Saturday, October 6, 2007

Maafkan

"Jadilah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perkara maaruf...."
(Surah al-A'raf: 199)

"Maka maafkanlah mereka dengan cara yang baik."
(Surah al-Hijr: 85)

Kadang kala, perkataan maaf mudah dikata, namun sukar dilaksana. Terucap di mulut, namun tidak terukir di hati. Tidak kira sama ada yang meminta ataupun yang menerima. Umpama melepaskan batuk di tangga.

Salah seorang motivator pernah berkata, maaf melibatkan 2 perkara. Jika kedua-duanya tidak berlaku, maka maaf yang dipinta bukan sebenar-benar maaf. Hanya separuh sahaja. Kata beliau, 2 perkara itu adalah forgive dan forget. Maafkan dan lupakan.

Ada insan yang dapat memaafkan kesalahan insan lain. Namun, pada masa yang sama tidak dapat melupakan kesalahan yang dilakukan. Sehingga kadang kala menimbulkan dendam selama bertahun-tahun walaupun pada dasarnya maaf sudah diterima. Ikhlaskah kita menerima permohonan maaf?

Seorang penulis berkata, "Memberi maaf itu gratis (free), tak perlu beli." Tidur kita lebih lena apabila memaafkan kesalahan semua insan sebelum melelapkan mata. Hati jadi lebih lapang, senyum lebih manis. Yang paling penting, sudah pasti ada ganjaran pahala.

Pada zaman Rasulullah, ada seorang sahabat yang dijamin Rasulullah bahawa dia akan masuk syurga. Padahal, sahabat tersebut hanya melakukan amalan biasa-biasa sahaja. Selepas diselidik oleh sahabat lain, rupa-rupanya antara amalan utamanya adalah tidak pernah berdengki dengan sesiapa pun dan sentiasa memaafkan.

Bentuk diri menjadi insan pemaaf kerana kita juga masih punya banyak kesilapan dan kekurangan. Semoga memperoleh untung di akhirat.

No comments: