Sunday, October 21, 2007

One Litre of Tears

Kelmarin, salah satu drama bersiri Jepun kegemaranku tiba ke episod akhir. Walaupun ada kalanya aku tidak dapat menonton setiap episod di TV, aku dan adikku yang baru selesai berperang dengan PMR, menonton melalui YouTube. Canggih betul zaman sekarang :). Kalau dulu-dulu, kena la tunggu sampai ada siaran ulangan di TV.

Mungkin aku kena cerita sikit berkenaan drama ini bagi yang tidak ada kesempatan menonton. Kisah ini kisah benar seorang remaja Jepun, Aya Ikeuchi. Semasa berumur 15 tahun, dia disahkan menghidap penyakit spinocerebellar degeneration, penyakit yang masih belum dapat dirawat. Tidak ada ubat dan rawatan yang dapat menghilangkan penyakit tersebut. Penyakit ini akan menyebabkan penghidapnya lama-kelamaan lumpuh, tidak dapat bercakap sehingga tidak berupaya berbuat apa-apa.

Sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut, Aya adalah remaja lincah, aktif dan bersemangat. Dia juga atlet bola keranjang dan sentiasa memberi semangat kepada rakan-rakannya. Namun, selepas disahkan menghidap penyakit yang selalunya dihadapi oleh orang lebih berumur, Aya terpaksa mengubah banyak perkara dalam hidupnya. Dia terpaksa melupakan bola keranjang, berjalan seperti orang biasa dan lain-lain lagi. Di sinilah, semangat hidup Aya perlu dihayati.

Aya mencari-cari erti hidup selepas mendapat tahu penyakitnya. Apakah yang boleh menjadikan hidupnya lebih bermakna? Apakah perkara yang dapat menjadi bukti dia masih hidup? Pelbagai persolan hidup timbul. Mengapa Aya yang perlu menghadapi penyakit ini? Padahal Aya adalah antara manusia yang cukup sempurna. Mengapa Aya perlu teruskan hidup walaupun kemungkinan yang amat besar dia akan mati?

Aktiviti utama Aya adalah menulis diari setiap hari sehingga tubuhnya tidak mampu bergerak sendiri dan tangannya sudah tidak mampu memegang pen. Dalam salah satu episod, ibu Aya meminta Aya tidak terlalu memaksa diri menulis diari kerana tangannya tidak mampu bergerak dengan baik. Namun jawab Aya, diari yang ditulis menjadikan hidupnya bermakna. Dia mahu membuat perkara yang bermakna walaupun dia tahu maut sedang menanti.

Bagiku, drama bersiri ini memberi banyak makna dalam kehidupan. Walaupun diuji dengan penyakit, namun itu bukan alasan untuk membiarkan sahaja kehidupan berlalu tanpa berbuat apa-apa. Selagi nyawa masih ada, selagi itu kita masih punya waktu untuk terus berusaha yang terbaik. Kadang kala, tanpa kita sedari usaha yang dilakukan sedikit sebanyak membantu orang di sekeling apatah lagi membantu dunia.

Sama ada kita perasan ataupun tidak, manusia banyak memberi alasan. Kata penulis buku The Magic of Thinking Big, terdapat 4 alasan besar yang selalu digunakan iaitu:
1. Alasan kesihatan
2. Alasan tidak pandai
3. Alasan umur
4. Alasan takdir
Adakah kita termasuk dalam salah satu pilihan di atas?

Kisah hidup ini juga menekankan rasa bersyukur dengan nikmat yang masih ada. Kita masih punya kaki untuk berjalan, masih punya tangan untuk menaip, masih punya suara untuk meluahkan kata dan pelbagai nikmat lagi. Namun, selalunya kita terlupa bersyukur dan take for granted. Mulai sekarang bersyukur, bersyukur dan terus bersyukur. Jadikan diri kita ahli dalam kelompok minoriti iaitu kelompok yang bersyukur.

Ok, kalau rajin boleh le tengok kat YouTube atau beli CD. Tengok cerita pun bukan sekadar tengok, biarlah ada makna :).

No comments: