Monday, October 29, 2007

Tat

Akhirnya, tercapai juga impian nak buat tat sejak dari sekolah menengah. Walau rupanya tidak begitu menarik :), tapi rasanya yummy. Lain kali boleh buat lagi.

Sunday, October 21, 2007

One Litre of Tears

Kelmarin, salah satu drama bersiri Jepun kegemaranku tiba ke episod akhir. Walaupun ada kalanya aku tidak dapat menonton setiap episod di TV, aku dan adikku yang baru selesai berperang dengan PMR, menonton melalui YouTube. Canggih betul zaman sekarang :). Kalau dulu-dulu, kena la tunggu sampai ada siaran ulangan di TV.

Mungkin aku kena cerita sikit berkenaan drama ini bagi yang tidak ada kesempatan menonton. Kisah ini kisah benar seorang remaja Jepun, Aya Ikeuchi. Semasa berumur 15 tahun, dia disahkan menghidap penyakit spinocerebellar degeneration, penyakit yang masih belum dapat dirawat. Tidak ada ubat dan rawatan yang dapat menghilangkan penyakit tersebut. Penyakit ini akan menyebabkan penghidapnya lama-kelamaan lumpuh, tidak dapat bercakap sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa.

Sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut, Aya adalah remaja lincah, aktif dan bersemangat. Dia juga atlet bola keranjang dan sentiasa memberi semangat kepada rakan-rakannya. Namun, selepas disahkan menghidap penyakit yang selalunya dihadapi oleh orang lebih berumur, Aya terpaksa mengubah banyak perkara dalam hidupnya. Dia terpaksa melupakan bola keranjang, berjalan seperti orang biasa dan lain-lain lagi. Di sinilah, semangat hidup Aya perlu dihayati.

Aya mencari-cari erti hidup selepas mendapat tahu penyakitnya. Apakah yang boleh menjadikan hidupnya lebih bermakna? Apakah perkara yang dapat menjadi bukti dia masih hidup? Pelbagai persolan hidup timbul. Mengapa Aya yang perlu menghadapi penyakit ini? Padahal Aya adalah antara manusia yang cukup sempurna. Mengapa Aya perlu teruskan hidup walaupun kemungkinan yang amat besar dia akan mati?

Aktiviti utama Aya adalah menulis diari setiap hari sehingga tubuhnya tidak mampu bergerak sendiri dan tangannya sudah tidak mampu memegang pen. Dalam salah satu episod, ibu Aya meminta Aya tidak terlalu memaksa diri menulis diari kerana tangannya tidak mampu bergerak dengan baik. Namun jawab Aya, diari yang ditulis menjadikan hidupnya bermakna. Dia mahu membuat perkara yang bermakna walaupun dia tahu maut sedang menanti.

Bagiku, drama bersiri ini memberi banyak makna dalam kehidupan. Walaupun diuji dengan penyakit, namun itu bukan alasan untuk membiarkan sahaja kehidupan berlalu tanpa berbuat apa-apa. Selagi nyawa masih ada, selagi itu kita masih punya waktu untuk terus berusaha yang terbaik. Kadang kala, tanpa kita sedari usaha yang dilakukan sedikit sebanyak membantu orang di sekeling apatah lagi membantu dunia.

Sama ada kita perasan ataupun tidak, manusia banyak memberi alasan. Kata penulis buku The Magic of Thinking Big, terdapat 4 alasan besar yang selalu digunakan iaitu:
1. Alasan kesihatan
2. Alasan tidak pandai
3. Alasan umur
4. Alasan takdir
Adakah kita termasuk dalam salah satu pilihan di atas?

Kisah hidup ini juga menekankan rasa bersyukur dengan nikmat yang masih ada. Kita masih punya kaki untuk berjalan, masih punya tangan untuk menaip, masih punya suara untuk meluahkan kata dan pelbagai nikmat lagi. Namun, selalunya kita terlupa bersyukur dan take for granted. Mulai sekarang bersyukur, bersyukur dan terus bersyukur. Jadikan diri kita ahli dalam kelompok minoriti iaitu kelompok yang bersyukur.

Ok, kalau rajin boleh le tengok kat YouTube atau beli CD. Tengok cerita pun bukan sekadar tengok, biarlah ada makna :).

Saturday, October 20, 2007

Selamat kembali....

Hari ini sudah masuk 8 Syawal. Sudah ada yang sedang berpuasa sunat 6? Kalau sudah, alhamdulillah. Yang belum, masih belum terlambat untuk memulakan puasa. Di dalam kitab Shahih Muslim, hadis yang dilaporkan oleh Abu Ayub al-Anshari, Rasulullah berkata, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal, ia seolah-olah berpuasa sepanjang masa." Semoga amalan kita tidak limited pada bulan Ramadan sahaja.

Terima kasih tidak terhingga kepada sahabat-sahabat yang datang berziarah. Kami sekeluarga berbesar hati. Terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang mengirimkan kad-kad raya (PTS yang banyak... hehe), ucapan raya melalui SMS dan di blog... jazakumullah, xie xie, thank you dll.

Bagiku, lebaran kali ini banyak beza dengan hari-hari lebaran sebelum ini. Yang sama, aku masih single :). Kalau aku nyatakan setiap satu kelainan dalam blog ni, banyak sangat. Cuma, ringkasnya aku lebih banyak menilai hidup dan meperbaharui semula matlamatku.

Sepanjang perjalanan dari utara ke selatan (rumah atuk belah emak), aku lebih banyak berfikir daripada melelapkan mata. Aku memang begitu apabila menaiki kenderaan persendirian. Kalau bas ekspres, bas bergerak sahaja, aku dah zzzzzz.... Inilah antara sebabnya aku lebih suka jadi drebar apabila pulang ke kampung. Maksud aku, drebar kereta sendiri :).

Beberapa perkara aku rancang dalam kepala. Aku tahu aku perlu bersaing dengan diri sendiri untuk merelisasikan rancanganku. Harapnya segala yang dirancang akan berjalan dengan baik, dengan bantuan Allah. Amin... amin. Chaiyok, chaiyok... :) Selamat kembali menghadapi hari-hari normal dengan lebih bersemangat.

Thursday, October 18, 2007

Masa

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, yang nasihat-menasihati kerana kebenaran, serta kesabaran.”
(Surah al-Asr: 1-3)

Ada yang kata “Masa itu emas”. Tetapi kata Hasan al-Banna, “Masa itu kehidupan”. Tidak boleh dijual beli atau ditukar ganti. Ia datang dan pergi, biar pun insan tidak menyedari.

Yang selalu kita jumpa pengurus syarikat, pengurus bank, pengurus kedai. Jawatan PENGURUS MASA belum lagi. Kerana pengurus masa yang berjaya tidak perlu memakai tag nama. Dapat dilihat dari segi gerak kerja. Raut wajah yang bersemangat dan ceria. Dalam kepala teringat-ingat “Aku masih ada banyak kerja. Jangan bazir masa walau sesaat cuma.”

Dari kecil sampai besar. Motivator selalu pesan, “Atur masa anda”. Ibu ayah pula kata, “Jangan leka-leka. Tak lama lagi nak periksa.” Tetapi, selalunya kita buat ‘dek’ je. Sebab tidak nampak masa yang terbazir umpama wang yang mengalir.

Kelmarin yang berlalu, hari ini yang pasti, esok yang belum tentu ketemu. Rebut peluang yang masih ada. Tinggalkan alasan, tingkatkan upaya. Target jadi insan berjaya. Untung di dunia, di akhirat dikurnia syurga.

Baik budi pekerti

An-Nawas bin Sam'an berkata, "Saya pernah bertanya kepada Nabi Muhammad mengenai 'kebajikan' dan 'dosa'. Beliau menjawab, 'Kebajikan adalah budi pekerti yang elok, manakala dosa adalah apa-apa yang menjadikan hati saudara bimbang, sedangkan saudara tidak suka jika perkara itu diketahui oleh orang ramai.'"

(Direkodkan oleh Muslim)

Sunday, October 7, 2007

Apa erti hari raya

"Sudah beli kasut raya?" tanya salah seorang rakanku. Aku tersengih. "Pakai yang ada je." Maksudnya, kasut yang ada di kakiku. Itulah kasut ke pasar, itulah kasut ke tempat kerja. Selagi tidak tercabut, selagi itu aku guna.

Masa kecil-kecil, bila tiba hari raya, bukan sekadar baju raya, kasut raya dan beg duit raya juga dibeli. Apabila semakin dewasa, ada baju raya pun sudah kira cukup. Yang penting kena sedia fulus raya :). Anak saudara, anak sepupu dan sepupu berderet-deret. Berilah setakat yang mampu.

Apa erti hari raya? Mungkin sesetengah orang, inilah masanya melaram baju raya yang pelbagai fesyen terutamanya kaum hawa :). Baju kebarung, baju kurung, cheongsam campur kurung dan macam-macam lagi. Selagi tidak sampai ke tahap membazir, apa salahnya.

Begitu juga dengan anak-anak kecil. Pada masa ini, ibu bapa sedaya upaya memenuhi kehendak anak-anak. Walaupun kadang kala harga baju mereka mengalahkan harga baju ibu bapa. Umpama, semakin kecil saiz, semakin mahal harga.

