Sunday, October 7, 2007

Apa erti hari raya

"Sudah beli kasut raya?" tanya salah seorang rakanku. Aku tersengih. "Pakai yang ada je." Maksudnya, kasut yang ada di kakiku. Itulah kasut ke pasar, itulah kasut ke tempat kerja. Selagi tidak tercabut, selagi itu aku guna.

Masa kecil-kecil, bila tiba hari raya, bukan sekadar baju raya, kasut raya dan beg duit raya juga dibeli. Apabila semakin dewasa, ada baju raya pun sudah kira cukup. Yang penting kena sedia fulus raya :). Anak saudara, anak sepupu dan sepupu berderet-deret. Berilah setakat yang mampu.

Apa erti hari raya? Mungkin sesetengah orang, inilah masanya melaram baju raya yang pelbagai fesyen terutamanya kaum hawa :). Baju kebarung, baju kurung, cheongsam campur kurung dan macam-macam lagi. Selagi tidak sampai ke tahap membazir, apa salahnya.

Begitu juga dengan anak-anak kecil. Pada masa ini, ibu bapa sedaya upaya memenuhi kehendak anak-anak. Walaupun kadang kala harga baju mereka mengalahkan harga baju ibu bapa. Umpama, semakin kecil saiz, semakin mahal harga.

Aku pula? Hari raya adalah hari merayakan kegembiraan dan kesyukuran selepas sebulan Ramadan. Hari menggembirakan dan menceriakan insan lain dengan apa jua cara. Ada insan yang dapat digembirakan dengan wang, Ada insan yang gembira apabila kita menziarahinya. Ada pula yang gembira apabila melihat kita tersenyum. Ya... pelbagai cara.

Namun, dalam keseronokan hari raya, ingat-ingat pada saudara-saudara seIslam di luar sana. Mungkin bagi mereka, hari raya cukup bermakna apabila tiada peluru dan bom terbang di atas kepala. Hari raya lebih bermakna apabila ada makanan yang cukup untuk dijamah. Tidak perlu rendang, ketupat dan lontong. Sudah cukup jika makanan yang ada dapat mengisi perut yang kosong untuk beberapa hari.

Sebelum melangkah ke bulan Syawal, ambil kesempatan memperbanyakkan derma dan bersedekah pada bulan Ramadan. Tidak salah jika dilakukan pada bulan-bulan lain, namun ganjaran amalan yang berlipat ganda sukar diperoleh seperti yang diperoleh pada bulan Ramadan.

Semoga ibadah-ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan diterima sebagai amal soleh. Jangan biarkan keharuman bulan Ramadan hilang sebaik sahaja melangkah masuk ke bulan Syawal. Biarkan keharuman Ramadan terus mekar mengharumi 11 bulan selepasnya sehingga insyaAllah bertemu dengan Ramadan akan datang. Kullu a'm wa antum bikhair.

No comments: