Tuesday, May 5, 2009

Tersentuh

Hatiku tersentuh... apabila membaca beberapa entri daripada blog Pak Njangku -Warna Nostalgia-.

Sebabnya aku teringatkan seseorang....

Ya Allah, kurniakan kekuatan, kesabaran, ketabahan dan redha dalam apa jua cabaran yang datang. Amin....

Friday, May 1, 2009

Mahu Masak Apa?

“Mahu masak apa ya hari ni?”

Bukan hari ini sahaja soalan ini timbul dalam fikiran. Setiap hari... bayangkan setiap hari soalan yang sama aku fikirkan apabila jam menghampiri 10 pagi... hehe. Agaknya inilah dilema setiap suri rumah... ataupun mungkin juga suri rumah seperti aku sahaja :).

Sebenarnya, apabila celik mata sahaja, antara perkara yang aku fikirkan, “Adik nak sarapan apa pagi ni?” Walaupun selalunya sarapan jarang disentuh kerana sudah terlewat untuk ke sekolah. Namun, bagiku sudah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan sarapan setiap pagi. Yang penting niatnya ikhlas, dong. Itu yang selalu suamiku ingatkan.

Apabila fikiran buntu memikirkan masakan, penyelesaiannya... aku cari resepi. Hehe... tolong simpan rahsia ini :). Cuba mencari kelainan dengan harapan dapat menaikkan semula aura & mood aku untuk memasak.

Berkaitan dengan masak-memasak ini juga, bagiku ia juga menyentuh tahap keyakinan individu. Semasa awal-awal berkahwin, aku agak risau kerana perlu memasak untuk orang lain yang aku tidak tahu seleranya bagaimana. Namun, alhamdulillah aku rasa tahap itu meningkat sedikit berbanding sebelum ini. Tetapi, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kadang kala kena tegur juga. Aku ambil secara positif walaupun malu juga... hehe.

Jadi, untuk kawan-kawan yang terror memasak, kalau mahu kongsi denganku, amat dialu-alukan. Terutamanya resepi untuk anak-anak yang masih bersekolah... maklumlah Instant Ummi :). OK... Semoga dipermudahkan segala urusan.

Thursday, April 2, 2009

Kias Cinta

Seandainya dunia tiada warna
Tetap kan kukagumi
Indah maya alam ciptaannya
Kudratnya kuagungi

Namun jalin warna
Zahirlah sang pelangi
Menyisih mendung menambat seri
Terbias semua cahaya
Nyata ilham di alam mimpi
Betapa kusyukuri nikmatnya
Ku pasti…

Begitu kias cinta
Hadir menghuni jiwa
Menyatu sejuta rasa
Kurnia penuh bermakna

Tika dalam gelita
Atau sepi kembara
Dihadirkan rasa cinta
Sisih segala duka
Anugerah darinya

Hanyalah cintanya
Yang amat kuharapkan
Tiada lain yang jadi rayuan
Namun dia maha mengerti
Tak mampu insan bersendiri
Menempuh dugaan yang menguji
Naluri…

Tak akan kupersia
Limpah rahmat yang esa
Bagaikan jalinan warna
Yang menyulam cahaya
Biasan kasihnya

Moga tak diuji
Asyik cinta duniawi
Mengharap teduh redha Ilahi
Kerna segala kurnia
Hadirnya hanya pinjaman
Sungguh kusyukuri kesempatan
Bahagia....

Penyanyi: Suhaimi

Monday, March 30, 2009

Walaupun....

Walaupun,
Bukan aku yang pertama,
Meniti hidup bersama,
Dalam suka dan duka,
Mencari kehidupan lebih sempurna.

Walaupun,
bukan aku yang terbaik,
Menyusuri hidup bersama,
Dalam tangis dan tawa,
Menongkah ranjau berbisa.

Namun,
Hanya kupinta,
Secebis kasih dan redhamu,
Buat aku meniti jalan,
Menuju rahmat dan redha Tuhan.

Thursday, March 12, 2009

Surah al-Baqarah : 286

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapa seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa ataupun tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat seperti yang Engkau bebankan kepada orang-orang sebelaum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum kafir."

~Surah al-Baqarah: 286~

Wednesday, March 11, 2009

Diam yang Menguntungkan

Pesan nabi junjungan mulia,
Apabila berkata,
Biar sebaik-baik bicara,
Bukan omongan kosong, mengumpat, mencerca,
Hilang pahala menambah dosa,
Bertambah dosa, neraka tempatnya.

Fikir-fikir sebelum bicara,
Bukan mudah-mudah melontar kata,
Kononnya bebas mengatakan apa saja,
Demi meluahkan segala rasa,
Hati manusia belakang cerita,
Yang penting 'aku rasa lega'.

Kata bijaksana,
Kerana pulut, santan binasa,
Kerana mulut, badan tersiksa,
Lebih baik diam daripada berbicara,
Andai katamu sia-sia belaka,
Moga disayangi Allah, dikasihi manusia.

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, berkatalah yang baik ataupun diam."

Wednesday, February 25, 2009

8 Februari 2009...

Lama sudah aku tidak mencoretkan sebarang bicara... Bukan tidak menjengah, malah beberapa kali jemariku menaipkan bicara cuba mengekspreskan idea dan rasa. Namun, bicaraku mati tanpa penyudah. Sudah hilang ideakah?

8 Februari 2009... Mungkin ada yang mengingati tarikh ini kerana perayaan Thaipusam. "Horey, cuti." Tetapi bagiku, 8 Februari adalah tarikh aku bertukar status daripada single kepada isteri... sekaligus ummi. Ya, mungkin ada sahabat-sahabat yang terkejut gaban apabila mengetahuinya kerana tidak kukhabarkan kepada semua :). Aku kini bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ummi kepada 3 orang putera dan puteri (InsyaAllah ada rezeki, bertambah lagi :)).

Pelik bukan hidup ini? Pernah aku beritahu suami, tidak pernah terlintas di fikiran jodohku dengan seseorang yang berstatus duda. Namun, harapanku dia yang terbaik untukku, dunia dan akhirat. Dan begitu juga diriku....

Bukan niatku berjiwang-jiwang di blog ini walaupun blog sendiri :). Sedikit luahan rasa buat memeriahkan blogku yang sudah lama menyepi. Buat sahabat-sahabat, jangan lupa doakan aku dalam doa kalian. InsyaAllah, lain masa ketemu lagi di ruangan ini.