Aku pula? Hari raya adalah hari merayakan kegembiraan dan kesyukuran selepas sebulan Ramadan. Hari menggembirakan dan menceriakan insan lain dengan apa jua cara. Ada insan yang dapat digembirakan dengan wang, Ada insan yang gembira apabila kita menziarahinya. Ada pula yang gembira apabila melihat kita tersenyum. Ya... pelbagai cara.

Namun, dalam keseronokan hari raya, ingat-ingat pada saudara-saudara seIslam di luar sana. Mungkin bagi mereka, hari raya cukup bermakna apabila tiada peluru dan bom terbang di atas kepala. Hari raya lebih bermakna apabila ada makanan yang cukup untuk dijamah. Tidak perlu rendang, ketupat dan lontong. Sudah cukup jika makanan yang ada dapat mengisi perut yang kosong untuk beberapa hari.

Sebelum melangkah ke bulan Syawal, ambil kesempatan memperbanyakkan derma dan bersedekah pada bulan Ramadan. Tidak salah jika dilakukan pada bulan-bulan lain, namun ganjaran amalan yang berlipat ganda sukar diperoleh seperti yang diperoleh pada bulan Ramadan.

Semoga ibadah-ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan diterima sebagai amal soleh. Jangan biarkan keharuman bulan Ramadan hilang sebaik sahaja melangkah masuk ke bulan Syawal. Biarkan keharuman Ramadan terus mekar mengharumi 11 bulan selepasnya sehingga insyaAllah bertemu dengan Ramadan akan datang. Kullu a'm wa antum bikhair.

Saturday, October 6, 2007

Maafkan

"Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perkara maaruf...."
(Surah al-A'raf: 199)

"Maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik."
(Surah al-Hijr: 85)

Kadang kala, perkataan maaf mudah dikata, namun sukar dilaksana. Terucap di mulut, namun tidak terukir di hati. Tidak kira sama ada yang meminta ataupun yang menerima. Umpama melepaskan batuk di tangga.

Salah seorang motivator pernah berkata, maaf melibatkan 2 perkara. Jika kedua-duanya tidak berlaku, maka maaf yang dipinta bukan sebenar-benar maaf. Hanya separuh sahaja. Kata beliau, 2 perkara itu adalah forgive dan forget. Maafkan dan lupakan.

Ada insan yang dapat memaafkan kesalahan insan lain. Namun, pada masa yang sama tidak dapat melupakan kesalahan yang dilakukan. Sehingga kadang kala menimbulkan dendam selama bertahun-tahun walaupun pada dasarnya maaf sudah diterima. Ikhlaskah kita menerima permohonan maaf?

Seorang penulis berkata, "Memberi maaf itu gratis (free), tak perlu beli." Tidur kita lebih lena apabila memaafkan kesalahan semua insan sebelum melelapkan mata. Hati jadi lebih lapang, senyum lebih manis. Yang paling penting, sudah pasti ada ganjaran pahala.

Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang dijamin Rasulullah bahawa dia akan masuk syurga. Padahal, sahabat tersebut hanya melakukan amalan biasa-biasa sahaja. Selepas diselidik oleh sahabat lain, rupa-rupanya antara amalan utamanya adalah tidak pernah berdengki dengan sesiapa pun dan sentiasa memaafkan.

Bentuk diri menjadi insan pemaaf kerana kita juga masih punya banyak kesilapan dan kekurangan. Semoga memperoleh untung di akhirat.

Thursday, October 4, 2007

Siapakah manusia bankrap?

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad SAW berkata, "'Adakah kamu tahu siapakah orang yang bankrap?' Para sahabat menjawab, 'Bagi kami, orang yang bankrap adalah orang yang habis segala hartanya.' Nabi Muhammad SAW berkata, 'Orang bankrap di kalangan umatku adalah yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. Namun, di samping itu, dia mencaci, menuduh, memakan harta orang lain, membunuh dan memukul orang lain. Oleh itu, pahala segala kebaikannya diambil bagi menggantikan kejahatannya. Apabila sudah habis kebaikannya sedangkan belum terbayar tuntutan orang lain, semua kejahatan orang lain yang pernah dia zalimi diambil dan ditimpakan kepadanya. Kemudian , dia diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.'"

(Direkodkan oleh Muslim)

Ayuh berangan-angan

Aku teringat kata-kata SifuPTS, "Berangan-anganlah sebab ia tidak memerlukan duit." Benarkah boleh berangan-angan? Masyarakat Melayu sering diperdengarkan cerita Angan-angan Mat Jenin, menyebabkan ada sesetengah individu memandang angan-angan tidak memberi apa-apa erti. Malah, membuang masa. Itu pandangan aku yang masih cetek pengalaman :).

