Monday, April 26, 2010

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

"Ada buku yang adik nak beli?"

Sempena pesta buku di Perlis yang dibuat di Dewan 2020, kami tidak melepaskan peluang, memperuntukkan masa meninjau-ninjau. Mana tahu ada buku yang berkenan.

Bagi anak-anak remaja, novel menjadi pilihan utama. Walaupun novel sinonim dengan kisah-kisah cinta yang mengkhayalkan, namun saya melihat novel yang berunsur pengajaran dan islamik sudah semakin berkembang di Malaysia. Perkembangan dan perubahan yang boleh dibanggakan. Namun, masih belum dapat menandingi produksi Indonesia.

"Nak buku ni," anak yang kecil menunjukkan sebuah novel remaja yang berkenan di hatinya.

Saya menelek-nelek tajuk dan isi buku. Rasa kurang berkenan melihat tajuk, ditambah lagi dengan isi kandungannya.

Dilema.

Beli sahaja buku yang dia mahu tanpa mengira isi kandungan kerana mahu menggalakkan anak membaca.

Atau...

Anak perlu mengikut piawaian ayah ibu bagi memilih bahan bacaan.

"Ayah, boleh ke beli buku ini?" saya meminta pandangan suami.

Suami terus membelek-belek buku tersebut. Tengok sahaja tajuk, suami terus berkata,

"Buku apa ni? Buku ni tidak berapa sesuai. Pilih buku lain ye."

Anak mula tarik muka '14' kerana permintaan tidak diterima. Namun, bagi saya ada kalanya hati ayah ibu perlu 'keras' supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik. Dalam hati, saya berdoa agar anak bertemu buku yang diminati dan bermanfaat.

"Sabar hati. Jangan mudah menyerah kalah dalam mendidik," bisik hati kecil saya.

"Ada buku yang lain yang adik nak?" kami bertanya lagi, mahu meredakan hatinya yang sedikit kecewa. Dia hanya menggelengkan kepala.

Kami keluar meninggalkan dewan selepas suami dan saya membeli bahan bacaan masing-masing. Dengan rasa yang amat penat selepas seharian suntuk dipenuhi program, kami bersyukur kerana dapat meluangkan masa ke pesta buku.

Esok hari, suami membawa saya dan anak-anak berjalan di Alor Star. Mencari persekitaran baru selain dari negeri Perlis.

"Buku ni boleh?" tanya anak yang kecil menunjukkan buku kepada suami semasa kami singgah di gerai buku.

"Ok, bagus. Buku ni boleh," suami memberi 'green light' selepas memastikan isi kandungannya baik.

Alhamdulillah, akhirnya ada juga buku yang sesuai dan berkenan di hatinya. Sabar kelmarin membuahkan hasil.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Biar susah sekarang, mudah kemudian.

No comments: