Monday, April 19, 2010

Sambal Tumis

"Mana datang air bebanyak dalam sambal ni?" Mak Uda saya bertanya sambil tersenyum.

Saya tersengih-sengih malu. Memang sambal tumis yang baru saya masak untuk makan tengah hari terlalu banyak air. Betullah kata Mak Uda, seperti banjir. Masa itu umur saya jika tidak silap 15 tahun...15 tahun yang lepas. Pada masa itu, emak pergi menunaikan haji. Sedikit sebanyak kerja rumah berada di bawah taggugjawab saya termasuk memasak.

Memang masakan sambal tumis adalah masakan yang paling takut saya nak masak. Kadang-kadang menjadi. Tapi banyaknya tidak. Sehingga pada awal perkahwinan pun, saya masih kurang konfiden. Hehe.. risau nak beri orang lain makan.

Tetapi, alhamdulillah sekarang tingkat konfiden sudah meningkat. Mudah macam 'pulut dengan serawa' (kata-kata ayah). Kiranya sambal tumis yang dimasak bolehlah dipanggil sambal tumis. Tidaklah rasanya seperti masak sweet sour.

Begitulah hidup ini, bukan setakat memasak, tetapi banyak perkara dalam hidup ini perlu dilakukan dengan berani dan terus mencuba. Gagal sekali, cuba lagi. Tidak menjadi sekarang, insyaAllah menjadi pada masa mendatang. Oleh itu, Chaiyok!

Monday, April 12, 2010

Penyakit Bosan

Sepanjang hidup ini, saya rasa antara penyakit paling berbahaya adalah penyakit bosan. Ada yang bersetuju?

Bosan @ boring boleh terkena siapa sahaja, tidak kira tua mahupun muda. Apabila terkena, kadang kala mampu melumpuhkan kehidupan harian.

Yang bersemangat terasa lemah dan tidak bermaya.

Yang cergas hilang kesegarannya.

Yang ceria hilang serinya.

Oleh itu, Islam ada mengajar umatnya supaya berpada-pada dalam melaksanakan amal. Biar sedikit namun istiqamah, consistent kata orang Putih. Mungkin ujian bosan datang daripada syaitan yang sentiasa mahu melemahkan manusia. Oleh sebab itu, beringat-ingatlah.

Saya memang tengah bosan. Bagus juga bosan saya ini kerana ia membuatkan saya meng'update' blog :). Yang penting, carilah penawar bagi rasa bosan kerana setiap penyakit itu ada ubatnya.

Sunday, April 11, 2010

Facebook @ FB

Sememangnya hari ini agak pelik jika tidak mempunyai Facebook. FB menjadi kegilaan ramai terutamanya golongan remaja. Tetapi jangan sangka orang 'remaja dewasa' tidak ramai yang ber'FB' seperti ayah saya :). Tidak kusangka....

Ramai juga kengkawan yang jemput saya join FB. Agaknya belum terbuka hati (sebenarnya belum rasa ada kepentingan), saya hanya jadi pendengar dan pemerhati golongan yang ber'FB' sahaja. Lagi pun, blog yang satu itu pun lambat mahu di'update'.

Namun, saya yakin pasti ada kebaikan daripadanya. Cuma jauhi daripada sikap melampau-lampau. Sememangnya dalam apa jua perkara kita tidak boleh melampau-lampau walaupun ia baik.

Bagi yang sudah mempunyai FB, gunakannya dengan sebaik mungkin. Bagi saya, tengoklah nanti....

Tuesday, March 30, 2010

Suri Rumah

Kartun di atas tidak ada kena-mengena dengan sesiapa pun
terutamanya saya :)


Suri rumah... kerjaya yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran.

Bukan tidak pernah terfikir langsung mahu menjawat jawatan tersebut. Saya mempunyai pengalaman bekerja. Ada kalanya terlintas juga di fikiran, terutamanya apabila tiba saat sibuk umpama tidak cukup tangan dan kaki untuk menyiapkan kerja. Dalam hati, seronoknya kalau ada yang mahu tanggung makan minum. Hehe...

Sungguh tidak dijangka, perubahan hidup saya datang pada masa yang saya anggap sesuai. Memang benar-benar saya tidak perlu bekerja di luar (agaknya selalu sangat minta) :).

Kini, sudah lebih setahun saya menyandang jawatan suri rumah sepenuh masa. Mmm... apa komen saya? Kadang-kadang datang juga rasa bosan. Mungkin 24 jam ofis saya adalah rumah. Begitulah....

Apabila saya menyuarakan rasa bosan kepada suami, selalunya suami suruh saya ingat balik masa bekerja dahulu. Penat dan lain-lain lagi. Oklah... sabar, sabar. Kena ikhlas buat kerja... Hehe, begitulah. Siapa lagi mahu peringat, orang terdekat le. Lagipun memang benar.

Biasalah, jika tanya orang yang bosan bekerja... pasti dia mahu duduk di rumah. Jika bertanya orang yang duduk di rumah... pasti mahu keluar bekerja. Belajo-belajo lah jadi orang bersyukur ye...

Inilah antara perkara yang saya lalui selama setahun lebih ini. Banyak lagi perkara lain. Namun, yang penting usahakanlah diri menjadi manusia bersyukur.

Mudah dikato, susah dibuek (betul ke tidak cakap orang Minang :)).

Thursday, February 25, 2010

Adakah Kita Pendengar yang Baik?

Selalu kita berharap kita menjadi tempat teman meluahkan rasa hati. Jika masalahnya tidak dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang ditanggung.

Namun, kita terlupa bertanyakan diri sama ada kita memang layak menjadi pendengar masalah dan luahan rasa teman. Adakah kita dapat membuatkan teman berasa selesa sebelum dan selepas selesai meluahkan rasa? Yang paling penting, adakah kita bersedia membantu semasa teman benar-benar memerlukan? Ataupun bila ada masa-masa senggang sahaja?

Saya adalah antara insan yang sangat memilih apabila mahu meluahkan rasa. Walaupun kadang kala hebat cabaran melanda, saya lebih rela menyimpan daripada silap memilih tempat bercerita. Soalan-soalan yang saya timbulkan adalah antara soalan yang sering timbul dalam fikiran saya sendiri apabila terasa mahu meluahkan rasa kepada insan lain.

"Adakah saya dapat bercerita sebagai diri saya sendiri tanpa dihakimi?"

"Dapatkah dia menyimpan rahsia ceritaku ini daripada diketahui orang lain?"

"Adakah dia benar-benar bersedia mendengar luahan saya?"

Adakah kita pernah menghadapi situasi, apabila mahu bercerita tetapi sahabat kita buat sambil lewa? Sama seperti si anak kecil yang excited mahu menceritakan hari yang dilaluinya di tadika, tetapi si ibu sibuk melayan kerjanya. Kecewa bukan hati si anak? Mungkin tiada lagi cerita-cerita dari tadikanya selepas itu kerana si anak menyimpulkan si ibu tidak berminat langsung dengan ceritanya.

Artikel ini bukan mahu menuding jari kepada sesiapa. Sebenarnya peringatan kepada diri ini supaya bersedia dan berlatih untuk menjadi pendengar yang baik. Mendengar dengan baik adalah kemahiran penting. Apatah lagi apabila menerjunkan diri ke dalam medan dakwah. Ia juga elemen penting dalam membina ukhuwah.

Tidak perlu memandang rendah andai insan lain memerlukan kita menjadi tempat meluahkan rasa. Sebaliknya, bergembiralah kerana kita terpilih untuk membantu insan lain bergerak semula di atas landasannya.

"Sesiapa yang melapangkan orang mukmin daripada kedukaan dunia, Allah akan melapangkan dia daripada satu kedukaan daripada segala kedukaan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya dalam dunia dan Akhirat...." (Muslim)

Jauh Bau Bunga....

"Dekat bau tahi, jauh bau bunga." Itulah agaknya pepatah yang sesuai denganku pada masa ini. Teringat-ingatkan suami yang kini berada jauh atas urusan kerja. Tergelak besar dia apabila aku beritahu tentang pepatah itu apabila kami bercakap melalui telefon. Begitulah kami bila berjauhan... berSMS, telefon. Umpama orang bercinta.

Berjauhan kali ini membuatkan aku banyak berfikir. Dan paling aku tidak sangka adalah keprihatinan sahabat-sahabatku berkaitan dengan kehidupanku kini. Memang benar... ada perkara tidak perlu diucapkan tetapi dapat dibaca daripada raut wajah.

Setelah setahun menempuh hidup berumah tangga, baru aku sedar banyaknya perubahan yang kulalui. Perubahan yang agak drastik sebenarnya. Ya, baru aku tersedar perubahan yang berlaku tanpa aku sendiri sedar terutamanya daripada segi fizikal. Ini kata sahabat-sahabatku yang prihatin. Mereka prihatin kerana mereka yang menguruskan perkahwinan ini. Terima kasih sahabat....

Isteri solehah adalah gelaran yang ingin dimiliki setiap wanita. Namun, bagiku tidak semudah kata-kata untuk menyandang gelaran itu. Namun, itu tidak bermakna mustahil. Memerlukan kesabaran, sabar, sabar dan sabar.

Buat suami, semoga selamat pergi dan pulang.

Wednesday, February 17, 2010

Diri

Kadang kala kita jadi insan yang mementingkan diri. Kehendak sentiasa mahu dipenuhi. Biar pun apa yang terjadi. Lu punya hal, lu pikirlah sendiri. Asalkan aku senang hati. Asalkan diri mendapat apa yang dihajati. Salahkah jika kita cuba menggembirakan hati insan lain. Walaupun ada kala kita kurang minati. Ataupun rasa terasing. Namun, demi memberi yang terbaik. Semua itu dipandang sebelah mata. Kerana berkorban itu lebih manis rasanya. Mungkin bukan di sini, tetapi di Akhirat sana....