Kata-kata Sifu aku laksanakan bagi menghilangkan rasa penat semasa menyiang ikan :). Kalau setakat menyiang dua tiga ekor ikan, berangan-angan memang buang masa. Tetapi, aku dan adikku perlu menyiang 50 kilo ikan! Dengan menggunakan tulang 4 kerat (aku, adik, adik ipar, campur semua jadi tulang 12 kerat), bekerja keras bagi merealisasikan projek kami :).

Pernah suatu masa, sahabat Umar al-Khattab berdialog dengan beberapa orang pada zamannya. Kata beliau, "Berangan-anganlah." Salah seorangan yang hadir berkata, "Kalau saya mempunyai banyak wang, saya akan belanjakan bagi memerdekakan hamba bagi mendapat redha Allah."

Seorang lagi berkata, "Saya pula, jika mempunyai banyak wang, saya akan belanjakan ke jalan Allah."

Seorang yang lain pula berkata, "Jika saya mempunyai tubuh yang kuat, saya akan memberikan air zam-zam satu persatu kepada jemaah haji."

Umar al-Khattab pula berkata, "Saya berangan-angan kalau di dalam rumah ini ada tokoh seperti Abu Ubaidah bun Al-Jarrah, Umair bin Said dan sepertinya."

Bagi aku, angan-angan itu ada positif, ada negatif. Positifnya apabila kita berusaha mencapai angan-angan yang sekali gus menjadi cita-cita. Bukan sekadar angan-angan kosong. Angan-angan yang menjadikan diri kita terdorong untuk terus berusaha merealisasikannya. Negatifnya, hanya berangan-angan tanpa usaha dan mencuba. Itu benar-benar buang masa.

Namun, pastikan angan-angan kita diredhai Allah. Elakkan berangan-angan yang bukan-bukan. Wallahua'lam

Tuesday, October 2, 2007

Lailatul Qadar

"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1000 bulan."
(Surah al-Qadar: 3)

Lailatul Qadar adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Nabi Muhammad. Malam yang hanya ada pada salah satu daripada malam-malam bulan Ramadan. Allah melipat gandakan pahala bagi insan yang beribadat dengan ikhlas pada malam itu. Ibadat yang dilakukan sama seperti ibadat selama 1000 bulan.

Bilakah Lailatul Qadar berlaku?

Di dalam kitab As-Shahihain, Ubadah bin Samit menceritakan, Nabi Muhammad pernah keluar untuk memberitahu adanya Lailatul Qadar kepada sahabat. Kemudian, beliau bertemu dengan 2 orang Muslim yang sedang berkelahi. Nabi Muhammad tidak memberitahu berkenaan waktu sebenar Lailatul Qadar disebabkan kejadian itu. Namun, nabi berpesan supaya mereka berlumba-lumba mencari malam tersebut.

Oleh itu, untuk bertemu dengan Lailatul Qadar, kita perlu berusaha dan beribadat pada setiap malam. InsyaAllah, usaha yang dilakukan akan berhasil iaitu bertemu dengan Lailatul Qadar. Ini adalah sebahagian hikmah dirahsiakan Lailatul Qadar.

Apakah amalan yang paling disukai pada malam itu?

1. Memperbanyakkan ibadah kepada Allah.

2. Memperbanyakkan doa. Dalam sebuah hadis, Aisyah, isteri nabi, bertanya kepada Nabi Muhammad, "Tahukah kamu, jika saya tahu malam itu Lailatul Qadar, apa yang perlu saya lakukan?" Nabi menjawab, "Katakan, 'Ya Allah, Engkau adalah zat yang maha pengampun, dan Engkau suka memberi ampun. Maka ampunkan dosaku.'" (Allahumma innaka a'fuwwun karim, tuhibbul a'fwa fa'fua'nni)

3. Memperbanyakkan membaca al-Quran.

Kita sudah tiba di 10 akhir Ramadan. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan pergi meninggalkan kita. Rebut peluang yang masih ada kerana kita tidak pasti sama ada akan bertemu dengan Ramadan tahun akan datang.

Uda: Masa kecil-kecil, selalu dengar kisah-kisah pelik apabila Lailatul Qadar berlaku. Ada kata, pokok akan membongkok. Ada juga yang kata air paip menjadi ais. Wallahua'lam, mungkin ada yang mengalaminya. Namun, bukan itu yang dicari. Yang dicari adalah pahala yang berlipat ganda daripada ibadah yang dilaksanakan.

(Bahan diolah daripada buku Merindukan Bulan Ramadan)