Tuesday, June 26, 2007

Berita gembira

“… sesudah kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah: 5-6)

“Kelak Allah memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”
(Surah at-Talak: 7)

Tika jalan yang kita lalui terasa sempit, jiwa terasa lemah, ingatlah semuanya akan berakhir. Jalan jadi lapang. Jiwakan bertambah kuat. Selepas sakit, ada sembuh. Selepas kalah, ada menang. Selepas malam, pasti muncul mentari siang. Selepas penat, pasti ada rehat. Selepas sedih, pasti ada gembira.

Janji Allah kepada makhluknya. Khabar gembira buat hambanya. Walau perit walau sengsara. Menghancurkan dan menzalimimu bukan tujuannya. Hanya keyakinan dan iman hamba yang dapat menerima.

Kesulitan yang diberi mendidik diri. Supaya menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan mengingati Ilahi. Kerna kadang kala insan lalai, lupa diri. Ujian dan musibah mengingatkan kembali. Siapakah sebenarnya diri ini.

“Allah mencukupi kami, hanya Dia sebaik-baik pembantu.” Hanya Dia yang memahami dirimu. Tiada yang lain kecuali Allah yang satu. Baik ataupun tidak hanya Dia yang tahu. Redha dan tawakal sikap utama yang perlu. Biar sukar di dunia daripada sengsara di sana. Biar terhapus dosa sebelum sakit tersiksa.

Tip-tip penulis yang baik

Tip-tip ini Uda ambil dari buku Cahaya Pencerahan karangan Dr. Aidh Qarni. Semoga dapat jadi panduan bagi penulis-penulis baru ataupun yang sudah lama menulis :).
  • Menulis perkara yang benar-benar DIKUASAI dan sudah mendalami bidang kajian.

  • Tujuan menulis: MERINGKASKAN yang panjang, menjelaskan yang samar.

  • Menggunakan BAHASA yang baik dan mudah difahami.

  • Penulisan tidak PANJANG lebar hingga membosankan.

  • MENGULANGI dan menilai perkara yang ditulis. Jika perlu, rujuk kepada orang yang lebih tahu bagi meminta pendapat.

  • MEMILIH bahan tulisan yang belum dibahaskan, tetapi diperlukan oleh masyarakat.

  • Menjauhi perkara bohong, yang melukakan, sesat dan mengumpat.

  • Tidak mengagung-agungkan tulisan sendiri.

  • Menulis RUJUKAN yang jelas, tidak plagiat daripada pengarang asli.

Monday, June 25, 2007

Daun pokok tidak gugur-gugur?

Abdullah bin Umar adalah anak Umar bin Khattab. Beliau dilahirkan 3 tahun selepas Nabi Muhammad diangkat menjadi rasul. Beliau memeluk Islam pada usia remaja bersama dengan ayahnya. Semasa kaum Muslimin berhijrah ke Madinah, Abdullah pergi terlebih dahulu daripada ayahnya.

Abdullah bin Umar adalah remaja yang suka belajar dan cintakan Islam. Beliau bersama-sama dengan ayahnya belajar dan mencari ilmu dengan penuh semangat.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad mahu menguji tahap kecerdasan para sahabat. Beliau membuat soalan dalam bentuk teka-teki.

“Cuba beritahu kepada saya, apakah pohon yang daunnya tidak gugur-gugur? Pohon ini juga mempunyai ciri-ciri seperti individu Muslim,” tanya nabi kepada para sahabatnya. Kebetulan pada masa itu, Abdullah berada di situ.

Puas para sahabat berfikir. Namun mereka tidak mengetahui jawapan teka-teki itu. Mereka hanya mendiamkan diri.

Nabi pun menjawab, “Jawapannya adalah pohon kurma. Daunnya tidak gugur, sentiasa melekat pada pelepah. Saya mengatakan ciri-cirinya seperti Muslim kerana setiap bahagian pohon itu berguna kepada manusia. Tidak ada satu pun yang tidak dapat dimanfaatkan.”

Selepas daripada pertanyaan Nabi Muhammad itu, Abdullah memberitahu ayahnya bahawa sebenarnya beliau sudah mengetahui jawapan teka-teki itu. Namun begitu, beliau tidak mahu menjawab kerana terdapat ramai sahabat yang lebih berumur daripadanya. Beliau tidak mahu mereka berasa malu kerana teka-teki itu dapat dijawab oleh anak muda.

Saturday, June 23, 2007

Orang beriman yang kuat

"Orang beriman yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang beriman yang lemah. Namun begitu, pada diri masing-masing ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mendapatkan apa yang bermanfaaat bagimu. Mohon pertolongan kepada Allah dan jangan berasa lemah.

Apabila sesuatu menimpamu, jangan kamu mengatakan, 'Seandainya aku melakukan begini, pasti jadi begini dan begini.' Tetapi katakan, 'Allah mentakdirkan hal itu dan apa yang dikehendaki pasti terjadi.' Ini kerana perkataan 'seandainya' akan membuka ruang
kepada syaitan."

-Muslim-

Monday, June 18, 2007

Antara tawakal dan usaha

Konsep tawakal sering disalaherti, menyebabkan ada individu yang tidak berusaha berubat, tidak belajar bersungguh-sungguh dsb. Apakah makna tawakal sebenarnya? Menurut Amru Khalid, antara makna tawakal adalah:
  • Hati yang pasrah kepada Allah umpama pasrahnya mayat di hadapan orang yang memandikan.

  • Biarkan Allah membuat mengikut kehendaknya. Kita berposisi sebagaimana Allah memposisikan kita. Kita redha dengan segala ketetapannya.

  • Kita menyempurnakan ‘sebab’ dengan anggota badan, tetapi memutuskan ‘sebab’ dari hati kita. Tangan dan kaki perlu menyempurnakan ’sebab’, tetapi hati tidak ‘memikirkan sebab’. Contohnya, apabila kita ditemuduga, hati kita tidak terputus berdoa kepada Allah. Namun begitu, kita masih perlu memelihara adab semasa temuduga.

Tanda kita tawakal adalah jiwa yang tenang daripada berasa sedih setelah apa yang dirancang tidak menjadi. Namun jangan disalaherti, merancang masa depan tidak bertentangan dengan tawakal. Yang bertentangan adalah masih bersedih apabila perancangan yang dibuat tidak menjadi seperti yang dikehendaki.

Ibn Atha’illah berkata, “Tenangkan dirimu daripada kesedihan setelah merancang sesuatu.” Kata beliau lagi, “Maka apa yang Allah telah jamin untukmu, jangan lagi kamu menyibukkan dirimu dengannya.” Muslim menyakini Allah adalah sebaik-baik penjamin, penyelamat dan yang mengetahui segala-galanya. Jadi, mengapa perlu bersusah payah melakukan urusan yang bukan milik kita?

Bagaimana mahu jadi seorang yang bertawakal?

  • Terus menerus berhubung dengan Allah.

  • Zikir dan doa. Berdoa kepada Allah supaya menjadi orang yang bertawakal. Perbanyakkan zikir. Antara doa nabi yang menggambarkan rasa tawakal adalah, "Ya Allah, jangan Kau tinggalkan diriku walau sekejap mata atau yang lebih sedikit daripada itu."

Tawakal memerlukan latihan. Alah bisa tegal biasa. Umpama penjaring bola yang perlu menyumbatkan kemenangan bagi setiap kali perlawanan. Tanpa latihan, mungkin satu gol sahaja yang berjaya dibuat setelah 10 cubaan dilakukan.

Tawakal adalah amalan hati, tidak terkait dengan anggota badan. Anggota badan berusaha mengambil ‘sebab’. Jika kita mengambil 99 sebab dan meninggalkan 1 sebab, kita masih belum bertawakal sepenuhnya. Ambil sebab dan tinggalkan hati di hadapan Allah.

Sunday, June 17, 2007

Boleh beli masa ayah?

Seperti biasa, pukul 11 malam baru Hamka tiba di rumah. Memang menjadi kebiasaannya pulang lewat malam kerana menghabiskan kerjanya.

Buka sahaja pintu rumah, dia mendapati anaknya Amar masih belum tidur lagi. Seolah-olah sudah lama menunggu ayahnya.

"Mengapa belum tidur lagi?" tanya Hamka sambil mencium anaknya. Biasanya, Amar sudah tidur apabila dia pulang dari kerja dan baru bangun apabila dia pergi kerja.

"Amar tunggu ayah. Amar mahu tanya berapa gaji ayah?" jawab Amar sambil mengekori ayahnya.

"Kenapa mahu tahu gaji ayah? Amar mahu duit ke?" tanya Hamka.

"Bukan. Amar mahu tahu je."

"OK. Ayah bekerja lebih kurang 10 jam dan dibayar RM450. Dalam sebulan, ayah bekerja lebih kurang 25 hari. Cuba Amar kira berapa gaji ayah dapat dalam masa sebulan?"

Amar berkejar mengambil kertas dan pensel untuk mengira. "Kalau 10 jam ayah dapat RM450, satu jam ayah dapat RM45," jawab Amar pantas.

"Pandai anak ayah. Sekarang, pergi tidur. Sudah lewat malam," kata ayahnya.

"Ayah, boleh tak Amar mahu pinjam RM10?" tanya Amar tanpa berganjak dari tempatnya.

"Amar, kenapa mahu duit malam-malam ni? Ayah penat. Esok, Amar sekolah. Pergi tidur," kata ayahnya, cuba berlembut.

"Tapi ayah...,"

"Pergi tidur sekarang," Hamka meninggikan suaranya.

Perlahan-lahan, Amar melangkah masuk ke bilik tidurnya. Selepas selesai mandi, Hamka menyesal kerana memarahi Amar. Dia menjenguk ke bilik tidur anaknya dan mendapati dia masih menangis kerana dimarahi sebentar tadi.

"Ayah minta maaf, Amar. Ayah sayangkan Amar. Cuma, kenapa minta duit malam-malam begini? Esokkan boleh?" tanya Hamka.

"Amar mahu pinjam sahaja dari ayah. Bila Amar ada duit, Amar bayar balik," jawab anaknya.

"Tapi, kenapa?" tanya ayahnya kebingungan.

"Tadi Amar tunggu ayah dari pukul 8. Amar mahu main dam dengan ayah. Setengah jam saja. Ibu kata masa ayah berharga. Sebab itu, Amar mahu beli masa ayah. Ayah kata, kalau sejam ayah dibayar RM45. Kalau setengah jam RM22.50. Amar tak cukup RM10. Sebab itu Amar mahu pinjam RM10 daripada ayah," beritahu Amar panjang lebar dengan wajah innocent.

Saturday, June 16, 2007

Apa yang dipandang?

"Allah tidak memandang pada RUPA dan HARTA kalian, tetapi Dia memandang HATI dan AMALAN kalian."
-Muslim-