Wednesday, July 25, 2007

Selepas 50 hari diboikot

Perang Tabuk berlaku pada bulan Rejab tahun kesembilan Hijrah antara tentera Islam dan Rom. Pada masa itu juga sudah hampir musim mengutip buah.Orang Islam di Madinah berharap dapat menunggu sehingga hasil buah-buahan mereka dikutip sebelum keluar dari Madinah. Namun begitu, Nabi Muhammad mengarahkan Muslim yang mampu berperang perlu segera bersama-sama menyertai Perang Tabuk. Tetapi, ada sahabat nabi yang tidak ikut serta iaitu Kaab bin Malik.

Selesai Perang Tabuk dengan kemenangan bagi Islam, mereka pulang ke Madinah. Kepulangan mereka disambut dengan meriah. Tidak berapa lama selepas itu, sahabat Kaab bin Malik datang bertemu dengan Nabi Muhammad. Sebelum bertemu dengan beliau, Kaab sudah bertekad untuk berkata benar walau apa pun terjadi.

Apabila Kaab berada di hadapan Rasulullah, Rasulullah tersenyum seperti senyuman orang yang marah.

“Mengapa saudara tidak ikut serta berperang, wahai Kaab?” tanya Rasulullah.

“Sebenarnya, saya tidak mempunyai alasan untuk tidak ikut serta dalam perang. Ini semua adalah disebabkan kelalaian dan kelemahan diri saya,” jawab Kaab, berterus-terang.

“Dia berkata benar,” kata Rasulullah.

Nabi Muhammad tidak menjatuhkan sebarang hukuman kepadanya. Muslim yang tidak ikut berperang tanpa alasan tidak dijatuhkan hukuman sehingga dinyatakan Allah. Selain daripada Kaab bin Malik, terdapat dua orang lagi sahabat sepertinya. Mereka adalah Hilal bin Umayyah dan Mararah bin Rabi’.

Selepas mengaku bersalah di hadapan Nabi Muhammad, Kaab pulang ke rumah. Kaumnya datang bertemu dengannya.

“Mengapa saudara tidak memberi alasan sahaja kepada Rasulullah? Orang lain yang memberikan alasan dimaafkan Rasulullah. Rasulullah akan memohon ampun untuk diri saudara,” kata orang-orangnya.

“Adakah orang lain yang sama seperti saya?” tanya Kaab.

“Ada. Hilal dan Mararah,” jawab mereka.

Antara kelebihan Kaab bin Malik adalah petah berhujah. Oleh itu, memberi alasan adalah perkara mudah. Hampir-hampir sahaja Kaab mahu bertemu semula dengan Rasulullah untuk memberi alasan. Namun, apabila mendengar ada sahabat yang sama sepertinya, tidak memberikan alasan, beliau terus membatalkan niat itu. Kaab yakin dengan tindakannya.

Tidak berapa lama selepas itu, Allah memerintahkan kaum Muslimin memboikot mereka. Tidak ada sesiapa pun di Madinah yang mahu bercakap dengan mereka. Namun begitu, Kaab tetap keluar ke pasar dan bersembahyang jemaah di masjid walaupun tidak ada sesiapa yang melayannya.

Pada suatu hari, Raja Ghasasinah menghantar surat kepada Kaab. Surat itu berbunyi, “Kami mengetahui apa yang dilakukan oleh Muhammad kepada dirimu. Kedudukanmu dan kaummu lebih mulia dan kamu tidak berhak diperlakukan sedemikian. Jika kamu bersama dengan kami, pasti kami memuliakanmu.”

“Adakah lebih baik aku terus setia bersama Rasulullah yang memboikot diriku ataupun bersama Raja Ghasasinah yang memberi tawaran yang baik?” Hati Kaab bergolak.

“Ini adalah ujian. Aku tidak sekali-kali berpaling tadah walaupun saat yang kulalui terlalu sulit,” kata Kaab lagi sambil melemparkan surat itu ke dalam api.

Kaab terus menjalani kehidupannya seperti biasa, tanpa dipedulikan sesiapa pun kecuali isterinya. Apabila tiba hari ke-40, Nabi Muhammad mengutuskan wakil memberitahu Kaab supaya tidak bersama dengan isterinya.

“Adakah Rasulullah meminta saya menceraikannya?” tanya Kaab kepada wakil itu.

“Saudara tidak perlu menceraikannya. Rasulullah meminta supaya saudara tidak bersama dengannya. Itu sahaja,” beritahu wakil itu.

Lalu, Kaab meminta isterinya pulang ke rumah ibu bapanya. Bagi Kaab, ia adalah lebih baik walaupun tidak diminta oleh Rasulullah.

Selepas 50 hari berlalu, sedang Kaab sembahyang di atas bumbung rumahnya, beliau terdengar suara jeritan.

“Bergembiralah, wahai Kaab,” jerit suara itu.

Rupa-rupanya, Allah sudah menurunkan ayat yang mengampunkan kesalahan Kaab dan sahabat-sahabatnya. Jeritan itu adalah jeritan sahabatnya yang tidak sabar memberitahu berita gembira itu.

“Alhamdulillah. Aku bersyukur kepadamu, ya Allah,” ucap Kaab dengan rasa lega.

Selepas itu, Kaab bin Malik terus pergi bertemu dengan Rasulullah. Pada masa itu, Rasulullah bersama dengan para sahabat utama. Kabb bin Malik masuk ke dalam dan disambut dengan gembira.

“Bergembiralah, wahai Kaab bin Malik dengan hari yang paling baik dari hari-hari yang kamu lalui selepas dilahirkan oleh ibumu,” kata Rasullah kepadanya.

No comments: