Sunday, July 15, 2007

Tersilap rupanya....

"Dari mana Alia dapat duit ni?" tanya ibu kepada Alia yang sedikit terkejut ditegur. Alia hanya mendiamkan diri, terkebil-kebil memandang ibu.

"Cakap Alia. Alia curi ke? Siapa yang beri pada Alia?" soal ibu bertalu-talu. "Tolong Alia. Beritahu ibu dari mana Alia dapat duit banyak-banyak ni?"

"Alia... Alia dan kawan-kawan kumpul duit untuk sumbangan Palestin. Esok Alia nak beri kepada cikgu," jawab Alia tergagap-gagap. Terpancar rasa lega pada wajah ibunya.

"Kenapa ibu? Kenapa ibu kata Alia curi duit tu?" tanya Alia kehairanan. Rasa sedih menusuk di dada. Mengapa ibu menuduh tanpa usul periksa.

"Maafkan ibu. Keadaan sekarang menyebabkan ibu takut, bimbang. Takut Alia terikut-ikut perkara tidak baik. Ibu tersilap...."

Dalam senario lain,

"Kenapa Huda tak jawab-jawab call aku?" Ulya tertanya-tanya dalam hati. "Aku ada buat silap ke?" Sudah beberapa hari Ulya cuba menelefon Huda, tapi hampa. Semua panggilan masuk voice mail.

"Tak patut betul Huda ni. Aku tengah perlukan dia, dia buat tak peduli pula," marah Ulya dalam hati

"Ulya, tahu tak Huda masuk hospital? Dah 3 hari," tanya teman sekuliahnya, Wafa, selepas selesai kuliah.

"Kenapa tak ada orang beritahu?" Terkejut Ulya. "Silap aku bersangka buruk. Habis kuliah, aku kena pergi ziarah dia. Maafkan aku Huda."

Kadang kala ibu bapa tersilap memahami anak. Guru tersilap memahami pelajar. Majikan tersilap menilai anak buah. Isteri tersilap menduga suami. Teman tersilap sangka sikap temannya. Pendek kata, tindakan diambil kerana tersilap sangka.

Percaya ataupun tidak. Tersilap dapat mengubah sesuatu menjadi lebih baik. Tapi banyaknya menjadi lebih buruk. Kerana meletakkan emosi mendahului minda. Bukankah lebih baik duduk memikirkannya. Sebelum menilai dan mengeluarkan kata. Kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan merana.

Tanya jika kau tertanya-tanya. Daripada terus memendam rasa. Terjawab ataupun tidak belakang cerita. Yang dilihat adalah usaha, bukan hasilnya. Teruskan berbaik sangka. Kerna ia bisa menenangkan jiwa.

-Uda: Berikan 1000 alasan buat teman, biar pun dirimu hairan, mengapa dia berubah kelakuan, kerana pasti ada jawapan, bagi setiap tindakan-

No comments: