Tuesday, September 7, 2010

Ramadan Lepas & Sekarang

Sebentar sahaja dirasakan Ramadan kali ini. Jika dijangkakan Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, kita hanya ada lebih kurang 2 hari sahaja lagi berada dalam bulan yang penuh berkat dan mulia ini. Sedih juga hati ini. Bila pula mahu bertemu lagi.

Alhamdulillah, Ramadan kali ini saya rasakan sedikit tenang. Apakah sebabnya? Entah... mungkin saya sudah mula biasa dengan kehidupan kini. Tahun lepas adalah Ramadan pertama saya berpuasa bersama suami & anak-anak. Suasana yang berbeza dari sebelumnya. Biasalah... si isteri yang menjadi tunggak utama menguruskan urusan harian sepanjang Ramadan. Sebagai 'jam loceng', menyediakan sahur & berbuka, menyediakan pakaian raya dan sebagainya. Kitalah 'tukang fikir'. Kelam kabut juga.

Tahun lepas, sebelum tiba Ramadan lagi, saya agak risau bagaimana mahu memasak tanpa merasa. Hehe... gelabah juga. Biasanya, apabila berbuka bersama keluarga sendiri, kami jarang berbuka dengan nasi. Hanya bersahur sahaja dengan nasi. Namun, kini saya perlu membiasakan diri dengan keadaan baru. Kena pandai-pandai mengagak garam yang mahu dimasukkan.

Kalau dahulu, saya sempat bersolat sebentar sebelum bersahur walaupun jam 5 pagi baru bangun tidur. Sekarang, kalau jam 5 baru celik mata, selalunya memang tidak sempat kecuali kami tidak makan nasi. Sering saya terasa sedih & rugi kerana tidak dapat berqiyamullail. Namun, saya sering memujuk hati dengan menyatakan menyediakan sahur untuk keluarga juga ibadah tetapi perlu ikhlas. Oleh itu, Ramadan tahun ini, saya awalkan sedikit waktu bangun tidur supaya saya ada masa untuk berqiyamullail. Walaupun kadang kala mata seperti tidak boleh dibuka kerana tidur lewat, namun alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan untuk bangun.

Inilah pengalaman yang membuatkan saya tersenyum apabila teringatkannya. Semoga baki-baki Ramadan yang masih tinggal ini dapat diisi dengan sebaik-baik amalan. Teruskan pecutan hingga ke garisan terakhir. Ramadan tahun hadapan belum tentu kita masih bernafas bagi meneruskan amalan-amalan.

TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM

No comments: