Monday, November 12, 2007

Remaja 2

Hari pertama & kedua
Pukul 8.00 pagi aku sudah melangkah keluar dari rumah walaupun bot yang akan kami naiki bertolak pada pukul 9.45. Banyak tempat yang perlu disinggah sebelum ke destinasi.

Selepas mengambil pengarah program, kami singgah dulu di gerai dan kemudian bergerak ke jeti. "Taju tak jalan ke jeti?" tanya pengarah kepadaku. "Alamak akak, saya tak pernah pegi." Lalu, kakak pengarah pun sibuk menghubungi suaminya. Cepat kak, sebelum terlepas bot.

Alhamdulillah sampai juga. Peserta-peserta sudah berkumpul bersama guru-guru pengiring. Dijangkakan 50 orang peserta yang majoritinya lelaki. Selepas semua orang sudah hadir, kami terus menaiki bot dan bergerak ke Pulau Jerejak. Kami tiba di sana dalam masa lebih kurang 10 minit. Tempatnya tidak begitu luas tetapi kawasannya menenangkan. Ini komen bagi orang yang memang suka laut :).

Selepas menyimpan bagasi, program terus dimulakan. Salah seorang kaunselor dijemput bagi pengisian pertama. Aku yang sudah lama meninggalkan sekolah pun turut tertarik dengan penyampaian itu. Memandangkan tugasku sebagai fasi, aku tidak dapat duduk lama untuk mendengar.

Semasa pengisian kedua bertajuk 'Aku ori bukan fotokopi', peserta diminta mengisi hand out yang diberi. Antara yang perlu diisi adalah impian masing-masing. Masih ramai sebenarnya yang tidak tahu apa impian diri. Mungkin rasa masih terlalu awal untuk memikirkannya. Aku rasa, pada masa ini, yang lebih berumur perlu membimbing. Teringat aku pada seorang adik yang bercita-cita menjadi penyanyi. Dari apa yang diberitahu, ramai di kalangan ahli keluarganya terlibat dalam bidang nyanyian. Kesimpulannya, persekitaran juga mempengaruhi impian kita. Program terus berlangsung sehingga lewat tengah malam.

Aktiviti-aktiviti yang dibuat lebih kepada membentuk jati diri remaja yang baik dan mengingatkan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar. Namun begitu, bagiku program sebegini perlu ada penerusan. Kalau diharapkan program 2 hari ini terus dapat mengubah peserta, agak sukar sebenarnya. Namun, aku berharap masih ada yang terkesan walaupun tidak ramai.

No comments: