Thursday, October 4, 2007

Ayuh berangan-angan

Aku teringat kata-kata SifuPTS, "Berangan-anganlah sebab ia tidak memerlukan duit." Benarkah boleh berangan-angan? Masyarakat Melayu sering diperdengarkan cerita Angan-angan Mat Jenin, menyebabkan ada sesetengah individu memandang angan-angan tidak memberi apa-apa erti. Malah, membuang masa. Itu pandangan aku yang masih cetek pengalaman :).

Kata-kata Sifu aku laksanakan bagi menghilangkan rasa penat semasa menyiang ikan :). Kalau setakat menyiang dua tiga ekor ikan, berangan-angan memang buang masa. Tetapi, aku dan adikku perlu menyiang 50 kilo ikan! Dengan menggunakan tulang 4 kerat (aku, adik, adik ipar, campur semua jadi tulang 12 kerat), bekerja keras bagi merealisasikan projek kami :).

Pernah suatu masa, sahabat Umar al-Khattab berdialog dengan beberapa orang pada zamannya. Kata beliau, "Berangan-anganlah." Salah seorangan yang hadir berkata, "Kalau saya mempunyai banyak wang, saya akan belanjakan bagi memerdekakan hamba bagi mendapat redha Allah."

Seorang lagi berkata, "Saya pula, jika mempunyai banyak wang, saya akan belanjakan ke jalan Allah."

Seorang yang lain pula berkata, "Jika saya mempunyai tubuh yang kuat, saya akan memberikan air zam-zam satu persatu kepada jemaah haji."

Umar al-Khattab pula berkata, "Saya berangan-angan kalau di dalam rumah ini ada tokoh seperti Abu Ubaidah bun Al-Jarrah, Umair bin Said dan sepertinya."

Bagi aku, angan-angan itu ada positif, ada negatif. Positifnya apabila kita berusaha mencapai angan-angan yang sekali gus menjadi cita-cita. Bukan sekadar angan-angan kosong. Angan-angan yang menjadikan diri kita terdorong untuk terus berusaha merealisasikannya. Negatifnya, hanya berangan-angan tanpa usaha dan mencuba. Itu benar-benar buang masa.

Namun, pastikan angan-angan kita diredhai Allah. Elakkan berangan-angan yang bukan-bukan. Wallahua'lam

No comments: