Sunday, June 10, 2007

Trauma

Pagi-pagi ini, terasa ingin mencoret sesuatu di blog. 3 hari tanpa coretan baru. Apa ya?.... Idea, di mana dikau? Aku teringat kejadian yang menyebabkan adikku trauma sekejap.

Sebelum itu, apa itu trauma? Belek-belek Kamus Dewan, trauma adalah rasa terkejut yang meninggalkan kesan yang berpanjangan dan mendalam. Maksudnya, mengganggu fikiran.

Berbalik pada cerita adik, hujung minggu lepas kami mengikut ayah ke Sik. Ada program di sana. Sambil-sambil itu, kami bercuti bersama. Maklumlah, orang sibuk sentiasa. Ini sahaja peluang yang ada.

Kami diberi 3 bilik, muatlah untuk keluarga yang besar. Ada sungai betul-betul di hadapan chalet. Seronok mendengar bunyi air mengalir terutamanya pada waktu pagi. Kalau rasa hendak mandi, boleh terus terjun dari beranda... kalau emak bagi :).

"Kasut Alla' hanyut," adikku yang bongsu menjerit semasa adik-adikku sedang mandi-manda. Kami melihat kasutnya yang bertaraf tinggi sedikit daripada selipar Jepun hanyut dibawa air. Itulah dia apabila meletak kasut pada bukan tempatnya, betul-betul tepi sungai.

Alla' mahu mengejar tetapi takut-takut. Kami minta adik lelakiku seorang lagi, Nua'im, pergi bersamanya. Bimbang juga sebab pernah dengar macam-macam tragedi yang berlaku.

Alla' sudah berada di hadapan, agak jauh dari abangnya. Aku suruh Nua'im cepat sedikit menuruti Alla' sebab arus agak laju. Kasutnya terus 'berlari'.

Tiba-tiba, "Tolong. tolong. Kaki Alla' tak sampai." Aku melihat Alla' terkapai-kapai. Sekejap nampak kepala, sekejap hilang. Walaupun dia berada di bahagian tepi, mungkin tanahnya mencuram ke dalam menyebabkan kakinya tidak sampai.

Adik perempuanku menjerit menyuruh Nua'im cepat. Baru aku tahu sebenarnya adikku tahu berenang. Dengan segera dia berenang ke arah Alla'. Aku yang sebenarnya agak panik, terus turun ke dalam sungai walaupun memakai kain. Bukan kain batik ye :).

Aku terus berjalan di dalam sungai walaupun lambat. Mahu berenang... hehe, belajar tak habis. Alhamdulillah Nua'im dapat menarik Alla' ke tempat cetek dan sempat menyelamatkan kasut. Itulah detik-detik cemas kami di sana.

Pada malam itu, Alla' merengek-rengek mahu pulang ke rumah. Dia asyik teringat kejadian petang itu. Trauma. Yang kami pelik, selepas kejadian hampir lemas itu, dia masih mandi sungai dan paling akhir keluar dari sungai. Malam itu juga, beberapa kali dia terjaga dari tidur dan berlari ke pintu seperti mahu lari. Teruk juga kesannya.

Tetapi esok harinya, semasa aku dan emak mandi sungai, dia datang melihat. Kami panggil dia mandi bersama untuk menghilangkan rasa takut. Dengan malu-malu kucing, dia pun turun mandi. Tetapi kali ini kasutnya diletak jauh-jauh dari sungai. Takut pisang berbuah dua kali. Aku dan adik-beradikku yang lain diam-diam tersengih. Trauma jangka masa pendek....

Uda -Pernah trauma nak tekan brek selepas kereta dilanggar dari belakang :)-

3 comments:

Unknown said...

cuma numpang lewat

Unknown said...

hi................

Saya said...

salam...akak..trauma tekan brek...hehehe...teringat kenangan itu...ita puntrauma gak...trauma bila akak marah...takutttt....jangan marah ei...nanti ita trauma....