Saturday, September 25, 2010

Masa untuk Diri Sendiri

Semasa menulis entri ini, saya di Sungai Petani Inn. Menemani suami yang perlu mengikuti bengkel selama 2 hari. Kami berdua sahaja yang datang ke sini. Anak-anak? Seorang mengikuti rombongan ke Cameron Highlands. 2 orang lagi di asrama.

Masa untuk diri sendiri & berdua dengan suami :).

Sebenarnya, agak lama juga saya inginkan masa-masa begini. Beberapa kali saya suarakan hasrat pada suami. Namun, keadaan sering tidak mengizinkan. Anak tidak sihat. Saya ada aktiviti. Suami pula tidak ada di rumah kerana kerja. Macam-macam lagi.

Dalam rancangan awal, sepatutnya kami bertiga yang akan datang ke sini. Suami, saya & anak. Tetapi, kemudian anak beritahu yang dia mahu mengikuti lawatan pada tarikh yang sama. Kami setuju sahaja. Kita hanya merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Mungkin rezeki saya.

Bagi anak-anak yang tinggal di asrama, suami sudah berpesan yang mereka tidak dapat pulang ke rumah minggu ini kerana kami tiada. Masing-masing akur. Namun, apa-apa pun boleh berlaku.

SEBELUM ITU....

Anak kedua menelefon memberitahu yang dia sakit perut. Dalam hati saya terdetik, "Tak dapat lagi la masa bersama suami." Tidak mengapalah. Saya & suami melawatnya & menghantar ubat. Katanya mahu balik. Saya tersenyum. Agaknya saya sudah biasa dengan situasi sebegini. Akai budak. Saya & suami cuba yakinkan yang insyaAllah esok sakitnya akan sembuh. Biasalah... sakit orang perempuan. Esoknya tiada panggilan telefon daripadanya. InsyaAllah, sudah sembuh la tu.

Sehari lagi sebelum datang ke sini, anak pertama pula menelefon. Katanya dia demam. Terdetik lagi hati saya. Saya & suami bergegas ke sekolahnya menghantar ubat. Alhamdulillah, demamnya tidak kuat seperti selalu. Sebelum kami pulang, dia beritahu mahu ikut ke Sungai Petani. Kah... kah... kah, ketawa dalam hati saya. Suami beritahu lebih baik dia berehat. Dia pun akur. Selepas meninggalkan kawasan sekolah, suami tersengih. "Akai tu." Aku pun tersenyum.

Akhirnya, tiba juga kami di sini. Saya ternanti-nanti juga panggilan telefon dari anak-anak. Mungkin ada hal lain pula yang timbul. Alhamdulillah, tiada. Semoga mereka gembira dengan urusan masing-masing.

BAGI SAYA....

Bagi saya, dalam perkahwinan, masa untuk diri sendiri & berdua bersama suami tanpa anak-anak adalah penting. Ia seperti memberi nafas baru dalam hubungan suami isteri & perkahwinan. Tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Biarlah masa itu berkualiti untuk diri & suami/isteri. Mungkin 2 - 3 jam. Yalah... mungkin yang masih mempunyai anak-anak kecil... bagaimana pula mahu meninggalkannya selama 2, 3 hari.

Jika anak-anak sudah besar dan boleh berdikari, rasanya perlu diberitahu kepada anak-anak ada masanya ibu & ayah memerlukan masa berdua sahaja. Bukan setiap masa perlu membawa mereka. Ini sekadar pandangan sahaja. Mungkin ada yang tidak setuju. Terpulang kepada diri individu.

Namun begitu, alhamdulillah tertunai juga hasrat yang satu ini. Semoga ada manfaat & kebaikan. Semoga dipermudahkan Allah segala urusan kita.

2 comments:

YaQuut @ Firdaus said...

Selamat berhoneymoon ye kak imah... :)

DJ said...

saya setuju sangat :) Quality time dengan husband sekali sekala sangat perlu. :) bak kata orang keluar dating dengan husband :)

saya dan husband pun masih baru dalam rumahtangga tapi cuba sedaya upaya untuk keep track dengan kaedah2 moden dan saranan dari buku/blog/rancangan Oprah :)

so apa salah tinggalkan anak kecik pada babysitter dan pergi dating ngan suami..bowling, tgk movie, shopping, makan aiskrim ka..hehehe..

apapun kak imah...nanti dating lagi ye..hehehe