Friday, June 1, 2007

Penangan anak saudara

Dua hari lepas, aku diamanahkan oleh adikku untuk menjaga anaknya (anak saudaraku) kerana perlu bermusafir ke Kelantan selama sehari setengah. Kawan baiknya akan berkahwin. Aku dengan rasa seronok (ahli keluargaku juga seronok) bersedia dengan penuh semangat.

Hari pertama menjaganya, boleh tahan juga. Sungguh penat. Walaupun anak saudaraku (nama penuhnya Syarhabil Ikrami, panggil Syabil) baru berumur 6 bulan, lagaknya mengalahkan budak umur 8 bulan. Sebelum berumur 6 bulan, dia sudah ke hulu ke hilir dengan menggunakan 2 tangan dan 2 kaki... merangkak. Pada awalnya, kami terkejut kerana begitu cepat dia dapat merangkak. Bimbang juga kerana masih kecil. Selalunya tulang masih belum kuat.

Kadang kala, dia akan mengangkat sebelah tangan apabila berada dalam posisi merangkak. Selalunya yang keluar dari mulut kami "Aaaa... Syabil jangan. Jatuh nanti," sambil berlari ke arahnya. Kalau tidak sempat, alamatnya adalah benjol di kepala. Bayangkan budak mahu jadi dewasa :).

Akhirnya, petang keesokan harinya, adikku tiba dari Kelantan. Syabil baru sahaja tidur selepas berhempas pulas dengan khalahnya selama sehari setengah. Penat memang penat, tapi bila tengok Syabil senyum dengan muka akainya, aku pun turut tersenyum.

Aku terfikir, agaknya bagaimana ibuku menjagaku dan adik-adikku dahulu? Apatah lagi semasa itu ibu bapaku sedang belajar. Ibuku beritahu semasa kecil, aku anak baik... hehe. Baik-baik pun masih budak. Biasalah budak-budak, ada ragamnya. Pernah ibuku terpaksa mengorek keluar seekor lipas dari mulutku. Mungkin rasa lipas masa itu umpama rasa coklat cadburry. Lagipun warnanya hampir-hampir serupa.

Itu baru 1 ragam. Belum lagi ragam-ragam lain. Apabila ibu bapa sudah tua, adakah anak-anak sanggup melayan ragam-ragam mereka? Mampukah kita berkorban seperti yang pernah ibu bapa kita lakukan? Mmmm... renung-renungkan.

P/s: Penangan Syabil menyebabkan khalah tidur awal malam itu :).

No comments: