Tuesday, October 2, 2007

Lailatul Qadar

"Malam kemuliaan itu lebih baik daripada 1000 bulan."
(Surah al-Qadar: 3)

Lailatul Qadar adalah hadiah istimewa daripada Allah kepada umat Nabi Muhammad. Malam yang hanya ada pada salah satu daripada malam-malam bulan Ramadan. Allah melipat gandakan pahala bagi insan yang beribadat dengan ikhlas pada malam itu. Ibadat yang dilakukan sama seperti ibadat selama 1000 bulan.

Bilakah Lailatul Qadar berlaku?

Di dalam kitab As-Shahihain, Ubadah bin Samit menceritakan, Nabi Muhammad pernah keluar untuk memberitahu adanya Lailatul Qadar kepada sahabat. Kemudian, beliau bertemu dengan 2 orang Muslim yang sedang berkelahi. Nabi Muhammad tidak memberitahu berkenaan waktu sebenar Lailatul Qadar disebabkan kejadian itu. Namun, nabi berpesan supaya mereka berlumba-lumba mencari malam tersebut.

Oleh itu, untuk bertemu dengan Lailatul Qadar, kita perlu berusaha dan beribadat pada setiap malam. InsyaAllah, usaha yang dilakukan akan berhasil iaitu bertemu dengan Lailatul Qadar. Ini adalah sebahagian hikmah dirahsiakan Lailatul Qadar.

Apakah amalan yang paling disukai pada malam itu?

1. Memperbanyakkan ibadah kepada Allah.

2. Memperbanyakkan doa. Dalam sebuah hadis, Aisyah, isteri nabi, bertanya kepada Nabi Muhammad, "Tahukah kamu, jika saya tahu malam itu Lailatul Qadar, apa yang perlu saya lakukan?" Nabi menjawab, "Katakan, 'Ya Allah, Engkau adalah zat yang maha pengampun, dan Engkau suka memberi ampun. Maka ampunkan dosaku.'" (Allahumma innaka a'fuwwun karim, tuhibbul a'fwa fa'fua'nni)

3. Memperbanyakkan membaca al-Quran.

Kita sudah tiba di 10 akhir Ramadan. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan pergi meninggalkan kita. Rebut peluang yang masih ada kerana kita tidak pasti sama ada akan bertemu dengan Ramadan tahun akan datang.

Uda: Masa kecil-kecil, selalu dengar kisah-kisah pelik apabila Lailatul Qadar berlaku. Ada kata, pokok akan membongkok. Ada juga yang kata air paip menjadi ais. Wallahua'lam, mungkin ada yang mengalaminya. Namun, bukan itu yang dicari. Yang dicari adalah pahala yang berlipat ganda daripada ibadah yang dilaksanakan.

(Bahan diolah daripada buku Merindukan Bulan Ramadan)

No comments: