Saturday, July 3, 2010

Saya Budak Sekolah Agama

Kelmarin, sementara menunggu anak di dalam kereta, saya memerhatikan anak-anak remaja yang melintasi di hadapan kereta. Bertudung labuh dan berbaju kurung hijau, itulah uniform bagi sekolah agama di situ.

Saya tersenyum dan teringat zaman persekolahan saya. Agaknya begitulah saya semasa zaman remaja suatu masa dahulu (sekarang masih rasa remaja lagi... hehe).

Budak sekolah agama... sebuah title yang belum menjamin apa-apa.

Tiada jaminan ia akan kekal baik.

Tiada juga jaminan ia bakal menjadi contoh terbaik kepada insan lain.

Juga tiada jaminan ia beriman sehingga akhir hayat.

Mengetahui agama tidak sama dengan menghayatinya. Tahu tidak bermakna menghayati. Namun, menghayati pasti didahului dengan tahu. Mengetahui ilmu tanpa penghayatan, ia hanya tersimpan. Tidak dilahirkan dalam bentuk amal iaitu hasil penghayatan.

Kita akan mengenali diri sebenar apabila melangkah masuk ke alam realiti. Adakah kita benar-benar mampu mengaplikasikan segala ilmu yang tepu di dada? Mampukah kita bertahan menghadapi segala cabaran yang datang dengan tetap berada di atas jalan yang lurus? Tika itu, adakah kita masih berpegang teguh pada prinsip-prinsip agama yang suatu masa dahulu kita pertahankan dengan bersungguh-sungguh?

Sesungguhnya, tepu ilmu agama di dada, bukan jaminan imanmu terbela.

Saya budak sekolah agama... suatu masa dahulu.

No comments: