Tuesday, October 29, 2013

Melepaskan Harapan pada Yang Kurang Sempurna kepada Yang Sangat Sempurna

Bismillahirrahmanirrahim

Seandainya hati ini

Masih mengharapkan pada makhluk

Yang pastinya tidak ada yang sempurna

Kembalikanlah segala harapanmu itu

Pada yang sangat sempurna

Yang tiada kekurangan mahupun cacat cela

Yang lebih layak disandarkan segala-gala

Allahu rabbuna....

Wednesday, February 27, 2013

Fikir-fikir Positif

Setiap perkara atau kejadian yang berlaku,

Baik mahupun buruk,

Lihatlah dengan pandangan berhikmah,

Fikirlah dengan fikiran positif,

Yakinlah dengan kehadiran penciptamu, Allah,

Yang sentiasa di sisimu,

Yang tahu segala isi hati,

Langkahmu pasti lebih mantap & gagah.

Tuesday, February 26, 2013

Berubah

Semua manusia sama, boleh berubah.

 

Tidak kira anak kecil mahupun dewasa. 

Tidak kira lelaki mahupun perempuan. 

Tidak kira kaya mahupun miskin.

Tidak kira berpengetahuan mahupun jahil.

Yang berbeza adalah sebab yang menyebabkan dirinya berubah. Lagi satu, ke arah manakah dia berubah. Baik ataupun buruk?

Ada manusia berubah kerana peristiwa yang berlaku pada dirinya atau diri orang lain. Contohnya, selepas ibu Abu meninggal dunia, Abu berubah daripada anak yang rajin belajar menjadi pelajar yang tidak mengendahkan pelajaran & malas ke sekolah.

Ada juga yang berubah kerana menyedari dirinya perlu diubah supaya keadaan menjadi lebih baik. Contohnya, sikap suka menipu Pak Ali menyebabkan dia kehilangan ramai kawan. Oleh kerana kawan sangat penting dalam hidup Pak Ali, maka dia mengambil keputusan untuk meninggalkan sikap yang dibenci Allah itu.

Namun, perubahan yang paling super adalah perubahan kerana IMAN kepada Allah. Memang super power. Lihat sahaja insan-insan yang hidup bersama Nabi Muhammad. Iman telah mengubah mereka sehingga sanggup berkorban segala-galanya hatta nyawa. Dapat menawan kerajaan-kerajaan yang besar, yang impossible pada pemikiran orang lain untuk dijatuhkan.

Kalau dalam konteks rumahtangga pula, isteri mahupun suami berupaya memotivasi diri untuk berubah kepada kebaikan kerana Allah, bukan sekadar cinta & kasih kepada pasangan. Seandainya perubahan hanya sekadar untuk membahagiakan pasangan ataupun manusia lain, mungkin perubahan itu bersifat sementara.

Berkaitan juga dengan perubahan diri, ada manusia berubah menjadi lebih baik, alhamdulillah. Ada juga yang berubah menjadi lebih buruk, nau'zubillah min zalik.

فالهمها فجورها وتقوها
 "Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan & ketakwaan."
(Surah Asy-Syams: 8)

Dengan ilmu & iman, pilihlah jalan yang benar supaya perubahan itu diredhai Allah. Kerana dengan itu sahaja perubahan kita tidak sia-sia. Biar apa jua kesukaran yang datang selepas itu - dicerca orang, tidak dihargai pasangan, dibenci majikan - kita masih dapat tetap teguh kerana keyakinan Allah bersama dengan hambanya yang mahu dekat denganNya.

Pokok pangkalnya, apa jua perubahan yang dilakukan biarlah:

  • Kerana Allah semata-mata.
  • Ke arah kebaikan & mendapat keredhaan Allah.

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum
sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra'd: 11)

Monday, February 25, 2013

Gebang-gebang

Jika saya kata tiada benda yang hendak saya tuliskan di sini, sebenarnya terlalu banyak. Cuma mungkin tidak tahu bagaimana mahu menyusun kata-kata. Jenuh juga saya memikirkan kata-kata terbaik tetapi berakhir dengan saya hanya meletakkannya sebagai draft. Dan akhirnya terus dibuang ke dalam tong sampah.

Minat untuk menulis timbul selepas saya pernah menjadi editor buku di salah sebuah syarikat penerbitan buku. Sebelum itu, tidak pernah terlintas untuk menulis di mana-mana pun (blog, majalah, buku) kecuali cikgu minta menulis esei. Kalau saja-saja, memang dalam mimpi.

Bila zaman 'berblog' muncul, saya juga berminat untuk mencuba. Sekadar tempat untuk me'relakskan' minda. Saya percaya menulis juga dapat meningkatkan daya kreativiti bagi menarik minat pembaca untuk membaca. Ada antara blog-blog yang saya kunjungi membuatkan saya kagum dengan gaya penulisannya yang cukup menyentuh hati. Dalam hati sentiasa berharap saya juga mampu berbuat seperti itu. InsyaAllah.... Penulisan yang menggugah jiwa. Ewah.

Tika itu ada cabaran lain yang bakal datang. RIYA' mungkin. Kembang kempis hidung tidak henti-henti. "Osem betul penulisan aku." "Ramai betul pembaca blog aku." Jaga-jaga weh.

Apa-apa pun, saya mahu terus menghidupkan blog ini, walaupun mungkin macam separuh hidup je. InsyaAllah... Ma'at taufiq wan najah.

Saturday, February 16, 2013

Sesungguhnya....

Sesungguhnya... terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan.
Adakah aku mampu?

"La haula wa la quwwata illa billah"
 

Sunday, January 27, 2013

Adik-adikku... Berjuanglah

Alhamdulillah, berjaya juga menganjurkan program buat adik-adik 'doktot' yang akan graduate hujung bulan ini. Dijangkakan 20 orang yang akan hadir. namun begitu (Allah mengizinkan)... hanya 8 orang sahaja yang hadir. A'la kulli hal, alhamdulillah... program dapat dijalankan dengan lancar.

Sedikit sharing daripada ukhti Aisyah... bakal 'doktot' juga, menaikkan semangat adik-adik serta seniors yang lain (termasuk diri yang lemah ini). Pokok pengisiannya adalah sentiasa istiqamah di atas jalan dakwah walau apa jua cabaran dan kesibukan yang datang. Faham-faham jelah bagaimana kerjaya seorang doktor. Tambah-tambah lagi ketika houseman. Inilah seronoknya bersama dengan orang-orang muda (nampak sangat diri sudah tua). Program ditutup dengan ucapan serta nasyid.

Mudah-mudahan, di mana jua kalian 'dicampakkan' atau 'tercampak', kalian tetap akan menjadi umpama buah kelapa. Ke mana jua akan memberi manfaat kepada manusia.

"Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lain"

Tika Buntu....

Tika buntu, tiada jalan keluar bagi cabaran yang dihadapi. 
Ingatlah, SABAR adalah jalan keluar terbaik.

Thursday, January 17, 2013

Dosa Kecil vs Dosa Besar

Situasi 1
Ada seekor katak diletakkan di dalam sebuah periuk yang mengandungi air bersuhu bilik. Periuk itu kemudian diletakkan di atas api yang dikuatkan apinya sedikit demi sedikit. Tidak lama kemudian, katak itu pun meninggal dunia.

Situasi 2
Ada seekor katak diletakkan ke dalam sebuah periuk yang mengandungi air yang mendidih. Apabila kaki katak itu tersentuh air tersebut, ia terus melompat keluar.

Apa relevannya cerita katak ini?
Situasi-situasi di atas ini perumpamaan bagi kita yang melakukan dosa-dosa kecil.

Katak = Kita

Api yang dikuatkan sedikit demi sedikit = Dosa-dosa kecil yang bertambah bilangannya

Ramai di kalangan kita yang selalu terlepas pandang... menganggap dosa-dosa kecil umpama buih-buih yang tidak memberi kesan. Sedangkan dosa-dosa kecil itu yang akan

mengeraskan hati,

membuatkan kita malas melakukan kebaikan,

memandang remeh terhadap hukum-hakam Tuhan,

Takut-takut akhirnya (semoga dijauhkan Allah) mendorong ke arah melakukan dosa besar.

Jangan jadi seperti katak tadi... terlalu selesa berada di dalam air bersuhu bilik sehingga terlupa dirinya berada dalam bahaya. Terlalu 'selesa' kita melakukan dosa-dosa kecil sehingga suatu masa dosa-dosa itu memakan kembali diri kita. 

Masih kita ingat pepatah "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit." Dosa-dosa yang kecil mampu menjadi besar jika kerap dilakukan. Oleh itu, mohon taubat dengan setiap dosa yang dilakukan sama ada yang kecil apatah lagi yang besar. Astaghfirullah al-a'zim.

Wednesday, January 18, 2012

Pergantungan Total Kepada Allah

Hari ini Uda perlu selesaikan hal sekolah anak. Perlu pergi ke jabatan pendidikan untuk pertukaran sekolah. Hajat di hati mahu ajak jiran temankan. Kalau Inche Husband mahu temankan lagi bagus. Tetapi Inche Husband tengah sibuk sebab ada presentation. Uda memang payah sikit kalau nak buat perkara yang tidak pernah dibuat. Ada sikit-sikit rasa takut.

Tetapi, kemudian terlintas dalam hati. Kenapa Uda bergantung sangat pada manusia? Bukankah sebaik-baik pergantungan adalah kepada Allah? Jadi, Uda ambil keputusan pergi sendiri, tak perlu siapa-siapa temankan. Memang sepanjang jalan baca doa, baca ayat kursi dengan harapan dipermudahkan segala urusan.

Alhamdulillah, akhirnya selesai juga urusan walaupun terpaksa memanjat tangga sampai tingkat 4 untuk menghantar borang. Sampai sahaja di situ, pegawai suruh duduk sekejap. Uda tersenyum. Nampak sangat dia tahu Uda kepenatan. Kiranya pegawai di situ bertimbang rasa & memahami. Borang pun dapat dihantar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, lega rasanya. Alhamdulillah dapat juga melepasi satu cabaran.

Pergantungan total kepada Allah = tawakal.... Tepuk dada, tanya iman.

Tuesday, January 17, 2012

Halangan Menjadi Penyabar

Setiap kali ditimpa musibah, sabar adalah ubat paling mujarab. Namun, hakikatnya sangat sukar dilaksanakan. Mengapa?

Hari Ahad yang lepas, Uda terdengar pengisian Ustazah Norhafizah Musa berkenaan halangan daripada bersabar di radio IKIM.fm. Ia berdasarkan kenyataan Dr. Yusuf Al-Qardawi. Ada 4 perkara yang menghalang kita daripada menjadi penyabar... tidak kira di dalam rumah tangga, pekerja, dengan anak-anak ataupun apa-apa sahaja.

  1. Tergesa-gesa : Fitrahnya, manusia diciptakan mempunyai sifat tergesa-gesa. Ia dinyatakan Allah di dalam al-Quran. Semuanya mahu cepat. Contohnya, jika sudah berdoa kepada Allah supaya melepaskan kita daripada musibah, lazimnya kita mahu apa yang dipinta terus berlaku. Jika tidak, kita mudah marah & kecewa. Mula menaruh rasa buruk sangka kepada Allah. Jika manusia membiarkan sifat ini bermaharajalela, sukarlah dirinya menanam sifat sabar dalam hati.

  2. Marah-marah : Sikap ini juga menghalang kita daripada bersabar. Contohnya, suami mudah marah-marah jika si isteri menegur kesilapannya. Mungkin cara teguran isteri kurang 'seni'nya. Walaupun begitu, sikap marah-marah lebih mengeruhkan suasana. Apabila marah-marah, sabar pula jauh daripada kita.

  3. Sensitif : Rupa-rupanya, sifat sensitif juga sukar membantu kita menjadi penyabar. Jadi, insan-insan yang sensitif, mudah menangis, perlu mengawal perasaan. Takut-takut kita melampaui batas sehingga syaitan mudah mempengaruhi.

  4. Mudah kecewa & give up : Sikap ini menyukarkan kita menjadi penyabar. Mungkin kerana keyakinan kepada Allah telah jatuh merudum. Sedangkan Allah boleh mengubah sesuatu dengan sekelip mata. Bantuan Allah pasti datang apabila kita bersabar.
Berusahalah untuk bersabar.

Monday, January 16, 2012

Akhirnya.....

Bismillahi walhamdulillah....

Akhirnya, niat tuan punya blog untuk mengubah 'rupa paras' blognya yang sekian lama ditinggalkan tercapai juga. Cari punya cari, rupa-rupanya mudah saja. Rindu sebenarnya mahu menulis semula walaupun bukanlah ramai pembaca yang mahu membaca pun. Takpelah... yang penting tuan punya blog rasa hepi :).

Harap sangat tuan punya blog ini dipermudahkan Allah untuk meng'update' blognya dengan perkara-perkara bermanfaat, membangkit iman & semangat. InsyaAllah.

Sampai di sini dahulu buat permulaan. Sudah hampir Maghrib....

Sunday, June 26, 2011

Umpama Pohon Willow & Oak

Bismillahirrahmanirrahim....

Ada kata pepatah berbunyi, "Mengalah ibarat pohon willow (pohonnya tegak & kuat). Tidak melawan itu ibarat pohon oak (pohonnya keras & kukuh)."

Adakah saya mampu menjadi seperti pohon willow & oak?

Thursday, April 7, 2011

Mengaktifkan Semula Minda

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, banyak sungguh nikmat yang perlu disyukuri. Bersyukur walaupun sedikit yang diperolehi. Kerana belum pasti kitakan bersyukur dengan yang banyak jika sedikit pun payah bersyukur.

Dua tiga hari kebelakangan ini, alhamdulillah diberi kekuatan untuk berusaha mengaktifkan semula minda. Jeng... jeng... jeng, dengan apa? Sudoku? Perkara yang sudah lama saya impikan, cuma... biasalah alasan.

Saya mengulangkaji kursus yang pernah saya belajar semasa di IPT suatu masa dahulu. Buat Master ke? Enggak... insyaAllah usaha saya menulis buku bersama ayah. Sudah lama ayah minta saya menulis. Biasalah anak dia yang seorang ini... ish, ish, ish. Memang ayah tidak putus asa... hehe.

InsyaAllah saya akan usahakannya dengan bersungguh-sungguh. Penat juga mahu memahami semula perkara yang sudah lama ditinggalkan. Tetapi seronok juga. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami & mudah untuk saya memberitahu pembaca dalam bentuk penulisan.

Doakan saya ye... CHAIYOK

Sunday, April 3, 2011

Kongsi - Bebaskan Cintamu

Saya mengambil artikel ini daripada blog genta-rasa, tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Luangkan masa untuk membaca.

Bebaskan Cintamu

Ramai orang yang mengaku menyintai orang lain – isteri atau suami atau sesiapa sahaja, tetapi hakikat sebenarnya dia bukan menyintai orang itu… tetapi dia menyintai dirinya sendiri!


Sedarlah bahawa cinta dengan memiliki itu suatu yang berbeza. Jangan silap tentang hakikat itu. Ramai pasangan suami isteri ‘terkorban’ cintanya kerana gagal membezakan antara mencintai dengan ‘memiliki’.


Bila kita mencintai seseorang, kita berfikir tentang dirinya, bukan diri kita. Kepentingan sendiri tidak dihiraukan, bahagia kekasih itu itulah yang diutamakan. Ungkapan ini menggambarkan cinta yang sejati. Sebaliknya, jika kepentingan sendiri lebih diutamakan, perasaan, jiwa dan rasa kekasih dibiarkan, maka itu bukan cinta. Itu memperalatkan cinta namanya!


Mencintai itu membebaskan, manakala memiliki itu cenderung mengikat, membelenggu dan mengawal. Berapa ramai isteri yang ‘mengawal’ suaminya atas nama cinta. Sehingga suami hilang kebebasan dan kemerdekaan dalam hidup seharian. “Bila nak balik?” “Kenapa lambat?” “Kalau abang tak balik lagi, saya akan…” Bolehkah itu dikatakan ‘ayat-ayat’ cinta? Maaf, pertanyaan itu lebih mirip kata-kata seorang majikan kepada pekerja, bukan antara isteri dengan suami tercinta.


Suami pula apa kurangnya. Segala gerak-geri isteri dipantau penuh curiga. Setapak isteri melangkah, menggelak cemburu di dalam dada. Prasangkanya sudah ke tahap merimaskan sang isteri. Salah sedikit, marah. Terlanjur sekejap, ugutan. Bila ditanya, mengapa? Si suami tidak malu mengaku, “Kerana saya terlalu cintakannya!” Padahal, jika diamati dan diteliti, itu semua kerana cintakan diri. Kasihan, si isteri menjadi sandera cinta. Dikepung oleh penjara rumahtangganya, dicemeti oleh kata-kata suaminya. Ah, ada benarnya kata bijak-pandai… kekadang perkahwinan itu menjadi pusara percintaan!


“Queen control” atau “King Control” adalah produk cinta yang palsu. Cinta yang diselaputi kepentingan diri. Kulitnya cinta tetapi isinya keegoan diri. Seperti seorang pemilik burung tekukur – diberi makan, diberi minum, dibersih dan dimandikan, dilatih berlagu – tetapi dikurung dalam sangkar. “Ini burung kesayanganku,” akuinya di hadapan tetamu. “Suaranya sungguh merdu,” puji tidak henti-henti. Sekalipun tekukur dikurung dalam sangkar emas. Sangkar tetap untuk mengurung, sekalipun sangkar emas. Kilauan sangkar emas, suara berlagu merdu, bukanlah kebahagiaan tekukur yang terkurung tetapi buat tuannya yang mengurung.


Ah, cinta kita kekadang begitu. Kita ingin memberi kebaikan yang diingini oleh kita bukan yang diingini oleh pasangan kita. Apa gunanya sangkar emas, makan-minum yang mewah, kemampuan berlagu, pada tekukur yang dibelenggu? Kalaulah terkukur boleh bersuara, dia akan berkata, “Jika benar kau sayangkan aku wahai tuanku, bebaskanlah aku.” Walaupun tertukur tidak mungkin bersuara, tetapi tuannya pasti tahu, bahawa keinginan atau naluri setiap burung adalah kebebasan. Tidak sukar memahami dan merasai jika kita benar-benar mencintai. Bukankah kekasih sejati itu selalunya bertindak memahami dahulu kemudian baru difahami?


Betapa ramai isteri yang dikurung dalam villa atau istana, yang dilimpahi intan dan permata, diberi segala dan semua… tetapi dinafikan suara hatinya. Betapa ramai pula si suami yang dijaga makan-minumnya, disiapkan pakaian dan segala keperluan lahirnya, tetapi sering disakiti dengan kata perintah, rajuk dan amuk oleh isterinya. Pelik, ketika suami belum pulang, segalanya dirisaukan. Sudah makankah dia? Kenapa lambat, rosakkah keretanya? Agaknya bagaimana dia di permusafiran? Sakitnya? Letihnya? Semuanya seakan menghantui perasaan siisteri. Tapi bila suami yang dibimbangi itu pulang… belum pun melangkah pintu, sudah dihambur dengan wajah masam mencuka, sudah dileteri dengan kata-kata yang berbisa.


Sudah lama tidak ziarah ke rumah mertua. Si suami tahu hakikat itu. Boleh jadi sudah berbulan-bulan, boleh jadi telah bertahun-tahun. Si isteri memendam rasa. Ingin bersuara takut disentak. Ingin meminta gerun dibentak. Boleh jadi akan ‘diboikot’ dengan diam memanjang hingga ‘mode silent’ begitu menyiksakan. Keinginan isteri menjenguk ibu di kampung disekat. Tetapi kononnya kerana masih cinta, lalu diajak si isteri ‘ziarah’ ke ‘shopping’ komplek atau singgah di kedai emas, dibelikan subang dan rantai agar keinginannya pulang ke kampung halaman dilupakan. Jangan, jangan begitu, dahaga rindu bukan emas dan perak galang gantinya.


Belajarlah membebaskan, bukan mengikat sewaktu bercinta. Khususnya, bagi pasangan yang telah lama berumah-tangga, prinsip ini mesti difahami sebaik-baiknya. Apabila usia perkahwinan semakin meningkat, tidak ada lagi cinta berapi berasaskan keinginan biologi dan fisiologi. Yang mampu bertahan ialah rasa cinta yang sebenar – cinta yang melepaskan bukan mengikat. Ketika warna sebenar (‘true colours’) pasangan kita semakin terserlah hari demi hari, mampukah kita bertahan lagi? Bolehkah kita bersabar atas kelemahan dan kekurangan pasangan yang ketika itu sudahpun masuk belasan bahkan puluhan tahun kita hadapi?


Sudikah kita memberi peluang kedua, ketiga bahkan tidak kira kali keberapun untuknya memperbaiki diri? Jika sudi, benar kita masih cinta. Namun jika jemu, jika enggan, jika bosan itu petanda kurangnya rasa cinta. Ingatlah, jika pasangan kita ada karenahnya, apa kurangnya kita? Jangan kesabaran kita sahaja yang diperkirakan, kesabaran pasangan kita terhadap karenah kita juga wajar dipertimbangkan. Ingat selalu, suami adalah cermi siisteri dan begitulah sebaliknya. Hubungan kesalingan ini menunjukkan bahawa bagaimana perangai dan akhlak kita maka begitulah perangai dan akhlak pasangan yang ditakdirkan untuk bersama kita!


Jadi, jangan cepat menyalah atau mengalah, sebaliknya banyakkan muhasabah diri. Sedarlah bahawa kelemahan ataupun keburukan yang ada pada pasangan kita itu sebenarnya, bukan sahaja tidak diingini oleh kita tetapi juga oleh mereka. Mereka pun pada hakikatnya sedang berhempas pulas untuk mengatasi kelemahan atau keburukan itu. Kalau begitu, adalah lebih baik sekiranya kita membantu daripada ‘membuntu’ mereka.


Malangnya, hal di atas jarang berlaku. Kebanyakan orang tidak sabar dengan karenah pasangan mereka. Keceriaan dan ketenangan hidup terasa semakin terhakis oleh tabiat buruk pasangan. “Abang, saya hilang bahagia kalau abang berterusan marah-marah begini.” “Kalau you buat muka masam macam ni, I tak da pilihan. I terpaksa keluar ‘enjoy’ dengan kawan-kawan.” Kekadang suara begitu diperdengarkan. Tetapi acapkali dipendamkan. Kata-kata itu atau yang seumpama dengannya membayangkan penuturnya hilang ‘interest’ dengan pasangannya. Kata orang, habis manis sepah dibuang. Padahal, telek-teleklah kenapa suami puan muram, kenapa isteri tuan masam… Mungkin akibat beban kerjanya di pejabat. Mungkin impak perangai anak-anak di rumah. Atau yang lebih parah lagi, mungkin kerana karenah puan atau tuan sendiri. Masya-Allah.


Kita akan membuang barang yang kita miliki sekiranya barang itu hilang fungsinya. Kalau sesuatu itu tidak membawa manfaat kepada kita, apa guna lagi untuk meyimpannya? Begitulah cinta kalau tujuannya hanya untuk memiliki. Tetapi kalau cinta itu bukan untuk memiliki, kita akan terus cinta tidak kira apa jua keadaan pasangan yang kita cintai itu… Barang yang hilang fungsi bukan untuk dibuang, tetapi untuk diperbaiki. Begitulah sikap sebenarnya seorang isteri atau suami apabila berdepan dengan keburukan atau kelemahan pasangannya. Demi cinta, dalam diam-diam suara hati mereka membisikkan, kalau aku tidak dapat apa yang aku sukai, aku mesti belajar menyukai apa yang aku dapat!


Ah, betapa hebatnya sebuah kisah cinta seorang ahli sufi terhadap isterinya. Kisah yang menyebabkan saya termenung dan merenung begitu lama. Pada hari kematian isterinya barulah masyarakat tahu bahawa dia sebenarnya bukanlah seorang yang cacat… Dia hanya ‘berlakon’ cacat hanya untuk menjaga maruah dan harga diri isterinya yang benar-benar cacat. Berapa lama dia berlakon begitu? Puluhan tahun! Subhanallah. Itulah cinta yang sebenar. Cinta yang melepaskan belenggu psikologi, penjara jiwa dan rantai fikiran yang boleh menghilangkan kebahagiaan daripada diri pasangannya.


Tidak ada cinta seikhlas cinta Allah. Allah yang Maha Kaya itu tidak memerlukan sedebu pun manfaat daripada hamba-Nya. Dia Al Qawwi, Dia Al Ghani… Tuhan maha Perkasa dan Tuhan maha Kaya, Tuhan tidak memerlukan kita sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Justeru, cinta-Nya benar-benar suci kerana hakikatnya Allah tidak inginkan sebarang balasan ataupun ganjaran.


Ya, Allah memang memiliki… tetapi DIA bukan membelenggu. Cinta-Nya membebaskan. Untuk bebas dariapada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikanlah cinta Allah sebagai asas dan di atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta, walaupun kepada isteri atau suamimu!

Tuesday, March 29, 2011

Rahsia Antara Kamu & Dia

Hidup ini selalunya menjadi sukar apabila kita berbuat sesuatu kerana manusia. Kenapa? Kerana kita tidak pasti balasan apakah yang bakal kita perolehi hasil daripada tindakan kita.

Kita sering mengharapkan, apabila berbuat baik kepada si dia yang bergelar insan, kita juga mahu dibalas baik. Namun, apabila buruk yang diberi, kita rasakan segala yang dilakukan hanya sia-sia, tidak berguna.

Ikhlas menenangkan jiwa, wahai diri. Buatlah sesuatu sebaik dayamu & ikhlaskan hatimu seikhlas-ikhlas yang termampu. Pastikan terasa manisnya hidup ini walaupun tika itu kau dipandang sepi. Kerana ikhlasmu adalah rahsia... antara kamu dan Dia.

Ayam Togel

Pagi-pagi hari, selalu terdengar suara anak jiran sebelah menangis-nangis. Sedih agaknya mahu ditinggalkan mama yang mahu bergerak ke tempat kerja.

Teringat saya nostalgia semasa kecil. Bukanlah saya selalu menangis-nangis... cuma teringat emak selalu menceritakan kisah 'ayam togel'. Walaupun banyak kali sudah mendengar, tidak pernah bosan. Dari kecil sampai besar (masa tu sudah bekerja), masih suka mendengar emak bercerita 'ayam togel'. Tumpang sekaki apabila emak bercerita kepada adik. Hehe....

Apa yang special sangat kisah 'ayam togel'? Entahlah... mungkin cara emak bercerita. Ada sound track. Pengajaran cerita... dengar cakap emak :). Apa-apa pun, saya akan tersenyum apabila teringat kisah ayam togel.

KURRR....

Monday, February 14, 2011

Anak & Materialistik

Pada suatu masa, di sebuah negara bernama Sang Kayaraya, seorang anak berkata kepada ayahnya, "Ayah, aku ada seorang kawan yang cukup bahagia."

"Mengapa, anakku? Adakah kamu tidak bahagia? Apa yang ayah dapat lakukan supaya kamu bahagia?" tanya ayah cuba memahami.

"Ayah, aku ada seorang kawan. Setiap minggu ayahnya memberikannya wang sebanyak RM100. Dia dapat membeli bermacam-macam barang. Dia ada itu dan ini, sedangkan aku belum ada lagi. Aku lihat dirinya sangat bahagia kerana barang-barang yang dimiliki. Jika barangnya hilang ataupun rosak, mudah sahaja dia mencari ganti kerana ada wang," cerita anak bersungguh-sungguh.

"Aku terlalu ingin menjadi bahagia sepertinya. Apa sahaja yang aku mahu dapat kubeli dengan mudah. Tetapi, sampai sekarang angan-anganku itu belum tertunai," tambah anak dengan nada sedih.

Ayah terdiam membisu. Tiba-tiba dia bersuara kembali.

"Bukankah kelmarin ayah sudah belikan pakaian yang kamu mahu? Bukankah kita sudah membeli segala keperluan dirimu?" tanya ayah bertalu-talu. Sedih benar hatinya mendengar kata-kata anak, seolah-olah dirinya itu terlalu rendah berbanding ayah kawan anaknya.

"Ayah, pakaian yang dibeli itu tidak sesuai. Nanti apa pula kata kawanku. Aku mahu beli barang lain," kata anak membentak-bentak.

Ayah terus terdiam. Di mana silapnya....

Semoga semuanya dalam rahmat & kasih sayang Allah. Lama benar tidak 'bersuara' di teratak ini. Bukan tiada langsung perkara yang mahu dibicara. Cuma lebih suka untuk diam buat seketika.

Cuma kali ini terasa ingin berkongsi. Mungkin kerana sedikit resah melihat anak-anak era ini. Cara pandangnya cukup merunsingkan hati. Yang diajar lain, lain pula yang difahami. Yang disuruh lain, lain pula yang diikuti. Cabaran ibu bapa era zaman teknologi.

Kisah di atas, mungkin fantasi mungkin juga realiti. Yang penting, fikir-fikirkan....

Wednesday, January 12, 2011

Kesempurnaan

Mencari kesempurnaan dalam semua perkara,
bakal mengundang duka nestapa.
Kerana kesempurnaan itu tidak ada pada manusia,
kecuali pada dirinya yang esa.

Bersyukurlah dengan apa yang ada.
Terimalah dengan hati terbuka.
Pasti hatimu lebih bahagia.
Walau sekelilingmu porak-peranda.

Friday, October 1, 2010

Janji

Rasanya kita sudah biasa dengan istilah 'Janji Melayu'. Pernah suatu masa apabila saya berjanji dengan seorang kawan, dia bertanya dengan nada berseloroh, "Janji Melayu ke, janji Jepun?" Saya tertawa.

Mengapa begitu? Adakah 'Janji Melayu' itu label yang berbaur positif ataupun nagatif? Jika label positif, apa salahnya. Jika negatif, perlulah diperbetulkan supaya pupus label & persepsi negatif.

Selalunya, istilah 'Janji Melayu' memberi erti janji yang sering tidak ditepati.

Jika berjanji bertemu jam 9.00 pagi, datangnya jam 9.30 pagi tanpa alasan munasabah.

Apabila berjanji dengan anak-anak bersiar-siar, dengan mudah kita membatalkan rancangan itu semata-mata mahu bertemu rakan.

Jika si suami sudah berjanji mahu membelikan barang kepada si isteri, namun dibatalkan niatnya kerana si suami tiba-tiba mahu membeli sebatang kayu golf yang sudah lama diidamkan.

JANJI HANYA TINGGAL JANJI....

Apabila berjanji, sudah pasti kita mahu janji itu ditepati. Siapakah yang apabila berjanji, tidak ambil kisah jika janji itu dimungkiri? Rasanya tidak normal. Jika berlaku sebegitu, mungkin orang yang berjanji itu sudah terlalu biasa dengan sikap insan pemberi janji yang selalu memungkiri janjinya.

"Mat, esok kita jumpa di ofis ya pukul 10."

"InsyaAllah," jawab Mat

Esok hari, "Mat, di mana kamu? Janji jumpa pukul 10."

"Maaflah. Saya ada hal lain."

Perkataan 'InsyaAllah' terlalu mudah digunakan apabila berjanji. Alhamdulillah, baguslah begitu kerana sedar segala-galanya adalah di bawah kuasa Allah. Namun, selalunya kita ambil mudah. Kata insyaAllah itu memberi makna kita akan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji, bukan bersungguh-sungguh memungkirinya. Namun, perkara sebaliknya yang berlaku.

Oleh itu, peringatan buat diri & teman-teman, antara sifat orang munafik itu adalah apabila berjanji, dia memungkiri. Adakah kita suka salah satu sifat manusia yang dibenci Allah ini berada dalam diri? Tepuk dada, tanyalah iman. Jangan biar dirimu dipandang rendah kerana janji yang dimungkiri. Cubalah sehabis dayamu....

Saturday, September 25, 2010

Masa untuk Diri Sendiri

Semasa menulis entri ini, saya di Sungai Petani Inn. Menemani suami yang perlu mengikuti bengkel selama 2 hari. Kami berdua sahaja yang datang ke sini. Anak-anak? Seorang mengikuti rombongan ke Cameron Highlands. 2 orang lagi di asrama.

Masa untuk diri sendiri & berdua dengan suami :).

Sebenarnya, agak lama juga saya inginkan masa-masa begini. Beberapa kali saya suarakan hasrat pada suami. Namun, keadaan sering tidak mengizinkan. Anak tidak sihat. Saya ada aktiviti. Suami pula tidak ada di rumah kerana kerja. Macam-macam lagi.

Dalam rancangan awal, sepatutnya kami bertiga yang akan datang ke sini. Suami, saya & anak. Tetapi, kemudian anak beritahu yang dia mahu mengikuti lawatan pada tarikh yang sama. Kami setuju sahaja. Kita hanya merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Mungkin rezeki saya.

Bagi anak-anak yang tinggal di asrama, suami sudah berpesan yang mereka tidak dapat pulang ke rumah minggu ini kerana kami tiada. Masing-masing akur. Namun, apa-apa pun boleh berlaku.

SEBELUM ITU....

Anak kedua menelefon memberitahu yang dia sakit perut. Dalam hati saya terdetik, "Tak dapat lagi la masa bersama suami." Tidak mengapalah. Saya & suami melawatnya & menghantar ubat. Katanya mahu balik. Saya tersenyum. Agaknya saya sudah biasa dengan situasi sebegini. Akai budak. Saya & suami cuba yakinkan yang insyaAllah esok sakitnya akan sembuh. Biasalah... sakit orang perempuan. Esoknya tiada panggilan telefon daripadanya. InsyaAllah, sudah sembuh la tu.

Sehari lagi sebelum datang ke sini, anak pertama pula menelefon. Katanya dia demam. Terdetik lagi hati saya. Saya & suami bergegas ke sekolahnya menghantar ubat. Alhamdulillah, demamnya tidak kuat seperti selalu. Sebelum kami pulang, dia beritahu mahu ikut ke Sungai Petani. Kah... kah... kah, ketawa dalam hati saya. Suami beritahu lebih baik dia berehat. Dia pun akur. Selepas meninggalkan kawasan sekolah, suami tersengih. "Akai tu." Aku pun tersenyum.

Akhirnya, tiba juga kami di sini. Saya ternanti-nanti juga panggilan telefon dari anak-anak. Mungkin ada hal lain pula yang timbul. Alhamdulillah, tiada. Semoga mereka gembira dengan urusan masing-masing.

BAGI SAYA....

Bagi saya, dalam perkahwinan, masa untuk diri sendiri & berdua bersama suami tanpa anak-anak adalah penting. Ia seperti memberi nafas baru dalam hubungan suami isteri & perkahwinan. Tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama. Biarlah masa itu berkualiti untuk diri & suami/isteri. Mungkin 2 - 3 jam. Yalah... mungkin yang masih mempunyai anak-anak kecil... bagaimana pula mahu meninggalkannya selama 2, 3 hari.

Jika anak-anak sudah besar dan boleh berdikari, rasanya perlu diberitahu kepada anak-anak ada masanya ibu & ayah memerlukan masa berdua sahaja. Bukan setiap masa perlu membawa mereka. Ini sekadar pandangan sahaja. Mungkin ada yang tidak setuju. Terpulang kepada diri individu.

Namun begitu, alhamdulillah tertunai juga hasrat yang satu ini. Semoga ada manfaat & kebaikan. Semoga dipermudahkan Allah segala urusan kita.