Monday, June 18, 2007

Antara tawakal dan usaha

Konsep tawakal sering disalaherti, menyebabkan ada individu yang tidak berusaha berubat, tidak belajar bersungguh-sungguh dsb. Apakah makna tawakal sebenarnya? Menurut Amru Khalid, antara makna tawakal adalah:
  • Hati yang pasrah kepada Allah umpama pasrahnya mayat di hadapan orang yang memandikan.

  • Biarkan Allah membuat mengikut kehendaknya. Kita berposisi sebagaimana Allah memposisikan kita. Kita redha dengan segala ketetapannya.

  • Kita menyempurnakan ‘sebab’ dengan anggota badan, tetapi memutuskan ‘sebab’ dari hati kita. Tangan dan kaki perlu menyempurnakan ’sebab’, tetapi hati tidak ‘memikirkan sebab’. Contohnya, apabila kita ditemuduga, hati kita tidak terputus berdoa kepada Allah. Namun begitu, kita masih perlu memelihara adab semasa temuduga.

Tanda kita tawakal adalah jiwa yang tenang daripada berasa sedih setelah apa yang dirancang tidak menjadi. Namun jangan disalaherti, merancang masa depan tidak bertentangan dengan tawakal. Yang bertentangan adalah masih bersedih apabila perancangan yang dibuat tidak menjadi seperti yang dikehendaki.

Ibn Atha’illah berkata, “Tenangkan dirimu daripada kesedihan setelah merancang sesuatu.” Kata beliau lagi, “Maka apa yang Allah telah jamin untukmu, jangan lagi kamu menyibukkan dirimu dengannya.” Muslim menyakini Allah adalah sebaik-baik penjamin, penyelamat dan yang mengetahui segala-galanya. Jadi, mengapa perlu bersusah payah melakukan urusan yang bukan milik kita?

Bagaimana mahu jadi seorang yang bertawakal?

  • Terus menerus berhubung dengan Allah.

  • Zikir dan doa. Berdoa kepada Allah supaya menjadi orang yang bertawakal. Perbanyakkan zikir. Antara doa nabi yang menggambarkan rasa tawakal adalah, "Ya Allah, jangan Kau tinggalkan diriku walau sekejap mata atau yang lebih sedikit daripada itu."

Tawakal memerlukan latihan. Alah bisa tegal biasa. Umpama penjaring bola yang perlu menyumbatkan kemenangan bagi setiap kali perlawanan. Tanpa latihan, mungkin satu gol sahaja yang berjaya dibuat setelah 10 cubaan dilakukan.

Tawakal adalah amalan hati, tidak terkait dengan anggota badan. Anggota badan berusaha mengambil ‘sebab’. Jika kita mengambil 99 sebab dan meninggalkan 1 sebab, kita masih belum bertawakal sepenuhnya. Ambil sebab dan tinggalkan hati di hadapan Allah.

No comments: