Friday, May 25, 2007

Air vs Ayaq

Pagi-pagi Jumaat ini, aku teringat arwah nenekku di Muar. Kami memanggilnya Tok Mak. Semasa aku Tingkatan 4, dia meninggal dunia kerana sakit diabetes. Masa itu hujung bulan Ramadan. Aku tidak sempat melihat wajahnya buat kali terakhir kerana ibu bapaku terburu-buru pulang ke kampung. Pada masa itu juga, aku mengikut rombongan sekolah beriktikaf di masjid.

Ibuku berasal dari Muar manakala ayahku anak jati sebelah utara. Kami adik-beradik memang lebih senang bertutur dalam loghat utara. Jadi, apabila balik ke Muar, minda kami perlu di tune mengikut loghat sebelah selatan. Almari jadi gobok. Selimut jadi gebo. Dan yang pasti ayaq jadi air.

Pernah satu masa, aku terasa dahaga dan mahu minum air. Pada masa itu, emak dan nenek ada bersama. "Mak, nak ayaq," kataku. Nenekku yang mendengar terus bangun. Aku pun menunggu. Kemudian, nenekku datang dan menghulurkan pengayak tepung sambil berkata, "Mahu buat apa dengan pengayak ni?"

Aku terkebil-kebil memandang ke arahnya. Oleh kerana masih kecil, perbendaharaan kata pun masih kurang, tidak tahu pula benda itu pun dipanggil ayak. Kami sama-sama tersenyum. Mmm... pertembungan antara 2 negeri.

No comments: