Sekali tersilap, bukan noktah segala-galanya,
Biar sekali tersilap,
Agar tidak diulang perkara serupa,
Kerna diri hanyalah hamba,
Yang bisa dan biasa,
Tersilap tika melangkah menuju cita.
Tika kebanyakan manusia menyandarkan kebahagiaan pada harta benda. Terlupa semua itu hanya sementara. Kadang kala, setelah semuanya sudah dimiliki, masih terasa ada yang tiada. Masih terasa kurang dan terus mengejar objek yang fana. Umpama hidup ini hanya untuk dunia semata. Seolah-olah, akan hidup selama-lamanya.
Jadi, apakah bahagia itu?
Jika tidak pada harta, pada apakah disandarkan rasa bahagia? Bahagia datang dari hati yang tenang, riang dan lapang. Walau terpaksa mengikat perut menahan lapar. Walau rumah tidak seindah yang diidam. Walau wajah tidak sejelita sang puteri, tidak setampan putera idaman.
Bagi para sahabat, bahagia adalah hidup sederhana, tiada kesibukan dunia. Prinsip dan kebenaran agama yang utama. Selain itu, hanya kurniaan Tuhan. Yang diterima dengan rasa syukur dan sentiasa berdoa. Agar kurniaan yang diberi tidak menambah leka.
Adakah manusia sedar bahagia itu daripada Tuhan? Dan Tuhan sentiasa adil memberikan rasa bahagia, lapang dan gembira. Cuma manusia kadang leka hingga terlupa. Bahawa semua rasa itu hadir dan bermakna apabila manusia meletakkan Tuhan pada tingkat pertama. Tidak ada yang setanding denganNya. Dek kerana kesilapan itu, akhirnya mengundang rasa kecewa dan duka. Walaupun segala-galanya ada di hadapan mata.
Seandainya tika ini kita masih tercari-cari bahagia, carilah ia pada Tuhan yang esa. Kerana itulah bahagia yang sebenar. Yang tidak mungkin kita perolehi daripada selainNya. Walau sulit terasa pada langkah awal, namun pasti kita akan menemuinya. Yakin dan percaya….
“Rabbana atina fid dunya hasanah, wa fil akhirati hasanah,
waqina azaban nar.”
Sering terdengar sajak ini di corong radio IKIM.fm. Yang membuatkan hati terpana sebentar, leka mendengar. Meresap jauh ke dalam jiwa dan sanubari. Dan semakin lama diri ini semakin mengerti. Manisnya hidup ini. Apabila… mengenaliMu, ya Allah.
Sajak: MengenaliMu, Ya Allah
Oleh: Mahsuri SN
MengenaliMu, ya Allah
Rasanya makin merindu
Yakin, itu sudah tidak pernah
Aku tanyakan pada diriku
Kepada kalbuku
Kerana sejak aku tahu
Mengenal kehidupan
Ketika masih belum mengaji
Mukadam dan al-Quran
Aku sudah diberi kenal
Ada bintang
Ada bulan
Ada matahari
Dan awan
Ada yang menjadikan;
Begitu aku terasa
Tanpa bertanya
Aku ingin makna mendalam
Sudah kuterima kenyataan
Bahawa alam jagat
Dan seluruh makhluk ini
Ada yang menjadikan
CiptaanMu, Tuhan
Maha Pengasih Maha Penyayang.
Berulang-ulang
Dalam hidupku diberi nafas
Berterusan menghayati nikmat
Makan minum dan tidur berehat
Maka dadaku penuh mengingati
NamaMu sentiasa
Di bibirku
Dan degup jantungku
Sentiasa mengigatiMu
Adalah tandaku
Dalam ikatanMu.
Maka apabila aku diberi hayat
Di alam jagatMu
Bergerak, bekerja
Mencari makan dan
Bergaul dengan insan insan dan umatMu
Menjadi sebutan
Degup hatiku;
Dan apa
Dan bagaimana
Dan di mana
Aku berada
Aku sentiasa dikurniai
InayahMu, ya Allah
Maka aku sentiasa mengingatiMu.
Maka dalam bersorak
Bergerak dan berteriak
Untuk apa
Untuk bagaimana
Aku tiba-tiba saja
Seperti digerak
Oleh suatu kuasa
Menyentuh dalam kalbuku
Maka aku menjadi terkelu
Mati teriak sorakku
Kerana nafasku
Terasa tinggal satu, satu.
Maka tahu aku, ya Allah
Lonjak dan sorak
Gelak dan teriak
Bisa sekali lenyap
Dalam satu helaan hafas:
Ketika dalam kealpaan
Menghayati dalam kefanaan
Berkorban... mudah disebut, sukar dilaksana. Jika tanpa ikhlas, sabar dan berlumba-lumba mencari keredhaanNya. Ada kala hilang harta benda, melayang nyawa atau berpisah dengan yang tercinta. Seperti Ali yang berkorban nyawa menggantikan nabi tika berhijrah. Umpama Khadijah berkorban harta demi perjuangan Rasulullah. Begitu juga para sahabat berhijrah meninggalkan harta dan keluarga demi menyelamatkan agama Allah.