Thursday, November 15, 2007

Buatmu teman....


Teman,
Tika kubaca luahan hatimu, kukira kau sedang berjuang hebat dengan taufan hati yang sedang bertiup kencang. Luahan yang cuba kufahami dengan makna yang lebih mendalam. Luahan yang membuatkan aku turut sama menilai diri. Maafkan aku jika tersilap jangkaan.

Teman,
Izinkan aku berkongsi rasa bukan kerana aku terlalu pandai memahami perasaan manusia. Namun, kerana kasihku sebagai seorang teman. Aku teringat pesanan Rasulullah, "Tidak beriman seseorang itu selagi mana dia tidak mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri." Kerana kasih ini, ingin kunyatakan walaupun hanya sebaris kata.

Teman,
Diriku dan dirimu serupa walaupun di medan berbeza. Diriku dan dirimu sama walaupun ada jarak yang memisahkan kita. Diriku dan dirimu sama walaupun latar belakang kita berlainan. Tidak keterlaluan jika kukatakan aku dan kamu adalah pejuang. Walau tanpa pedang dan senapang, hakikatnya kita adalah pejuang. Pejuang yang bersenjatakan sabar dan tawakal. Pejuang yang bermatlamatkan keredaan Allah yang kekal.

Teman,
Ibuku pernah berpesan tika aku masih muda remaja. Kata ibu, "Selagi mana kita sentiasa bergantung kepada Allah, jangan bimbang dan bersedih dengan cabaran yang datang." Aku tahu, kadang kala yang kau dapat bukan seperti yang kau pinta. Yang diingini tidak tercapai. Yang diharapkan tidak menjadi. Yang amat kau sukai meninggalkan diri. Aku kira kau biasa mendengar ayat motivasi ini, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu itu, padahal sebenarnya ia teramat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, walhal ia sebenarnya tidak elok bagimu, Allah mengetahui segala sesuatu, sedangkan kamu tidak mengetahui sesuatu apa pun (yang baik, mahu pun yang tidak elok untuk dirimu).” (Surah Al Baqarah: 216)

Teman,
Dirimu yang kukenal adalah seorang yang tabah. Walaupun tidak banyak yang kutahu tentang dirimu, namun perkenalan kita adalah rahmat Allah. Mungkin kau tidak sedar, diam-diam aku banyak belajar daripadamu. Walaupun perkara yang kecil, tetapi tidak semestinya ia tidak bermakna. Kadang kala, tika cabaran hebat melanda, kau adalah salah seorang teman yang kuingati. Mungkin kerana sikap tabahmu yang kucontohi.

Teman,
Di akhir kalam ini, kudoakan semoga dirimu terus bahagia dan dirahmati Allah. Semoga segala impianmu tercapai setelah berhempas pulas berjuang. Semoga doaku, doamu dan doa insan-insan yang menyayangi diri ini diterima.

Ukhtuki fillah

No comments: