Wednesday, May 6, 2009

Mengapa Aku Mahu Menulis Blog?

Kadang-kadang, timbul soalan ini dalam minda. Mengapa aku masih mahu menulis dalam blog? Adakah faedah & manfaat? Berbaloikah masa yang aku peruntukkan semata-mata untuk menaip beberapa patah perkataan?

Masing-masing pasti ada pendapat sendiri. Tidak kira sama ada yang sudak menulis blog ataupun yang masih teragak-agak membuka blog sendiri.

Sebenarnya aku punya cita-cita untuk menulis buku. Tetapi masih belum menjadi... hehe. Yang ini tidak 'turun' ayah yang sentiasa bersemangat menulis. Oleh itu, aku berpendapat buat masa ini biarlah aku mengasah bakat melalui blog (Hehe... seperti membuat alasan bagi menyedapkan hati).

Bagiku, menulis blog dapat meredakan stres. Tetapi, bukanlah semua penulis blog adalah manusia yang sentiasa stres. Namun, kadang kala beban yang ditanggung oleh otak dapat dikurangkan apabila kita mula menulis. Agaknya begitulah sejarah kewujudan diari. Menulis sebenarnya salah satu terapi bagi menenangkan diri. Ini hanya pendapatku.

Selain itu, aku rasa ingin berkongsi sesuatu dengan pembaca-pembaca blogku walaupun hanya perkara kecil. Ini kerana setiap manusia mempunyai sudut pandangan yang berbeza. Yang penting, setiap entri ada mesej bermakna yang dapat memberi manfaat. Namun kadang-kadang, aku hanya berceloteh kosong saja :). Mungkin mahu hilangkan rasa boring.

Namun begitu, dalam sedap-sedap kita berkongsi cerita dan pendapat, aku rasa kita juga perlu menitik beratkan entri yang mahu dikongsi. Maksudku, ada beberapa perkara yang aku kira tidak perlu kita kongsikan bersama pembaca kerana takut-takut ada yang silap faham. Ya... setiap orang ada pemikiran yang berbeza. Oleh itu, perlu berhati-hati.

Bagi sahabat-sahabat/ saudara mara yang masih aktif menulis blog, teruskan usaha. Semoga menjadi salah satu amal soleh.

Bagi sahabat-sahabat yang sudah lama tidak meng'update blog, "bila nak update?" :). Tetapi terima kasih diucapkan kerana ada entri-entri dahulu yang bermanfaat buat diriku.

No comments: