Friday, September 26, 2008

Manusia & Bahagia

Setiap manusia sentiasa mencari bahagia. Tidak kira miskin ataupun kaya, tua mahupun muda remaja. Sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Walaupun ada tikanya tidak terdaya. Namun, sedikit sahaja yang memperolehnya dalam ruang petunjuk Allah dan mendapat keuntungan dunia dan Akhirat sana.

Tika kebanyakan manusia menyandarkan kebahagiaan pada harta benda. Terlupa semua itu hanya sementara. Kadang kala, setelah semuanya sudah dimiliki, masih terasa ada yang tiada. Masih terasa kurang dan terus mengejar objek yang fana. Umpama hidup ini hanya untuk dunia semata. Seolah-olah, akan hidup selama-lamanya.

Jadi, apakah bahagia itu?
Jika tidak pada harta, pada apakah disandarkan rasa bahagia? Bahagia datang dari hati yang tenang, riang dan lapang. Walau terpaksa mengikat perut menahan lapar. Walau rumah tidak seindah yang diidam. Walau wajah tidak sejelita sang puteri, tidak setampan putera idaman.

Bagi para sahabat, bahagia adalah hidup sederhana, tiada kesibukan dunia. Prinsip dan kebenaran agama yang utama. Selain itu, hanya kurniaan Tuhan. Yang diterima dengan rasa syukur dan sentiasa berdoa. Agar kurniaan yang diberi tidak menambah leka.

Adakah manusia sedar bahagia itu daripada Tuhan? Dan Tuhan sentiasa adil memberikan rasa bahagia, lapang dan gembira. Cuma manusia kadang leka hingga terlupa. Bahawa semua rasa itu hadir dan bermakna apabila manusia meletakkan Tuhan pada tingkat pertama. Tidak ada yang setanding denganNya. Dek kerana kesilapan itu, akhirnya mengundang rasa kecewa dan duka. Walaupun segala-galanya ada di hadapan mata.


Seandainya tika ini kita masih tercari-cari bahagia, carilah ia pada Tuhan yang esa. Kerana itulah bahagia yang sebenar. Yang tidak mungkin kita perolehi daripada selainNya. Walau sulit terasa pada langkah awal, namun pasti kita akan menemuinya. Yakin dan percaya….


“Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah,
waqina azaban nar.”

No comments: