Thursday, May 24, 2007

Hari ini milik kita

Ada hadis nabi yang berbunyi, “... Apabila kamu berada pada waktu pagi, jangan menunggu sehingga waktu petang....” Masa sekarang yang ada adalah untuk diusahakan. Bukan mengenangkan hari semalam yang sudah berlalu. Apatah lagi berfikir tentang masa hadapan yang belum pasti.

Bilakah kita akan meninggalkan dunia ini? Tiada siapa yang tahu. Mungkin hari ini. Mungkin juga esok. Yang pasti, kita akan menghadapinya. Anggaplah kita hanya mempunyai hari ini sahaja untuk hidup dan akan mati pada esok hari.

Apabila kita berfikir hari ini adalah hari terakhir, kita akan melaksanakan segala urusan dengan bersungguh-sungguh. Kita cuba memberikan hasil yang terbaik. Masa kita tidak dibiarkan berlalu dengan rasa gelisah, gundah gulana, sedih, dan takut dengan masa hadapan yang masih belum pasti.

Semua perkara dilaksanakan dengan cara terbaik. Best of the best. Kita memberikan sepenuh tumpuan pada kerja-kerja yang dilaksanakan. Solat kita lebih khusyuk dari hari biasa. Bacaan Al-Quran lebih baik daripada sebelumnya. Kerja kita lebih berkualiti. Pendek kata, semua perkara dilakukan dengan sebaik mungkin.

Umpama musafir di tengah padang pasir. Dengan hanya berbekalkan sebekas air, pasti si musafir cuba memastikan cara terbaik supaya airnya tidak habis sebelum tiba ke destinasi.

Wallahua'lam

No comments: