Tuesday, November 11, 2008

Membuat Keputusan

Selama aku bernafas di bumi Allah, aku sedar antara perkara sukar dalam hidup adalah membuat keputusan. Sepanjang kehidupan, banyak keputusan yang sudah dibuat. Daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya. Daripada seringan-ringan sehingga seberat-berat perkara.

Setiap hari kita membuat keputusan tanpa disedari. Mahu makan di mana hari ini? Baju kurung ataupun jubah seluar? Mahu masak apa jamuan esok? Mahu bersiar-siar ataupun rehat di rumah sahaja? Nampak mudah dan kecil sahaja. Namun, ada juga yang sukar membuat keputusan walaupun sudah acapkali dihadapkan dengan persoalan serupa.

"Kemudian, apabila kamu sudah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya.”
~Surah Ali Imran, 159~

Ayat yang sering didengari apabila berbicara berkenaan tawakal. Namun, hakikatnya ramai yang masih kurang yakin, ragu-ragu dan gelisah tidak kira sebelum mahupun selepas mencapai kata putus. Akhirnya, kepala sendiri pusing dan mengundang stres.

Apabila keputusan sudah dibuat, bulatkan tekad, tetapkan hati dan maju ke hadapan. Selagi mana tiada kata putus, selagi itu kita berasa ragu-ragu dan bimbang.

“Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu....”
~Surah Ali Imran, 159~

Dua cara terbaik bagi memutuskan suatu perkara adalah dengan bermusyawarah dan beristikharah. Dengan izin Allah, kita lebih yakin dan kuat tekad bergerak ke hadapan melaksanakan setiap urusan.

Dengan izinmu jua ya Allah, aku bisa kuat dan teguh dengan setiap keputusan yang dibuat. Berpendirian seteguh Bukit Uhud. Bersemangat setinggi Gunung Everest....

~Allahummahdini wa saddidni~

No comments: