Sunday, September 16, 2007

PDW 7462

"Awak ada lesen motor ke?" tanya salah seorang kawanku. Aku tersenyum mengangguk. Ramai yang tidak begitu percaya aku mampu menunggang motor, tetapi tidaklah seterer Mat Rempit.

Sebenarnya, sebelum mendapat sekeping lesen, aku juga tidak percaya yang suatu hari nanti aku dapat menunggang motor ke hulu, ke hilir. Jika sebagai pembonceng, dari kecil lagi, aku, adik dan sepupu menjadi pembonceng setia motor Pak Anjang. Saat paling seronok apabila Pak Anjang bawa kami ronda-ronda dalam kampung. Itu juga menjadi salah satu faktor yang menyeronokkan aku untuk pulang ke rumah Atuk.

Pernah suatu masa, aku cuba menunggang motor Tok Wan. Pada masa itu, aku masih bersekolah menengah. Mungkin selepas melihat sepupuku menunggang motor, aku juga mahu mencuba. Nampak macam mudah sahaja. Tok Wanku pula mengizinkan.

Walaupun takut-takut, aku kuatkan hati. Motor yang sudah dihidupkan, diserahkan kepadaku. Setelah bersiap sedia, aku pun terus mempress minyak. Apa lagi, motor pun berlari laju... dan aku pula panik. Sebabnya, baru tersedar yang aku tidak tahu cara mahu memberhentikan motor. Itulah dia, belajo tak habis.

Di hadapanku, sebatang pokok kelapa berdiri teguh. Mataku hanya memandangnya. Fikiranku pula berpusing ligat bagaimana mahu menyelamatkan diri. Secara spontan, aku terfikir untuk terjun daripada motor... dan aku terus melompat tanpa berfikir panjang.

Motor Tok Wan terus bergerak tanpa penunggang. Mujur kejadian berlaku pada waktu siang. Jika malam, mungkin cerita 'motor berhantu' tersebar di kampung Tok Wanku. Motor Tok Wan terus bergerak laju sehingga bertembung dengan pokok kelapa. Akhirnya, tumbanglah motor Tok Wan di kaki pokok kelapa.

Aku yang terkejut dan panik berlari naik ke atas rumah. Mulutku seperti terkunci. Aku diam seribu bahasa. Namun, Tok Wan tidak marah kepadaku. Mujur juga motornya tidak rosak. Fuh... lega. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umurku. Tetapi, selepas kejadian itu, aku jadi trauma.

Namun begitu, apabila aku diterima menyambung pelajaran di USM, aku terpaksa mendapatkan lesen motor sebab perlu berulang-alik dari rumah ke kampus. Maklumlah, rumah belakang USM, jadi aku tidak diberi kediaman di dalam kampus. Mahu tidak mahu, aku terpaksa beranikan diri.

Selepas bertungkus-lumus selama beberapa bulan, akhirnya aku berjaya juga. Dengan sekali ujian sahaja, aku diterima dan dianugerahkan lesen motor. Selain itu, ibu bapaku juga membelikan sebiji motor. Pada masa itu, motor jenama Kriss baru sahaja dikeluarkan. Dan motor Kriss berwarna hijau bernombor plat PDW 7462 menjadi temanku keluar masuk kampus.

Motor yang banyak menyumbang jasa kepadaku, kini merantau ke KL kerana adikku pula memerlukannya. Hampir 3 tahun aku tidak menggunakan khidmatnya, namun banyak kenangan yang kadang kala membuatkan aku tersenyum sendiri. Beberapa kali aku pernah terjatuh semasa mula-mula menunggangnya. Namun, akhirnya aku cekap jugs.

Selalunya, dalam keadaan terpaksa, segala perkara mustahil dapat jadi nyata. Namun memerlukan keberanian, kecekalan dan semangat. Kadang kala, kita tidak sedar potensi diri yang ada sehingga muncul keadaan yang memaksa. Jadi, beranikan diri menghadapi cabaran kerana di situ pasti ada kebaikan.

No comments: