Tuesday, February 2, 2010

Belum Puas Bermain....

Inilah layang-layang kami. Cantik tak?

Seumur hidup aku belum pernah bermain layang-layang. Pelik? Pelik tapi benar :). Kelmarin, entah apa yang aku mimpikan, aku minta suamiku belikan layang-layang. Mungkin aku seronok melihat beberapa orang kanak-kanak bermain di hadapan rumahku dan memang sekarang di Perlis musim berangin. Kebetulan suamiku pulang awal, jadi kami pun keluar mencari.

Selama ini, aku hanya pemerhati, melihat layang-layang terbang tinggi. Rasa seronok melihat layang-layang terbang ditiup angin. Sebenarnya, sudah lama aku mahu cuba menerbangkan layang-layang. Hehe... mungkin orang lain rasa apalah seronok sangat menerbangkan layang-layang. Mainan kuno. Tetapi yang penting aku tetap mahu mencuba.

Akhirnya, lewat petang, aku berpeluang menerbangkan layang-layang walaupun pada awalnya kurang konfiden. Seronoknya... pertama aku dapat terbangkan layang-layang. Kedua, layang-layang aku terbang lebih tinggi daripada tok guruku (siapa lagi kalau bukan suami). Ditambah pula dengan anak-anak jiran yang datang mengerumuni kami... hingar-bingar. Ada juga yang datang kepada kami dan berkata, "Mai kami tunjuk cemana nak main". Hehe... kami tersenyum saja.

Daripada perspektifku, hidup kita juga umpama layang-layang. Tanpa tali yang mengikat serta tukang terbang layang-layang, layang-layang pasti terbang terus ditiup angin. Umpama hidup kita tanpa petunjuk dan bantuan Allah. Hidup tanpa mengikut al-Quran dan sunnah. Pastikan layang-layang terus terikat pada talinya. Supaya perjalanannya tidak sia-sia. Andai terputus tali itu, terbanglah ia entah ke mana mengikut deras angin yang membawa. Akhirnya tersadai apabila hembusan angin sudah tiada.

No comments: