islam perlu disampaikan dalam bentuk yang lebih kreatif dan efektif.