Saturday, May 15, 2010

Antara Beban & Hadiah

"Apabila kita diberi tanggungjawab memegang jawatan, adakah kita menerimanya sebagai HADIAH ataupun BEBAN?" tanya pembimbing saya apabila saya & kawan-kawan berbincang pada suatu hari.

Saya berfikir panjang. Sebenarnya jawapan sudah ada. Hampir 90% jawapannya adalah BEBAN. Tanggungjawab yang selalunya terasa beban yang begitu berat. Apatah lagi ketika banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan.

"Apabila kita menerimanya sebagai beban, jadi sukarlah segala perkara yang berkaitan dengannya. Timbul rasa tidak seronok. Namun, apabila menerimanya sebagai hadiah, secara tabiinya kita akan berasa seronok & seterusnya memudahkan kerja," sambungnya lagi.

Tanggungjawab adalah hadiah kerana ia membuka peluang bagi insan meningkatkan BURSA SAHAM AKHIRAT. Bukan semua insan diberikan peluang seperti ini. Oleh itu, bagi yang terpilih, terimalah ia sebagai hadiah yang sangat bernilai, peluang bagi menambah pahala.

Tanggungjawab menguruskan rumahtangga menjadi lebih seronok.

Mendidik anak-anak serta bersabar dengan kerenah mereka terasa mudah.

Menjalankan tanggungjawab di ofis dengan lebih ceria.

Menghadapi manusia dengan cara yang lebih berhikmah & sabar.

Anggaplah HADIAH yang diberi sebagai tanda kasih sayang Ilahi.
Sandarkan harapan padaNya supaya dipermudahkan segala urusan yang diberi.

Monday, April 26, 2010

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

"Ada buku yang adik nak beli?"

Sempena pesta buku di Perlis yang dibuat di Dewan 2020, kami tidak melepaskan peluang, memperuntukkan masa meninjau-ninjau. Mana tahu ada buku yang berkenan.

Bagi anak-anak remaja, novel menjadi pilihan utama. Walaupun novel sinonim dengan kisah-kisah cinta yang mengkhayalkan, namun saya melihat novel yang berunsur pengajaran dan islamik sudah semakin berkembang di Malaysia. Perkembangan dan perubahan yang boleh dibanggakan. Namun, masih belum dapat menandingi produksi Indonesia.

"Nak buku ni," anak yang kecil menunjukkan sebuah novel remaja yang berkenan di hatinya.

Saya menelek-nelek tajuk dan isi buku. Rasa kurang berkenan melihat tajuk, ditambah lagi dengan isi kandungannya.

Dilema.

Beli sahaja buku yang dia mahu tanpa mengira isi kandungan kerana mahu menggalakkan anak membaca.

Atau...

Anak perlu mengikut piawaian ayah ibu bagi memilih bahan bacaan.

"Ayah, boleh ke beli buku ini?" saya meminta pandangan suami.

Suami terus membelek-belek buku tersebut. Tengok sahaja tajuk, suami terus berkata,

"Buku apa ni? Buku ni tidak berapa sesuai. Pilih buku lain ye."

Anak mula tarik muka '14' kerana permintaan tidak diterima. Namun, bagi saya ada kalanya hati ayah ibu perlu 'keras' supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik. Dalam hati, saya berdoa agar anak bertemu buku yang diminati dan bermanfaat.

"Sabar hati. Jangan mudah menyerah kalah dalam mendidik," bisik hati kecil saya.

"Ada buku yang lain yang adik nak?" kami bertanya lagi, mahu meredakan hatinya yang sedikit kecewa. Dia hanya menggelengkan kepala.

Kami keluar meninggalkan dewan selepas suami dan saya membeli bahan bacaan masing-masing. Dengan rasa yang amat penat selepas seharian suntuk dipenuhi program, kami bersyukur kerana dapat meluangkan masa ke pesta buku.

Esok hari, suami membawa saya dan anak-anak berjalan di Alor Star. Mencari persekitaran baru selain dari negeri Perlis.

"Buku ni boleh?" tanya anak yang kecil menunjukkan buku kepada suami semasa kami singgah di gerai buku.

"Ok, bagus. Buku ni boleh," suami memberi 'green light' selepas memastikan isi kandungannya baik.

Alhamdulillah, akhirnya ada juga buku yang sesuai dan berkenan di hatinya. Sabar kelmarin membuahkan hasil.

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Biar susah sekarang, mudah kemudian.

Wednesday, April 21, 2010

Jagalah Hatimu

Memang benar buruk sangka itu lebih mudah dibuat berbanding baik sangka.

Tika ujian datang, kita menyangka Allah suka menzalimi hamba terutamanya kita.

Apabila insan yang dahulunya dikenali sebagai 'samdol Kampung Pinang' berubah, disangkanya dia mahu tunjuk alim.

Ada juga yang menyangka rakan sekerja kaki bodek ketua apabila prestasinya naik berganda.

Semuanya berbalik pada hati yang selalu berburuk sangka. Kerana berburuk sangka tidak perlu diusaha. Nafsu dan syaitan sentiasa bersedia. Ada peluang, tidak buang masa. Hasutan berputar di jiwa dan minda. Umpama virus H1N1 yang tidak tahu datang dari mana.

Berbaik sangka pula memerlukan mujahadah. Tidak mustahil walaupun jalannya payah. Pastinya banyak cabaran yang perlu diredah. Namun percayalah, pasti kita kan menerima 'upah'.

"Jagalah hati, jangan kau kotori. Jagalah hati, lentera hidup ini."

Oleh itu teman, jagalah hatimu dengan menjaga SANGKAANMU.

Monday, April 19, 2010

Sambal Tumis

"Mana datang air bebanyak dalam sambal ni?" Mak Uda saya bertanya sambil tersenyum.

Saya tersengih-sengih malu. Memang sambal tumis yang baru saya masak untuk makan tengah hari terlalu banyak air. Betullah kata Mak Uda, seperti banjir. Masa itu umur saya jika tidak silap 15 tahun...15 tahun yang lepas. Pada masa itu, emak pergi menunaikan haji. Sedikit sebanyak kerja rumah berada di bawah taggugjawab saya termasuk memasak.

Memang masakan sambal tumis adalah masakan yang paling takut saya nak masak. Kadang-kadang menjadi. Tapi banyaknya tidak. Sehingga pada awal perkahwinan pun, saya masih kurang konfiden. Hehe.. risau nak beri orang lain makan.

Tetapi, alhamdulillah sekarang tingkat konfiden sudah meningkat. Mudah macam 'pulut dengan serawa' (kata-kata ayah). Kiranya sambal tumis yang dimasak bolehlah dipanggil sambal tumis. Tidaklah rasanya seperti masak sweet sour.

Begitulah hidup ini, bukan setakat memasak, tetapi banyak perkara dalam hidup ini perlu dilakukan dengan berani dan terus mencuba. Gagal sekali, cuba lagi. Tidak menjadi sekarang, insyaAllah menjadi pada masa mendatang. Oleh itu, Chaiyok!

Monday, April 12, 2010

Penyakit Bosan

Sepanjang hidup ini, saya rasa antara penyakit paling berbahaya adalah penyakit bosan. Ada yang bersetuju?

Bosan @ boring boleh terkena siapa sahaja, tidak kira tua mahupun muda. Apabila terkena, kadang kala mampu melumpuhkan kehidupan harian.

Yang bersemangat terasa lemah dan tidak bermaya.

Yang cergas hilang kesegarannya.

Yang ceria hilang serinya.

Oleh itu, Islam ada mengajar umatnya supaya berpada-pada dalam melaksanakan amal. Biar sedikit namun istiqamah, consistent kata orang Putih. Mungkin ujian bosan datang daripada syaitan yang sentiasa mahu melemahkan manusia. Oleh sebab itu, beringat-ingatlah.

Saya memang tengah bosan. Bagus juga bosan saya ini kerana ia membuatkan saya meng'update' blog :). Yang penting, carilah penawar bagi rasa bosan kerana setiap penyakit itu ada ubatnya.

Sunday, April 11, 2010

Facebook @ FB

Sememangnya hari ini agak pelik jika tidak mempunyai Facebook. FB menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja. Tetapi jangan sangka orang 'remaja dewasa' tidak ramai yang ber'FB' seperti ayah saya :). Tidak kusangka....

Ramai juga kengkawan yang jemput saya join FB. Agaknya belum terbuka hati (sebenarnya belum rasa ada kepentingan), saya hanya jadi pendengar dan pemerhati golongan yang ber'FB' sahaja. Lagi pun, blog yang satu itu pun lambat mahu di'update'.

Namun, saya yakin pasti ada kebaikan daripadanya. Cuma jauhi daripada sikap melampau-lampau. Sememangnya dalam apa jua perkara kita tidak boleh melampau-lampau walaupun ia baik.

Bagi yang sudah mempunyai FB, gunakannya dengan sebaik mungkin. Bagi saya, tengoklah nanti....

Tuesday, March 30, 2010

Suri Rumah

Kartun di atas tidak ada kena-mengena dengan sesiapa pun
terutamanya saya :)


Suri rumah... kerjaya yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran.

Bukan tidak pernah terfikir langsung mahu menjawat jawatan tersebut. Saya mempunyai pengalaman bekerja. Ada kalanya terlintas juga di fikiran, terutamanya apabila tiba saat sibuk umpama tidak cukup tangan dan kaki untuk menyiapkan kerja. Dalam hati, seronoknya kalau ada yang mahu tanggung makan minum. Hehe...

Sungguh tidak dijangka, perubahan hidup saya datang pada masa yang saya anggap sesuai. Memang benar-benar saya tidak perlu bekerja di luar (agaknya selalu sangat minta) :).

Kini, sudah lebih setahun saya menyandang jawatan suri rumah sepenuh masa. Mmm... apa komen saya? Kadang-kadang datang juga rasa bosan. Mungkin 24 jam ofis saya adalah rumah. Begitulah....

Apabila saya menyuarakan rasa bosan kepada suami, selalunya suami suruh saya ingat balik masa bekerja dahulu. Penat dan lain-lain lagi. Oklah... sabar, sabar. Kena ikhlas buat kerja... Hehe, begitulah. Siapa lagi mahu peringat, orang terdekat le. Lagipun memang benar.

Biasalah, jika tanya orang yang bosan bekerja... pasti dia mahu duduk di rumah. Jika bertanya orang yang duduk di rumah... pasti mahu keluar bekerja. Belajo-belajo lah jadi orang bersyukur ye...

Inilah antara perkara yang saya lalui selama setahun lebih ini. Banyak lagi perkara lain. Namun, yang penting usahakanlah diri menjadi manusia bersyukur.

Mudah dikato, susah dibuek (betul ke tidak cakap orang Minang :)).