Thursday, October 9, 2008

Umrah & Ziarah 2

Hari pertama di Madinah, awal-awal pagi kami bangun bersiap-siap bagi menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi. Ya Tuhan, tidak pernah kusangka akan bersolat di dalam masjid kekasihMu. Tempat kedua terbaik untuk beribadat.

Oleh kerana lif yang kecil dan bilangan yang ramai, walaupun agak awal menunggu lif, namun azan sedang berkumandang apabila kami keluar dari hotel. Kami berjalan secepat yang mungkin supaya tidak tertinggal untuk berjemaah.

Pertama kali aku melihat bangunan yang tersergam di hadapan mata, hati mula sebak. Aku benar-benar melihatnya, bukan gambar mahupun imaginasi. Ya Allah, hamba memang patut bersyukur.

Sebelum memasuki masjid, kasut kami dimasukkan ke dalam plastik ataupun beg jerut yabg sudah sedia dibawa. Selalunya, apabila ditinggalkan di rak yang disediakan, kebarangkalian tinggi akan hilang. Kemudian, kami diperiksa oleh pengawal wanita (mak guard) di pintu masuk. Antara barang yang tidak dibenarkan dibawa masuk adalah botol air. Tetapi, ada juga yang terlepas. Namun begitu, sejenis tumbler dibenarkan dibawa masuk.

Masjid sudah dipenuhi manusia sehingga laluan-laluan juga sudah diduduki. Ini adalah pengalaman yang mungkin sukar ditemui di masjid-masjid di tanah airku. Kami terpaksa solat di kawasan laluan kerana imam sudah membaca iqamat.

Selesai solat, kami duduk sebentar membaca al-Quran dan berdoa. Sekitar jam 7 pagi, bumbung di atas kepalaku terbuka. Mungkin kita biasa menonton apabila azan berkumandang di dalam TV. Apabila cuaca mulai panas, ia ditutup semula sehingga waktu menghampiri maghrib. Selepas itu, kami pulang ke hotel.

Keluar sahaja dari pintu pagar masjid, terdapat penjual-penjual menjual pelbagai barang seperti sejadah, jubah, kain tudung, tasbih dan sebagainya. Seperti pasar malam, kain ditebarkan di atas jalan dan barang-barang dilonggokkan. Harganya agak murah jika dibandingkan dengan Mekah (menyesal tak beli :)).

Setiap hari, begitulah keadaan di luar pagar masjid. Mereka mula menjual seawal pagi iaitu sebelum subuh. Ramai di kalangan mereka bukan orang Arab. Pekedai-pekedainya juga bukan orang Arab, tetapi kebanyakannya rakyat Bangladesh. Aku kagum kerana golongan mereka juga yang ramai di Malaysia. Rupa-rupanya begitu juga di negara Arab.

Bersambung... Pengalaman penuh pengajaran

No comments: