Thursday, February 25, 2010

Adakah Kita Pendengar yang Baik?

Selalu kita berharap kita menjadi tempat teman meluahkan rasa hati. Jika masalahnya tidak dapat diselesaikan, sekurang-kurangnya mengurangkan beban yang ditanggung.

Namun, kita terlupa bertanyakan diri sama ada kita memang layak menjadi pendengar masalah dan luahan rasa teman. Adakah kita dapat membuatkan teman berasa selesa sebelum dan selepas selesai meluahkan rasa? Yang paling penting, adakah kita bersedia membantu semasa teman benar-benar memerlukan? Ataupun bila ada masa-masa senggang sahaja?

Saya adalah antara insan yang sangat memilih apabila mahu meluahkan rasa. Walaupun kadang kala hebat cabaran melanda, saya lebih rela menyimpan daripada silap memilih tempat bercerita. Soalan-soalan yang saya timbulkan adalah antara soalan yang sering timbul dalam fikiran saya sendiri apabila terasa mahu meluahkan rasa kepada insan lain.

"Adakah saya dapat bercerita sebagai diri saya sendiri tanpa dihakimi?"

"Dapatkah dia menyimpan rahsia ceritaku ini daripada diketahui orang lain?"

"Adakah dia benar-benar bersedia mendengar luahan saya?"

Adakah kita pernah menghadapi situasi, apabila mahu bercerita tetapi sahabat kita buat sambil lewa? Sama seperti si anak kecil yang excited mahu menceritakan hari yang dilaluinya di tadika, tetapi si ibu sibuk melayan kerjanya. Kecewa bukan hati si anak? Mungkin tiada lagi cerita-cerita dari tadikanya selepas itu kerana si anak menyimpulkan si ibu tidak berminat langsung dengan ceritanya.

Artikel ini bukan mahu menuding jari kepada sesiapa. Sebenarnya peringatan kepada diri ini supaya bersedia dan berlatih untuk menjadi pendengar yang baik. Mendengar dengan baik adalah kemahiran penting. Apatah lagi apabila menerjunkan diri ke dalam medan dakwah. Ia juga elemen penting dalam membina ukhuwah.

Tidak perlu memandang rendah andai insan lain memerlukan kita menjadi tempat meluahkan rasa. Sebaliknya, bergembiralah kerana kita terpilih untuk membantu insan lain bergerak semula di atas landasannya.

"Sesiapa yang melapangkan orang mukmin daripada kedukaan dunia, Allah akan melapangkan dia daripada satu kedukaan daripada segala kedukaan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya dalam dunia dan Akhirat...." (Muslim)

No comments: