Wednesday, October 8, 2008

Umrah & Ziarah 1

Sesungguhnya Allah itu maha berkuasa menentukan segala. Yang memberi sesuatu yang kadang kala tidak terjangka oleh hamba. Mungkin sebagai tanda rahmat dan kasihnya. Ataupun menguji sejauh mana kasih hamba kepadaNya.

Alhamdulillah... alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kupanjatkan kepada Allah kerana mengizinkan aku serta ibu menjejakkan kaki ke tanah suci... Mekah & Madinah. Terima kasih Allah kerana mengizinkan kami beribadat di tanah suciMu. Nikmat & rezeki yang besar buat kami.

“Apabila di sana, sentiasa betulkan niat,” pesan sahabatku yang pernah ke sana. Aku suka & lega apabila sahabatku memberi pesan supaya aku sentiasa beringat. Aku tidak tahu apa yang mungkin berlaku di sana. Dan alhamdulillah, pesannya sentiasa aku ingat apabila aku menjejakkan kaki di sana dan semasa datang ujian-ujian.

Tanggal 29 Ogos 2008, seawal 3 pagi, rombongan seramai 22 orang termasuk kami, memulakan musafir menuju ke Doha sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah. Penerbangan kami yang dijadualkan pada 31 Ogos terpaksa diawalkan kerana beberapa hal yang tidak dapat dielak oleh pihak agensi. Selain itu, penerbangan dengan Arab Saudi juga terpaksa diubah kepada Qatar Airways. Oleh sebab itu, kami terpaksa bertukar pesawat apabila tiba di Doha bagi meneruskan penerbangan ke Jeddah. A'la kulli hal, alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.

Penerbangan dari KLIA ke Doha mengambil masa lebih kurang 6 jam. Selepas beberapa jam menunggu penerbangan seterusnya, kami selamat tiba di Jeddah dan waktu sedang menghampiri Asar. Dari lapangan terbang Jeddah, kami dibawa dengan bas menuju ke Madinah al-Munawwarah. Cuaca ketika itu agak panas. Angin yang bertiup terasa haba. Tidak seperti angin Malaysia. Terdetik dalam hati, “Ini cabaran pertamaku.”

Apabila bagasi-bagasi kami sudah dimasukkan ke dalam bas, bas bergerak menuju ke destinasi. Namun, kami perlu singgah di mana-mana tempat solat kerana masih belum menunaikan solat zohor & asar. Pemandu membawa kami ke suatu tempat (tidak tahu namanya) dan kami segera bersolat kerana perjalanan kami masih panjang.

Kami tiba di Madinah kira-kira pukul 10 malam. Badan mula terasa penat kerana sepanjang perjalanan berada di atas kerusi. Alangkah seronok apabila melihat katil. Rombongan kami ditempatkan di Hotel Mawaddah, berdekatan dengan Masjid Nabawi. Sebilik empat orang.

Aku & ibu memang merancang untuk mengambil pakej sebilik empat orang. Lagipun, agak murah berbanding sebilik dua orang. Namun begitu, ahli rombongan yang memilih sebilik dua orang juga tidak dapat ditunaikan kerana hotel penuh. Mungkin kerana sudah menghampiri Ramadan, ramai Muslim dari pelbagai negara yang mengambil peluang datang berpuasa di tanah suci Madinah & Mekah. Itu juga harapanku & ibu. Berpuasa di tanah suci.

Bersambung... Madinah.

No comments: